Wednesday, February 21, 2018

Sekolah Agama At Toyyibah : Tarbiyyah Hati

السلام عليكم

Bismillah. Tiba-tiba rasa nak berkongsi suatu kisah tentang pengalaman sepanjang mengajar. Tidaklah setinggi pengalaman insan lain. Cuma, ada sesuatu yang mengetuk jiwa hamba ini.

Alkisahnya, ditaqdirkan Allah untukku mengajar sebuah sekolah swasta berdekatan dengan kawasan rumah. Bermula Ogos 2017, dan alhamdulh kini masih lagi berpeluang untuk berkhidmat di tempat yang sama. Ada dua perkara yang Allah sedang tunjukkan padaku di saat ini.

1. Kecukupan itu daripada-Nya

Jujur, pada awal berkhidmat di situ niat di hati cuma sekadar hendak mengisi kekosongan masa seusai tamat menghabiskan pengajian sahaja. Namun, setelah 2017 menutup tirai, timbul perasaan di hati untuk bertukar tempat kerja kerana memikirkan gaji yang kurang lumayan (menurut akal). Pada masa itu gaji saya cuma RM700 sahaja.

Untuk tahun ini, Allah tambahkan RM100. Alhamdulillah. Namun, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memilih tempat kerja baharu semata-mata nakkan gaji yang lebih tinggi. Satu per satu usaha dilakukan, namun semuanya semakin sukar. Sehinggalah terpaksa menarik semula keputusan untuk berhenti mengajar di sana. Pada masa yang sama, akal masih risau "Cukup ka kalau gaji banyak ni aku nak bayar itu,ini?". "Nak buat bisnes apa ya?".

RM800 yang diperolehi itulah yang perlu dibahagi-bahagikan untuk membayar wang kereta, wang pengajian diploma, wang kesihatan diri, wang hutang saya dan kegunaan diri. 

Sampai satu saat, Allah ketuk hati saya. Seperti ada sesuatu yang berbisik pada diri, "Fatin, gaji hang tu hanya pada angka. Yakinlah, yang akan mencukupkan itu hanya Allah. La ni hang kena pilih jalan yang mak ayah senang dan redho, biaqlah gaji hang tu tak cecah 1k pun. Cukup tak cukup, tawakkal tu 'ala Allah ja. Rezeki yang berkat takkan pernah tak cukup. Pasti Dia bagi kot jalan lain. Yakin dengan Allah!!!"

Sejak tu, saya mula berjalan dengan keyakinan yang ada itu. Jika sebelum ini, kebergantungan tu cuma 40%, bila jadi macam ni, inshaa Allah semakin meningkat. Sebab tahu, takdak sapa dah yang boleh tolong kita. Allahu taala.

Alhamdulillah, testimoni untuk bulan pertama berjaya. Duit yang diterima mampu dibahagi mengikut perancangan dan Allah hantar bantuan lain daripada arah lain (bukan gaji). Tiba-tiba ada orang minta buat tusyen, tiba-tiba orang bagi duit saguhati sebab tolong buatkan video dan lain-lain lagi. Allahuakbar. PengasihNya Allah, PemurahNya Allah. Saya belajar untuk mengutamakan perbelanjaan ke atas perkara yang sepatutnya. Alhamdulillah.

2. Ilmu Itu Hak Allah

Sudah masuk bulan kedua, terasa sekali yang kesabaran diri semakin menipis. Tatkala Allah hadirkan ujian melalui anak murid yang boleh dikategorikan sebagai 'slow learner'. Saya banyak menahan diri daripada memarahinya sejak tahun lepas. Namun, sudah masuk tahun ini pelajar ini masih tidak berubah. Hatta, baru sahaja 1 saat lalu saya memberitahu jawapan kepadanya, apabila disoal sekali lagi, dia langsung tak dapat jawab. Allahu taala. Allah sahaja yang tahu apa perasaan sewaktu itu.

Saya mengajar 5 kelas Matematik tahap 2 sekolah rendah. Semakin ditahan rasa nak marah, semakin sakit saya rasakan di bahagian otot jantung ini. Allahu. Pernah sampai tahap saya terpaksa jauhkan diri daripada orang lain seketika untuk menahan perasaan saya. Saya tidak suka marahkan orang, apatah lagi anak-anak murid. 

Namun, kebelakangan ini sikap itu semakin berubah. Saya selalu sahaja diuji oleh Allah akan perasaan ini. Sehingga lah tiba satu masa saya terbaca kisah Ustazah Norhafizah Musa dengan anak beliau.

"Ilmu itu hak Allah. Jika Allah tak izinkan, kita marahlah macam mana sekalipun, tetap anak murid itu tak akan faham. Sekarang ni kena minta pada Allah banyak-banyak agar Allah beri kefahaman untuk anak itu."

Allah. Sentap berkali-kali. Terasa sungguh mendalam. Saya terlalu meletakkan harapan kepada anak murid itu sehingga terlupa bahawa segala-galaNya berlaku hanya dengan keizinan Allah.

Sebagai seorang pendidik, kita perlu tahu bahawa ilmu itu ialah sesuatu yang membekas ke dalam jiwa insan yang mempelajarinya. Hatta ilmu matematik sekalipun,ia hak Allah. Tak layak untukku bermegah-megah dengan ilmu ini kerana diriku hanya wasilah.

Allah. Kini saya mula menyedari apa yang sebenarnya tarbiyyah yang Allah nak bagi kepadaku. Walaupun sakit, tapi saya mula sedar bahawa segalanya mestilah disandarkan kepada Allah ta'ala. 

Doakan agar saya istiqomah dalam jalan juang ini. Berjuang memang pahit, kerana syurga itu manis.

Ana faqir ilallah.
Wallahu a'lam.