Sunday, January 17, 2021

2020 : Tersentak Lenaku Seketika

السلام عليكم

Alhamdulillah 'ala kulli hal.
Terima kasih Ya Allah untuk setiap perkara yang engkau hadiahkan buatku sama ada ia membuatkan aku mengalirkan air mata duka mahupun suka. 2020 bakal melabuhkan tirainya. Dahulu aku pernah menitipkan bagaimana tahun 2019 aku berlalu.


Julai 2020 
Aku nak ceritakan satu kisah yang menyentap jiwa aku untuk tahun ini. Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, mak diuji dengan masalah kesihatan. Aku yang sewaktu itu berada di sekolah, menerima pesanan mesej melalui aplikasi whatsapp. Izat memaklumkan bahawa mak tiba-tiba jatuh di bilik air dan sebelah badan mak tidak berfungsi. Hati mana yang tidak meruntun. Air mata yang bertakung tumpah jua. Aku seakan tidak percaya. Pagi sebelum ke sekolah mak sihat seperti tiada apa akan berlaku. Namun itulah hakikat yang perlu aku telan. Aku segera pulang dan membawa adik-adikku ke Hospital Kangar. Menggantikan ayah dan Izat yang sejak pagi menunggu mak di hadapan bangunan Wad Kecemasan. Kami masih belum terima apa-apa perkembangan tentang mak. Kira-kira habis azan Asar, doktor memanggil waris. Aku dimaklumkan bahawa mak mengalami pendarahan di dalam kepala akibat pembuluh darah pecah. Mak perlu ditahan di wad. Aku terkedu saat doktor memaklumkan bahawa mak perlu dibedah sekiranya pendarahan tersebut bertambah teruk. Segala keputusan perlu rujukan daripada pakar. Namun, sekiranya tidak teruk doktor akan beri ubat untuk mengawal tahap tekanan darah mak.

Saat pertama kali aku melihat kelibat mak di atas katil dalam wad kecemasan, aku seolah-olah tidak mengecam itu ialah mak. Badan mak berbeza, wajah mak juga. Aku harus berpura-pura kuat. Aku menahan air mata daripada tumpah di hadapan ahli keluargaku. 

Kami bergilir malam untuk menjaga mak di wad. Perkara yang paling menguji ialah sewaktu menguruskan mak. Alhamdulillah Allah hadirkan dua orang adik lelaki yang masih muda dan kuat. Nak mengharapkan aku, aku tak cukup kuat untuk mengangkat mak dari katil ke kerusi roda. Allah hadiahkan sebuah kenangan buatku. Aku mandikan mak, bersihkan mak, salinkan lampin, dan pakaikan pakaian untuk mak. Mak masih lagi tak dapat bercakap seperti sediakala. 

Tempat aku tidur semasa menemani mak di wad.

Ayah? Ayah seperti biasa menonjolkan yang dia kuat. Walhal aku tahu betapa ayah sangat risaukan mak. Kalau boleh, ayah nak temankan mak bermalam di wad tetapi jururawat menyarankan agar waris perempuan yang menjaga pesakit di waktu malam. Aku tak tahu sama ada ayah makan atau tidak pada hari tersebut. Satu perkara yang paling menyentuh jiwa aku ialah ketika aku menelefon ayah untuk meminta bantuan ayah. Aku tak cukup kudrat untuk mengangkat mak. Mak mahu mandi di bilik air.

Ayah on  the way ke Hospital Kangar 

"Nanti ayah minta tolong Izat. Badan ayah tak larat nak angkat."
Itulah kali pertama ayah menyatakan kelemahannya kepada anak-anak. Aku menahan sebak lagi. Hari raya kami tidak seperti selalu. Mak sudah boleh bercakap dan lebih sedar berbanding keadaannya yang lali sebelum ini.

Keadaan mak di bawah pengaruh ubat lali

Makan perlu dikawal. Setiap masa akan ada jururawat dan doktor yang datang memantau keadaan mak. Terima kasih yang tak terhingga aku ucapkan buat seluruh tenaga kerja di Hospital tersebut yang telah banyak membantu merawat, memantau dan menjaga mak.

Mak betul-betul tekad nak balik ke rumah walaupun baru hari kedua mak di wad. Mak nak balik balut ketupat dan masak rendang. Padahal mak belum betul-betul sihat pun. Tekanan darah pun masih tinggi. Jadi, aku bergegas pulang dan masak pulut buat pertama kalinya. Alhamdulillah, aku berjaya menyiapkan ketupat dan keadaannya baik. Syukur sangat. Aku risau terpaksa membazir jika tak jadi. Selalunya maklah yang akan masak pulut dan tugasku membalut ketupat. Tapi kali ini Allah ajar aku untuk lakukannya sendiri. Siap ketupat dan rendang, aku dan Dekna segera ke hospital.

Ketupat dan rendang berjaya siap

Esoknya Hari Raya Aidiladha. Tiada hari raya untuk kami. Keadaan di rumah tidak asing seperti RnR. Kami hanya pulang menukar pakaian, berehat dan solat. Makan pun tidak terurus kerana bergilir-gilir ulang alik ke hospital. Hanya sediakan makan untuk ayah. Ayah tak makan masakan kedai.

Rutin harianku semakin bertambah. Seiring dengan bertambah bebanan di minda. Macam-macam perkara yang aku fikirkan. Alhamdulillah sewaktu itu sekolah aku ditutup atas isu keselamatan gara-gara Covid19. Hadi dan Dekna pun cuti, Izat pun sama. Takdir Allah, mak jatuh di rumah sewaktu adik-adik lelakiku masih di rumah.

Ogos 2020
Alhamdulillah, keadaan mak semakin baik. Mak marah sekiranya kami melarang mak untuk melakukan pekerjaan yang berat sedikit. Kata mak, biarlah mak bekerja untuk melatih kembali otot dan saraf mak. Mak selesai berurut dan fisioterapi. Kini, mak perlu menjaga pemakanan mak sahaja. Alhamdulillah mak dah mula kawal pengambilan garam dan gula. Badan mak pun semakin surut.

September 2020
Mak sudah mula menunggang skuter. Mak dah mula ke kelas pengajian di surau. Pada awalnya, aku menghantar dan menjemput mak dari surau. Namun kini mak hendak bergerak sendiri. 

Mak beli beg galas sebab nak pi mengaji dengan skuter

Alhamdulillah Allah pinjamkan kudrat untuk mak. Keadaan ayah pun tidaklah sebaik mana sekarang ini. Dek kerana sudah terlalu lama melakukan kerja-kerja berat seawal usia remaja lagi. Sejak berusia 12 tahun jika aku tak salah. Ayah dah mula bekerja untuk membantu keluarganya.

Januari 2021
Alhamdulillah keadaan mak semakin baik. Kerja-kerja rumah pun mak dah boleh buat. Mak sudah berani berjalan lebih jauh. Namun, aku merasakan bahawa kesihatan aku pula yang semakin terjejas. Kasihan ahli keluargaku yang lain. Hanya satu aku pinta. Semoga Allah pelihara diri aku lahir dan batin. Moga-moga aku sentiasa berusaha untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari hari ke hari.

WARKAH DARI HATI
Buat mak, ayah, adik-adik.
Kak minta maaf sangat-sangat andai kak selalu menyusahkan semua orang. Pada usia 27 tahun ni kak masih gagal untuk memberikan balasan seperti yang mak ayah harapkan dahulu. Kak masih menyusahkan mak ayah untuk menanggung kehidupan kak ni.

Doakan agar kak dijemput Allah dalam husnul khotimah. Kak minta maaf atas semua salah silap kak. Moga Allah ampuni dosa-dosa kak. Moga Allah angkat amal kak yang tak banyak ni di sisi-Nya.

KAK SAYANG SEMUA KERANA ALLAH
MOGA BERKUMPUL SEMULA DI SYURGA SANA
Amin, Inshaa Allah.

Al Faqirah Ilallah,
17 Januari 2021/4 Jamadilawal 1332
12:27 pagi
Kampung Kemboja