Saturday, January 21, 2023

Hilang

السلام عليكم



Bismillah. Alhamdulillah Allah masih beri kesempatan untuk aku bernafas, dan menulis sebuah coretan.

Alhamdulillah, sudah memasuki 10 bulan berkhidmat di bumi Sarawak. Tak pernah terjangkau dek fikiran akan bekerja di sini. Allahuakbar.

Tahun ini usiaku menginjak lagi satu angka. Ketika ini, satu per satu rakan-rakanku yang akrab sudah membina kehidupan sendiri. Aku agak sedih sebenarnya. Dahulu mereka banyak bercerita kepadaku seandainya ada masalah. Aku pun sama.

Namun kini, apabila mereka sudah punya kehidupan sendiri aku terasa seperti ditinggalkan. Tidak pula aku berniat untuk mengganggu mereka. Aku faham masing-masing punya privasi yang harus aku hormati. Aku tidak kurang seperti arkib menyimpan masalah orang sahaja.

Ada waktunya aku juga memerlukan tempat untukku meluahkan rasa dan menceritakan masalah. Hanya diari dan blog ini sahajalah yang menjadi tempat aku meluahkan rasa. Allah Maha Tahu apa yang terbaik buatku.

Habis kuluahkan kepada-Nya yang Maha Mendengar. Dia sedang menghantarku ke suatu destinasi yang misteri. Aku yang sedang melalui takdir-Nya tidak tahu apa yang sedang menanti di hadapan sana. Walau kurasa berat dan tidak mahu melangkah, namun aku perlu tetap melangkah walau perlahan.

Pada usia ini aku terasa seperti kehilangan sahabat-sahabat baikku. Satu per satu. Sedih, kosong itu pasti terasa. 

Jika dahulu, aku akan hiking ke mana-mana tempat yang berdekatan untuk aku bahagiakan diri sendiri. Namun sekarang Allah uji aku. Aku tak punya kenderaan yang sesuai dan aku takda rakan-rakan yang boleh aku ajak sesuka hati. Tambahan pula, tempat di sini agak jauh jika aku nak ke sana.

Tak apa. Aku tetap akan bersabar menanti apa yang Allah dah susun untuk aku. Aku kena kuat dan yakin dengan takdir-Nya.

Allah takkan beri sesuatu untuk sia-siakan hamba-Nya. Dia Maha Tahu yang terbaik, maka pasti yang terbaik juga Dia akan bagi untuk aku. Inshaa Allah aminn..