Monday, July 22, 2019

Travelog : Hari Terbuka TLDM @Lumut

السلام عليكم

April 2018
Lebih kurang setahun tiga bulan yang lalu, kami telah berkesempatan untuk menjejakkan kaki buat kali pertama ke Kem Tentera Angkatan Laut diRaja Malaysia. Tujuan utama kami ke sana adalah untuk menziarahi tempat Izat bekerja memandangkan sudah hampir tiga tahun sejak Izat berkhidmat di sana, kami belum pernah untuk menjejakkan kaki, apatah lagi meninjau keadaan di sana.

Tahun 2018 merupakan tahun terakhir sebelum Izat dipostingkan ke tempat berkhidmatnya yang baru. Kini Izat berkhidmat di Kem Tentera Laut Tanjung Pengelih, Johor. Kali pertama tayar keretaku bergolek sehingga ke Perak.

Aku, Hadi, Mak dan Dekna sahaja yang pergi ke sana bersama dengan keluarga Paksu Din. Kami ke sana dengan menaiki dua buah kereta yang berbeza. Namun, apa yang pasti kami menaiki kereta kebanggaan buatan Malaysia. *selingan

Kami bergerak dari Changlun seusai menunaikan solat Zuhur di rumah. Manakala Paksu sekeluarga telah berjanji untuk berkumpul di RnR Gurun. Memandangkan Paksu bertugas di Masjid, kadangkala ada perkara yang perlu diselesaikan sebelum meneruskan urusan peribadi. Petang itu, waktu kami sedikit tertunda dek kerana memberi laluan buat Paksu yang masih perlu bertugas di Masjid.

Tayar kereta kami bergolek menuju ke arah selatan kira-kira jam 5 petang hari itu. Aku dan Hadi bergilir-gilir memandu. Namun, petang itu aku memberi laluan buat Hadi untuk menjadi pemandu kereta kami. Sepanjang perjalanan ke Lumut, kami menggunakan Jalanraya Utara-Selatan dan mengambil susur keluar Taiping jika tidak silap.

Setelah kami melalui susur keluar tersebut, waktu ketika itu sudah hampir senja. Ditakdirkan Allah, kami perlu melalui jalan kebun kelapa sawit di kiri dan kanan jalan. Kami hanya menurut arahan daripada Google Maps. Tidak ada pilihan lain untuk sampai ke sana dengan lebih cepat. Izat sudah menunggu kami di Lumut.

Setelah beberapa jam, kami tiba di Aeon Lumut. Kami bercadang untuk mengisi perut yang lapar dan menghilangkan keletihan sepanjang berada dalam perjalanan. Selesai sahaja mengisi perut yang lapar, Izat membawa kami ke sebuah homestay yang telah ditempah olehnya sendiri. Subhanallah, cantik sekali. Terima kasih Izat kerana telah menyediakan penginapan kepada kami semua. Homestay dua tingkat, dengan dekorasi dalaman yang begitu cantik, kemas dan bersih. Terdapat banyak bilik di homestay tersebut.

Pada malam itu, Izat telah membuat satu kejutan buat Mak. Beberapa hari lepas, mak telah menyambut tarikh ulangtahun kelahiran beliau yang ke-52 tahun. Namun disebabkan tuntutan kerjaya, Izat tidak berpeluang untuk meraikannya bersama-sama dengan kami di kampung. Oleh itu, Izat menyambutnya sedikit lewat di Lumut. Mak kelihatan begitu gembira. Begitu juga kami.

Malam itu, kami tidak bercadang untuk keluar lagi memandangkan semua telah keletihan dan keesokan harinya kami perlu bergerak awal ke Kem TLDM Lumut.

Keesokan harinya, kami check-out homestay seawal 10 pagi. Semuanya telah bersarapan, memandangkan Paksu telah membelikan kami beberapa jenis juadah sarapan pagi yang dijual di sekitar kawasan homestay kami.

Ketika kami sampai ke kem TLDM, kelihatan sudah ramai pengunjung yang tiba di sana. Kami sangkakan kami sudah menjadi yang terawal, namun tidak. Aku begitu teruja melihat suasana di sana. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke kem tentera. Pernah suatu ketika dulu aku bercita-cita untuk berkhidmat di dalam bidang ketenteraan. Namun, dek kerana tidak mendapat sokongan daripada mak, aku kuburkan saja impian itu. Namun tidak salah jika hendak berangan, kerana berangan kan percuma. ^_^

Pelbagai pameran diadakan di sana. Namun apa yang lebih menarik perhatian orang ramai ialah kami berpeluang untuk menaiki dan meneroka kapal laut TLDM. Terdapat dua buah kapal TLDM yang dibukakan ruang kepada orang ramai untuk menaikinya. Kami berkesempatan masuk ke bahagian ruang kawalan kapal. Perasaan teruja begitu mendalam.

Sebaik sahaja kami turun dari kapal, pasukan TLDM telah mengadakan pertunjukan aksi kapal-kapal laut yang digunakan oleh pasukan mereka. Setelah puas meneroka pameran tersebut, serta bergambar kenang-kenangan, kami mengambil keputusan untuk bertolak ke destinasi seterusnya.

Sebenarnya kami tidak merancang untuk ke mana-mana lokasi lain. Namun, terdetik juga untuk ke Pulau Pangkor. Memandangkan kami belum pernah sampai ke sana. Prosedurnya sama sahaja seperti hendak ke Pulau Langkawi. Kami meletakkan kenderaan di bahagian parkir berbayar yang berada berdekatan dengan jeti.

Setelah beratur untuk membeli tiket, kami menaiki feri ke sana. Perjalanan di atas feri mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba ke Pulau Pangkor. Setibanya kami di sana, kami telah menyewa sebuah van bagi memudahkan pergerakan untuk meneroka Pulau Pangkor pula.

Berbekalkan minyak petrol bernilai RM10 sahaja, kami berjaya mengelilingi seluruh pulau. Bahagian yang paling mengerikan ialah apabila van yang kami naiki terpaksa mendaki bukit yang sangat curam. bayangkanlah, kami seramai 10 orang yang berada di dalam perut van tersebut. Kelihatan mulut penumpang di belakang hanya mampu terkumat-kamit berzikir apa yang dirasakan mampu untuk menenangkan diri masing-masing.

Ironinya, Hadi dan Paksu di bahagian pemandu boleh tersenyum gembira pula. Barangkali mereka sangat menyukai perkara yang mencabar sebegini. Setelah puas mengelilingi seluruh kawasan pulau, kami berhenti di sebuah persisiran pantai. Tidak kuingat apakah nama pantai tersebut.

Keluasan Pulau Pangkor tidaklah seluas Pulau Langkawi. Oleh itu, tidak hairanlah jika kami mampu untuk mengelilingi sekeliling pulau itu dalam masa separuh hari sahaja. Setelah puas menemani adik-adik sepupuku bermandi manda, kami bergerak pulang ke jeti, kemudiannya menaiki feri dan kembali ke tanah besar.

Kami tiba di seberang sewaktu azan Maghrib sedang berkumandang. Sebelum bertolak pulang ke Kedah, kami singgah di rumah bapa saudara pupuku untuk solat dan membersihkan diri. Dalam kesempatan itu, kami turut menziarahi isteri beliau yang diuji oleh Allah dengan sakit kanser pangkal rahim tahap 4. Kini, isteri beliau telah pulang ke rahmatullah. Al Fatihah buat Mak Njang Fiza.

Perjalanan pulang kami begitu singkat terasa. Kami tiba di Changlun pada pukul 3 pagi. Keesokan harinya aku perlu ke sekolah pula. Biarpun keletihan, namun kami puas dan gembira. Semoga Allah masih memberi kesempatan untuk mengulangi semula kenangan seperti itu.