Friday, December 13, 2019

Travelog : Makan Angin di Semporna [Part II]


Alhamdulillah, aku berkesempatan untuk kongsikan lagi kisah aku di Sabah. Pada hari kedua, aku dan Widad telah memilih Dragon Floating Inn sebagai tempat bermalam kami. Antara sebabnya ialah nak merasai pengalaman tinggal di atas chalet yang terapung di atas air.

Antara tempat berehat yang disediakan di Dragon Floating Inn
Jika diikutkan, harga pada bulan November tidak terlalu mahal kerana bukan berada pada waktu kemuncak. Jadi, kami berdua menempah pakej yang paling murah. Tapi paling murah pun, semalam dah seratus lebih. Disebabkan tempahan penuh, maka kami terpaksa upgrade bilik.
Dragon Floating Inn
RM 211.78
Inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah bilik. Bilik yang kami ambil ini boleh memuatkan 3 orang dengan dua katil single. Lokasinya terletak berdekatan dengan jeti umum Semporna. Namun begitu, sampah sarap yang terapung di atas air sedikit mencacatkan permandangan.

Jalan masuk ke penginapan ini akan melalui beberapa tempat lain. Antaranya pasar terapung yang menjual barangan cenderahati, restoran, kelab menyelam skuba dan lain-lain lagi.

Kedai cenderahati yang terdapat berdekatan dengan Dragon Floating Inn
Disebabkan kami hanya boleh check in selepas pukul 12 tengah hari, maka kami menyimpan bagasi dahulu sebab nak ke island hopping pula. Boleh simpan bagasi awal, asalkan kita sahkan tempahan. Tiada caj dikenakan untuk penyimpanan bagasi.

Kaunter pendaftaran Dragon Floating Inn

Replika ikan di luar pejabat
Seterika disediakan, cuma ada tempoh masa. Satu jam sahaja. Water heater pun ada cuma kena pi minta di kaunter. Bilik ada televisyen, dekorasi lawa cuma sesuai untuk tidur lah. Toilet dia kalau mandi memang air jatuh dalam laut. Tandas ja yang ada tangki kumbahan. Menarik. Cuma semasa menempah, kami sangkakan chalet kami di bahagian tengah berdekatan lautan, tetapi dekat dengan kuala. Mungkin faktor harga kot.

Bergambar di kawasan chalet pakej mahal. Sebab tu view lawa.

View dari tempat berehat.



Selesai check in di Dragon Floating Inn, kami terus ke Jeti Umum Semporna untuk ke trip Island Hopping yang seterusnya pula. Kali ini kami dibawa ke Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Mantabuan. Pulau Mabul yang dikatakan Maldives Malaysia. Serius permandangannya sangatlah cantik.




Tempat penyu bertelur

Bekalan sarapan pagi
Latar belakang Mabul Resort
Sebelum sampai ke kawasan pantai Pulau Mabul, kami perlu masuk melalui sebuah chalet dan berjalan meredah perkampungan orang-orang di sana. Seronok sangat! Boleh rujuk posting ini :

Sekiranya anda masuk melalui Mabul Water Bungalow Resort, anda perlu membayar sebanyak RM20 per kepala. Tetapi, sekiranya anda masuk melalui chalet ini, anda hanya perlu membayar RM 5 per kepala. Cuma perlu berjalan sedikit jauh untuk tiba ke lokasi di pantai.


Tiket Masuk ke Mabul (melalui chalet)
RM 5 / per kepala
Selesai bergambar, kami berpatah balik ke tempat kami masuk tadi dan menjamah hidangan tengah hari.

Permandangan laut dari tempat kami naik


Selepas menjamah hidangan tengah hari, kami meneruskan perjalanan ke perairan Mabul untuk aktiviti snorkeling. Warna air di Mabul sangat cantik. Kawasan Mabul dipenuhi dengan tapak sulaiman pada dasarnya yang cetek. Boleh dilihat dari atas permukaan air.




Tempat untuk snorkeling ada hadnya, sudah diletakkan tanda. Sekiranya anda ingin melihat spesies ikan laut, anda perlu berenang ke kawasan yang agak dalam sedikit yang mana terdapat banyak terumbu karang di bawahnya. Tour guide kami kali ini namanya Apek. Beliau lah yang menunjukkan arah kepada kami untuk melihat pelbagai jenis spesies ikan laut. Cuma sedikit memenatkan kerana kami berenang sendiri dan agak lambat untuk mengekori guider kami.

Selesai aktiviti snorkeling di Mabul, kami bergerak ke Pulau Kapalai. Kali ini tempat turun lebih dalam dan airnya berwarna lebih gelap berbanding dengan air di Mabul tadi. Di sini, kami diajar untuk berenang tanpa life jacket oleh Yana dan Apek. Itupun tidak lama kerana apabila sudah panik, badan akan menjadi berat secara tiba-tiba. Selesai snorkeling di Kapalai, kami pulang semula ke Jeti Umum Semporna.

Semasa dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar ke Pulau Gusungan. Menurut cerita Apek, dahulunya Pulau Gusungan menjadi tempat tinggal orang Bajau Laut. Namun begitu, selepas ada pihak yang membeli pulau tersebut, orang-orang Bajau Laut tadi dihalau keluar. Sedih, kan? Kami tidak turun bot, sekadar melihat dari atas sahaja.
Resort di Pulau Gusungan sedang dalam pembinaan


Kemudian, kami singgah ke Pulau Bum-bum untuk menghantar dua orang penumpang bot kami pulang ke penginapan mereka. Kelihatan menarik juga.


 Selesai semua urusan, kami pulang ke penginapan kami di Dragon Floating Inn. Walaupun keletihan, tetapi tidaklah seberat hari sebelumnya. Semasa dalam perjalanan pulang, kami sempat berhenti di hadapan pintu masuk Pusat Pelancongan Lautan Semporna yang turut merupakan pintu masuk bagi tempat penginapan kami. 


Malam itu kami hanya menjamah mi segera sahaja memandangkan bekalan masih ada.


Selesai makan malam dan solat Isyak, kami keluar melihat permandangan di sekitar tempat penginapan tersebut. Antara tempat yang kami lawati ialah Pusat Lautan tersebut. Bayaran masuk berharga RM 5 seorang. Jika dahulu, ada penyu yang dipelihara untuk tujuan pelancongan. Namun kini sudah tiada. 
Tiket Masuk Pusat Pelancongan Lautan Semporna
RM 5 / seorang




Tiada apa yang unik, sekadar lampu yang berwarna-warni yang boleh dijadikan latar belakang untuk bergambar. Luas juga kawasannya. Boleh rujuk posting ini :

Selesai melawat tempat itu, kami berjalan pulang ke tempat penginapan lebih kurang pukul 10.00 malam. Entah mengapa malam itu mataku berat sekali. Sewaktu dalam perjalanan, kami sempat singgah ke sebuah restoran yang menyajikan hidangan makanan laut bagi tetamu yang berminat. Kami hanya berminat untuk mengambil gambar sahaja.

Beberapa pilihan ikan laut untuk dipilih

Besar betul ikan ni. Tak tau apa namanya

Sekian sahaja coretan untuk kali ini. Inshaa Allah, akan ada posting menyusul. Fuh, banyak betul cerita nak share. Wallahu'alam.

Thursday, December 12, 2019

Travelog : Mendaki Bukit Kodiang @ Mok Cun


Bismillah. Alhamdulillah, kelmarin aku berkesempatan untuk hiking Bukit Kodiang atau lebih dikenali sebagai Bukit Mok Cun. Aku pun tak tau awat orang buh nama Mok Cun kat bukit tu. Mungkin ada kaitan dengan drama di TV3 tu kan.

Sudah banyak kali juga aku merancang untuk mendaki bukit tersebut. Tapi last minit mesti tak jadi. Kali ni aku dengan Mekti plan beberapa hari sebelum daki bukit tu. Kebetulan view tengah lawa. Musim padi menghijau kan. Kalau diikutkan, kebanyakan orang yang tak berapa familiar akan upah guider untuk naik atas tu. Satu kepala akan dikenakan caj sebanyak RM 20.00 Sebab Mekti kata, Bukit Kodiang ni agak mencabar. Tapi disebabkan kami yakin bahawa cuti sekolah ni ramai orang, maka kami nekad untuk berdikari. Tambahan pula, dah ada tangga dipasang pada tempat untuk naik ke puncak gunung tu. Inshaa Allah lebih mudah lah.

Pukul 8.15 pagi aku ambil Mekti di Stesen KTM Kodiang. Perjalanan ke Bukit Kodiang mengambil masa selama 7 minit sahaja dari stesen KTM tersebut. Setibanya di kaki bukit, ada tempat parkir motosikal dan juga kereta. Motosikal kena bayar RM 1.00, manakala bagi kereta pula RM 2.00 sahaja. Bayaran boleh diberikan kepada makcik yang tunggu di situ.

Mekti bersama skuter merah

Kawasan parkir motosikal
Pendakian kami penuh dengan cabaran. Almaklumlah, sudah dua minggu lebih rasanya aku tak beriadah. Trek pendakian pula curam bukan biasa-biasa. 90 darjah pun ada.

Ni cabaran 90 darjah yang pertama
 
Kemudian akan jumpa tangga merah ni
Kalau nak view lawa, memang kena naik la tangga ni. Mekti kata, sebelum ni guna tali. Kena absailing kat batu ni. Kalau tengok view dari atas, memang meremang la. Tak boleh bayangkan kalau terlepas dan jatuh. Maunya jatuh bendang. Masa ni memang tawakkal la. Inshaa Allah boleh ja. Sebab ni baru permulaan. Ada lagi checkpoint yang menyeramkan. Untuk beginner macam aku lah.
View dari bahagian atas tangga
Jurukamera pun tak berani nak snap gambar dekat dengan kawasan tangga sebab takut jatuh. Padahal sebelum tu dah panjat. Ok, selepas panjat tangga, anda akan menemui satu lagi cabaran, iaitu batu-batu yang bersusun ni. Haih, kaki pun tak berapa nak panjang kan. Risau sangat tak sampai. Tapi alhamdulillah, usaha tangga kejayaan. Tipsnya kena berpaut teguh pada tali yang disediakan.

Cabaran seterusnya sebelum melihat view yang cantik.
Sebelum terlupa, pastikan pakai kasut yang tapaknya diperbuat daripada getah ya. Lebih sesuai untuk aktiviti memanjat batu ni. Aku tersilap pakai kasut jogging. Memang asyik menggelungsur ja kaki. Selepas anda berjaya memanjat batu bata ini, hasilnya anda akan dapat melihat view yang sangat cantik subhanallah.

Boleh nampak dengan jelas bukit bersebelahan dengan Stesen KTM Kodiang

Alhamdulillah achievement unlocked!


Beristirahat seketika
Tapi, perjalanan belum berakhir. Tempat yang kami duduk berehat ini bukanlah penamat kepada pendakian Bukit Kodiang ini. Ada lagi puncak nun di atas sana. Pada mulanya aku dengan Mekti macam tak mau dah naik atas tu. Tapi, disebabkan kata-kata orang yang dah turun tu berjaya membakar semangat kami menyebabkan kami panjat juga ke atas.

Tempat di mana berlaku tragedi Disember aku
Seperti yang dapat kita lihat daripada gambar di atas, tempat naik ni sangat mencabar. Aku hampir tak mau naik. Tapi masa kami berdua berdiri di bawah, ada dua orang guider yang tunggu di situ. Merekalah yang membantu kami untuk naik ke atas. Cabaran di sini ialah batu-batu yang ada sukar dipijak melainkan bagi mereka yang memang berkaki panjang. Kalau letak tapak kasut pun, tak lekat. Kata mereka, kalau naik ke atas, boleh dapat 3 view. Aku pun tak faham apa maksud 3 view tu. Jadi, aku pun panjatlah ke atas. Sesudah sampai di atas, guider di bawah memberitahu aku, "Kalau naik pun susah, nak turun nanti 2 kali ganda susah". Allah. Kenapa baru nak habaq. Cuak jugalah.

Mungkin ni View 1
 



Kami berdua hanya melekap pada batuan yang ada. Rasanya ada lagi jalan menuju ke arah belakang bukit ini. Namun kami memutuskan untuk berhenti di sini sahaja dengan harapan agar tidak ditinggalkan kumpulan hikers tadi. Namun harapan kami tidak menjadi kenyataan apabila guider yang berada di bahagian bawah tadi sudah turun. Maka, berusaha keraslah kami berdua survive untuk turun melalui jalan yang mencabar tadi menggunakan tali dan skill yang ada.

Kisah tragis aku ketika hendak menuruni bukit yang aku tunjuk tadi, kaki aku tidak mampu melekat pada mana-mana batu. Tiada tempat untuk dipijak. Apa lagi, menggelungsurlah aku ke bawah. Alhamdulillah ada pokok bersebelahan dengan hujung bukit tadi. Jika tidak aku tak tahulah aku akan bergolek ke mana. Lebam jugalah. Tapi aku puas hati. Sepanjang aku mendaki bukit, inilah kali pertama berlaku kejadian sedemikian. Ada juga kenangan yang boleh aku bawa pulang. Kepada sesiapa yang berminat untuk hiking bukit ni, aku sarankan bawa sarung tangan. 90% memang bergantung kepada tali, terutama sewaktu menuruni bukit. Aku tak bawa pun sebab tak prepare untuk keadaan begitu.

Sekian, coretan aku untuk kali ini. Inshaa Allah, semoga semangat aku untuk meneruskan minat ini tidak terhenti di sini. Masih banyak lagi tempat yang aku senaraikan untuk didaki.
Amin. Wallahua'lam.