Friday, December 13, 2019

Travelog : Makan Angin di Semporna [Part II]


Alhamdulillah, aku berkesempatan untuk kongsikan lagi kisah aku di Sabah. Pada hari kedua, aku dan Widad telah memilih Dragon Floating Inn sebagai tempat bermalam kami. Antara sebabnya ialah nak merasai pengalaman tinggal di atas chalet yang terapung di atas air.

Antara tempat berehat yang disediakan di Dragon Floating Inn
Jika diikutkan, harga pada bulan November tidak terlalu mahal kerana bukan berada pada waktu kemuncak. Jadi, kami berdua menempah pakej yang paling murah. Tapi paling murah pun, semalam dah seratus lebih. Disebabkan tempahan penuh, maka kami terpaksa upgrade bilik.
Dragon Floating Inn
RM 211.78
Inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah bilik. Bilik yang kami ambil ini boleh memuatkan 3 orang dengan dua katil single. Lokasinya terletak berdekatan dengan jeti umum Semporna. Namun begitu, sampah sarap yang terapung di atas air sedikit mencacatkan permandangan.

Jalan masuk ke penginapan ini akan melalui beberapa tempat lain. Antaranya pasar terapung yang menjual barangan cenderahati, restoran, kelab menyelam skuba dan lain-lain lagi.

Kedai cenderahati yang terdapat berdekatan dengan Dragon Floating Inn
Disebabkan kami hanya boleh check in selepas pukul 12 tengah hari, maka kami menyimpan bagasi dahulu sebab nak ke island hopping pula. Boleh simpan bagasi awal, asalkan kita sahkan tempahan. Tiada caj dikenakan untuk penyimpanan bagasi.

Kaunter pendaftaran Dragon Floating Inn

Replika ikan di luar pejabat
Seterika disediakan, cuma ada tempoh masa. Satu jam sahaja. Water heater pun ada cuma kena pi minta di kaunter. Bilik ada televisyen, dekorasi lawa cuma sesuai untuk tidur lah. Toilet dia kalau mandi memang air jatuh dalam laut. Tandas ja yang ada tangki kumbahan. Menarik. Cuma semasa menempah, kami sangkakan chalet kami di bahagian tengah berdekatan lautan, tetapi dekat dengan kuala. Mungkin faktor harga kot.

Bergambar di kawasan chalet pakej mahal. Sebab tu view lawa.

View dari tempat berehat.



Selesai check in di Dragon Floating Inn, kami terus ke Jeti Umum Semporna untuk ke trip Island Hopping yang seterusnya pula. Kali ini kami dibawa ke Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Mantabuan. Pulau Mabul yang dikatakan Maldives Malaysia. Serius permandangannya sangatlah cantik.




Tempat penyu bertelur

Bekalan sarapan pagi
Latar belakang Mabul Resort
Sebelum sampai ke kawasan pantai Pulau Mabul, kami perlu masuk melalui sebuah chalet dan berjalan meredah perkampungan orang-orang di sana. Seronok sangat! Boleh rujuk posting ini :

Sekiranya anda masuk melalui Mabul Water Bungalow Resort, anda perlu membayar sebanyak RM20 per kepala. Tetapi, sekiranya anda masuk melalui chalet ini, anda hanya perlu membayar RM 5 per kepala. Cuma perlu berjalan sedikit jauh untuk tiba ke lokasi di pantai.


Tiket Masuk ke Mabul (melalui chalet)
RM 5 / per kepala
Selesai bergambar, kami berpatah balik ke tempat kami masuk tadi dan menjamah hidangan tengah hari.

Permandangan laut dari tempat kami naik


Selepas menjamah hidangan tengah hari, kami meneruskan perjalanan ke perairan Mabul untuk aktiviti snorkeling. Warna air di Mabul sangat cantik. Kawasan Mabul dipenuhi dengan tapak sulaiman pada dasarnya yang cetek. Boleh dilihat dari atas permukaan air.




Tempat untuk snorkeling ada hadnya, sudah diletakkan tanda. Sekiranya anda ingin melihat spesies ikan laut, anda perlu berenang ke kawasan yang agak dalam sedikit yang mana terdapat banyak terumbu karang di bawahnya. Tour guide kami kali ini namanya Apek. Beliau lah yang menunjukkan arah kepada kami untuk melihat pelbagai jenis spesies ikan laut. Cuma sedikit memenatkan kerana kami berenang sendiri dan agak lambat untuk mengekori guider kami.

Selesai aktiviti snorkeling di Mabul, kami bergerak ke Pulau Kapalai. Kali ini tempat turun lebih dalam dan airnya berwarna lebih gelap berbanding dengan air di Mabul tadi. Di sini, kami diajar untuk berenang tanpa life jacket oleh Yana dan Apek. Itupun tidak lama kerana apabila sudah panik, badan akan menjadi berat secara tiba-tiba. Selesai snorkeling di Kapalai, kami pulang semula ke Jeti Umum Semporna.

Semasa dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar ke Pulau Gusungan. Menurut cerita Apek, dahulunya Pulau Gusungan menjadi tempat tinggal orang Bajau Laut. Namun begitu, selepas ada pihak yang membeli pulau tersebut, orang-orang Bajau Laut tadi dihalau keluar. Sedih, kan? Kami tidak turun bot, sekadar melihat dari atas sahaja.
Resort di Pulau Gusungan sedang dalam pembinaan


Kemudian, kami singgah ke Pulau Bum-bum untuk menghantar dua orang penumpang bot kami pulang ke penginapan mereka. Kelihatan menarik juga.


 Selesai semua urusan, kami pulang ke penginapan kami di Dragon Floating Inn. Walaupun keletihan, tetapi tidaklah seberat hari sebelumnya. Semasa dalam perjalanan pulang, kami sempat berhenti di hadapan pintu masuk Pusat Pelancongan Lautan Semporna yang turut merupakan pintu masuk bagi tempat penginapan kami. 


Malam itu kami hanya menjamah mi segera sahaja memandangkan bekalan masih ada.


Selesai makan malam dan solat Isyak, kami keluar melihat permandangan di sekitar tempat penginapan tersebut. Antara tempat yang kami lawati ialah Pusat Lautan tersebut. Bayaran masuk berharga RM 5 seorang. Jika dahulu, ada penyu yang dipelihara untuk tujuan pelancongan. Namun kini sudah tiada. 
Tiket Masuk Pusat Pelancongan Lautan Semporna
RM 5 / seorang




Tiada apa yang unik, sekadar lampu yang berwarna-warni yang boleh dijadikan latar belakang untuk bergambar. Luas juga kawasannya. Boleh rujuk posting ini :

Selesai melawat tempat itu, kami berjalan pulang ke tempat penginapan lebih kurang pukul 10.00 malam. Entah mengapa malam itu mataku berat sekali. Sewaktu dalam perjalanan, kami sempat singgah ke sebuah restoran yang menyajikan hidangan makanan laut bagi tetamu yang berminat. Kami hanya berminat untuk mengambil gambar sahaja.

Beberapa pilihan ikan laut untuk dipilih

Besar betul ikan ni. Tak tau apa namanya

Sekian sahaja coretan untuk kali ini. Inshaa Allah, akan ada posting menyusul. Fuh, banyak betul cerita nak share. Wallahu'alam.

1 comment: