Saturday, January 12, 2019

Memori Demam di SAINA

السلام عليكم

Bismillah. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, dan Maha Pengasih.
Sejak dua hingga tiga hari lepas aku mengalami sakit tekak, dan sejak semalam hingga ke hari ini, suhu badan sedikit meningkat. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Sesungguhnya sudah lama aku tidak merasakan demam.



Sakit itu tanda Allah ingat akan kita. Terharu rasanya. Perkara ini telah membuatkan aku terkenang kembali kisah lama yang berlaku di sekolah menengah dahulu.

2010
Suatu hari aku diuji dengan demam panas. Sewaktu itu aku berada di asrama. Kebetulan bukan tempoh untuk pulang bermalam. Pada waktu itu sekolah bakal mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik. Ayahku bakal menghadirkan diri sekaligus bakal menjemputku pulang dari asrama.

Keadaan aku sewaktu itu sungguh tidak bermaya. Masih kuingat, tatkala aku menghadiri raptai untuk HAKA. Sebungkus tisu kecil sememangnya menjadi bekalan untukku. Mata dan hidungku berair. Keadaan bertambah kritikal ketika aku solat berjemaah di Surau al Fathonah. Subuh hari Jumaat. Bayangkanlah bagaimana aku harus bertahan tatkala imam membaca surah as Sajdah. Allah. Indah sekali ujian itu. 

Pernah keadaanku menjadi lebih kritikal ketika berada di asrama. Badanku panas sekali. Di saat ketiadaan ahli keluarga; mak dan ayah di sisi, maka sahabat-sahabatlah yang menjadi mak dan ayahku ketika itu.

Masih aku ingat, ketika itu aku berada di dorm D22. Tingkat paling atas sekali. Pada malam itu, aku tidak bermalam di dorm kebiasaan tempat aku bermalam. Betapa rakan-rakanku bertungkus lumus menjagaku. Insan yang paling kuingat ialah Raisha Nabila. Kesibukannya menjaga diriku sewaktu itu telah menggantikan tugas seorang ibu di sisi seorang anak yang demam panas. Rakan-rakan lain seperti Arif Syazana, dan mereka yang bermalam di C13. Izzati tiada di asrama semasa itu kurasa.

Mereka sanggup berkongsi wang untuk membelikanku air 100 Plus di mesin air asrama semasa itu. Pelbagai petua mereka lakukan padaku. Antaranya termasuklah tuam air perahan daun bunga raya. Raishalah yang menuamku saat itu. Tepat pukul 12 pagi, dia mengejutkan aku untuk mandi. Katanya, mandi pada waktu tengah malam boleh menyembuhkan demam. 

Keesokannya, ialah HAKA. Aku berjaya pulang dan berehat di rumah sendiri. Alhamdulillah, beberapa hari juga aku berehat di rumah. 

Kutitipkan sekalung penghargaan buat mereka yang telah membantu aku semasa berada di saat kesusahan. Sungguh, kebaikan mereka tidak dapat kulupakan dalam ingatan. Semoga Allah membalas kebaikan mereka.

FATIN HANINI BINTI MOHD YUSOFF
Jam 1540
Kampung Kemboja