Wednesday, December 11, 2019

Travelog : Makan Angin di Semporna [Part I]

Bismillah. 
Seperti yang dah aku ceritakan itinerary secara kasar di Travelog : Musafir ke Semporna, Sabah, kali ini aku nak ceritakan perjalanan kami merancang percutian bajet ke Semporna pada November lalu.

Perancangan kami bermula sejak bulan Ogos 2019 lagi. Masa tu, dah mula survey tiket penerbangan dan juga pakej-pakej yang ada sekiranya kami hendak ke Semporna. Oh ya, mengapa kami memilih Semporna sebagai destinasi pilihan? Sudah tentu kerana kekayaan alam semulajadinya, terutama kecantikan pulau-pulau yang ada di sana. Semporna merupakan di antara lokasi pilihan para pelancong dari luar negara terutama buat para penyelam laut dalam. Kebanyakan pelancong yang datang ke Semporna adalah dalam kalangan pelancong dari negara China.

Selepas kami menempah tiket penerbangan, barulah kami menempah untuk pakej Island Hopping dan juga penginapan. Kami tak ambil bayaran di bawah pakej, sebaliknya kami ambil secara 'ala carte' sahaja. Maksudnya, semua perjalanan di sana dan juga lokasi penginapan adalah pilihan sendiri. Berkenaan dengan tiket penerbangan, kalau boleh setiap hari check di website, sebab harga akan berubah-ubah. Jadi, rezeki kami dapat booked tiket semasa tiket dilelong.

Tiket Penerbangan (Air-Asia)
AOR - KUL = RM 41.12
KUL-TWU = RM 146.42

Aku dan Widad bertolak ke Semporna pada 15 November 2019 iaitu pada hari Jumaat. Kami berlepas ke Semporna pada pukul 5:20 petang dan tiba di Tawau lebih kurang pada pukul 8:00 malam. Kami naik chartered van, yang mana harga seorang ialah RM25. Lebih menjimatkan sekiranya kita ke sana beramai-ramai. Harga sebuah van boleh dapat RM100. Bahagi dengan bilangan penumpang. Lebih murah dan berbaloi.

Harga Van dari Tawau ke Semporna
RM 25 / seorang

Servis sangat bagus. Muda lagi adik yang jadi driver van tu. Van tak sunyi sepanjang perjalanan kami selama 45 minit tersebut, walaupun dalam van tu hanya ada kami bertiga sahaja. Setibanya di sebuah round about di Semporna, adik tadi memberhentikan van. Rupa-rupanya dia nampak aku tengah struggle snap gambar suasana malam tu. Jadi, dia offer nak tangkapkan gambar kami di tengah round about tu.


 

Selepas bergambar, kami terus ke tempat penginapan di Monster Home. Jangan risau, bukan rumah berhantu ya. Penginapan bajet yang sesuai untuk diinap oleh backpackers, dalam masa yang sama mahukan keselesaan. Ok, di bawah ni view bilik tidur yang kami dapat.


Bilik ni tak boleh pakai kasut, bersih untuk solat dan ada ruang untuk solat. Cuma, bilik air kongsi dengan semua penginap di sini. Macam tandas awam, cuma rezeki kami semasa bermalam di sana, hanya kami berdua yang ada bersama beberapa orang pekerjanya. Kawasan Monster Home ni berdekatan dengan kawasan pasar. Jadi, pagi-pagi kalau turun tu memang kita akan redah pasar pagi merekalah. Kalau malam, memang akan bau hanyir kesan daripada jualan tadi lah. Tapi, bagi aku ok ja.

Kalau nak basuh baju, ada mesin disediakan. Cuma kena bayar RM5 sekali guna. Wifi disediakan, laju jugak. Water heater dan water cooler pun ada. Hari pertama kami makan maggi ja. Beli di Kedah siap-siap. Nak jimat punya pasal.

Keesokan paginya, kami bangun awal disebabkan waktu Subuh di sana masuk pada pukul 4.45 pagi macam tu. Lepas Subuh, terus siap-siap ke jeti. Tak jauh dari penginapan kami. Cuma berjalan kaki sejauh 100 meter sahaja. Pagi itu kami alas perut dengan roti dan kaya yang dibawa dari Kedah. 

Jeti Umum Semporna

Antara gerai yang menjual makanan di jeti
Ramainya manusia. Semua pakat menunggu turn naik bot.
Keadaan di jeti umum sangat sibuk. Selain daripada peniaga-peniaga makanan, terdapat juga anak-anak bajau yang akan datang untuk meminta duit, ada yang jual seafood macam lobster, ada yang jual shades dan lain-lain lagi. Selepas dikumpulkan mengikut kumpulan, maka kami pun menaiki bot menuju ke destinasi yang pertama.

Pulau yang pertama untuk trip kami ialah Pulau Timba-timba. Subhanallah permandangannya sangat cantik! Tak pernah aku jumpa lagi sepanjang ke pantai-pantai di semenanjung Malaysia.

Panorama Pulau Timba-timba dari jauh

Airnya subhanallah jernih sangat




Air berbeza warna disebabkan permukaan laut di dalamnya
Setelah 30 minit, kami naik bot ke perairannya pula. Di sana, kami dilepaskan di tengah lautan untuk aktiviti snorkeling. Sejujurnya, ini adalah kali pertama aku melakukan aktiviti snorkeling. Berbeza dengan Widad, yang sudah 3 kali melakukan aktiviti ini. Pada mulanya aku agak teruja dan gementar. Tetapi setelah berjaya menstabilkan diri, Alhamdulillah perasaan seronok pula menjelma.

Snorkeling di Pulau Timba-timba
Permandangan di dasar laut sangatlah cantik. Kami dapat melihat pelbagai jenis spesies hidupan dan biodiversiti dalam laut dengan jelas walaupun dari atas. Ikan-ikan yang dahulunya aku hanya lihat di rancangan televisyen, kini benar-benar di depan mataku sahaja. Sungguh hebat ciptaan Allah. Orang yang bertanggungjawab membawa dan membimbing kami namanya Taufiq. Betapa bersungguhnya beliau untuk mengajar kami menyelam tanpa sebarang alat bantuan, sehinggakan berkali-kali kami diajar untuk masuk ke dalam air tanpa memakai jaket keselamatan. Fuh, mengucap jugalah. Namun aku seronok. Pengalaman serupa ini takkan mampu dibeli di mana-mana. Kami berpeluang menyentuk terumbu karang dan beberapa hidupan lain.

Setelah penat berenang dan menyelam, kami singgah berehat di Pulau Mataking untuk makan tengah hari. Makanan disediakan, dan lauknya boleh tahan sedap. Lapar barangkali. Pulau tersebut mempunyai kemudahan seperti tandas dan chalet. Namun begitu, ia kelihatan tidak diselia dengan baik. 

Permandangan dari arah pulau

Bangunan kayu seperti chalet tempat untuk pelancong berehat

Menu makan tengah hari kami

Selesai menjamu selera dan menguruskan diri, kami meneruskan perjalanan ke perairan Pulau Mataking Kecil. Aktiviti masih sama, iaitu snorkeling. Sememangnya berenang itu melelahkan. Tak cukup nafas rasanya terutama apabila badan sudah keletihan. Taufiq menarik pelampung, dan kami berlima (penumpang bot) hanya memegang pelampung itu sahaja. Permandangan di Pulau Mataking juga sangat cantik. Kami dapat melihat penyu, dan pelbagai spesies ikan di dasarnya. Permukaan laut di persisiran pantai itu dipenuhi dengan terumbu karang, terkoyak rabak jugalah stokin kaki yang aku pakai. Ada yang luka jari kaki dek kerana tersepak terumbu karang. Taufiq memaksa semua penumpang bot kami untuk belajar berenang tanpa jaket keselamatan. Mungkin dia berasa kerugian sekiranya kami tidak pandai berenang di laut, kerana badan kita tak mudah tenggelam melainkan beberapa keadaan tertentu seperti panik.

Pulau Mataking Kecil

Akhir sekali, kami snorkeling di Pulau Pom-pom. Kali ini kembali dilepaskan di tengah-tengah lautan. Aku sudah kehabisan tenaga untuk berenang kembali ke bot. Nak panjat tangga pun dah habis daya. Apa tidaknya, aku dan Widad seperti trauma melihat Taufiq kerana sering menyuruh kami menyelam tanpa jaket keselamatan. Seronok, tapi lelah. Alhamdulillah, Allah memberi kami satu lagi pengalaman hidup yang sukar didapati.

Snorkeling di Pulau Pom-pom
Selesai snorkeling, kami pulang ke Jeti Umum Semporna. Peraturan di perairan sini, kita perlu mendapatkan permit sekiranya mahu masuk ke kawasan laut, dan perlu kosongkan kawasan laut pada pukul 3 petang.

Pulang ke Jeti Umum Semporna

Taufiq, guider bot kami

Permandangan di sekitar jeti Semporna.
Setibanya di Monster Home dan selepas selesai menunaikan solat secara jamak, kami merehatkan diri kerana sangat letih. Pada malamnya selepas selesai solat Isyak, kami berdua keluar untuk melihat kawasan sekitar, sambil mencari kedai makan yang sesuai. Cadangnya nak makan seafood, tetapi kedai makan tak provide seafood. Kena beli sendiri di pasar dan bawa ke kedai untuk dimasak. Maka kami hanya makan nasi goreng sahaja.


Selepas menjamu selera, kami berjalan-jalan di kawasan sekitar untuk melihat suasana yang ada di situ. Banyak kedai yang terkenal ada di sini. Watson, Giant dan pelbagai lagi. Waktu operasi di sini juga sama seperti di semenanjung. Pukul 12 malam baru lengang. Namun begitu, terasa agak berbeza kerana di Sabah matahari terbit dan terbenam lebih awal jika hendak dibandingkan dengan di semenanjung.

Suasana di dalam pasaraya Giant
Maka setelah selesai meneroka suasana malam di kawasan sekitar, kami pun pulang ke tempat penginapan untuk melepaskan lelah. Mata sudah kuyu dan badan terasa berat sekali. Iyalah, jarang-jarang sekali nak buat aktiviti air. 

Alhamdulillah selesai hari yang kedua di Sabah. Akan bersambung pada entri akan datang. 

No comments:

Post a Comment