Tuesday, November 5, 2019

Jangan Main-main Dengan Niat

السلام عليكم
PROLOG


Hadis pertama di dalam Kitab 40 Hadis Imam An Nawawi :
عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: “إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ”
Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu, katanya: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.’”
(Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)
***
Jadi, aku sekadar berkongsi tentang beberapa perkara yang telah berlaku dalam hidup aku selama yang aku sedar. Hari ini, aku sudah berusia 25 tahun dan banyak sudah perkara yang aku lalui dan aku perolehi sama ada aku mahu atau tidak. Banyak perkara yang berlaku, berada di luar kuasa aku sebagai makhluk Allah.


Allah Maha Mendengar. Banyak sudah perkara yang aku tak pernah ada dahulu, tetapi kini Allah pinjamkan kepada aku. Apa yang lebih menakjubkan lagi, Allah pinjamkan sesuatu itu berdasarkan apa yang aku niatkan suatu masa dahulu. Aku akan keluarkan beberapa point yang aku sedar sedang berlaku kepada aku sekarang.


1. Kereta
Sejak tahun 2015, aku sudah mula terlibat dengan kegiatan persatuan dan jemaah. Maka banyaklah meeting yang perlu aku attend. Sehinggakan aku kerapkali meminjam motosikal daripada seorang senior PPIP, Kak Syamimi Abd Salam. Pada waktu itu, aku sudah berputus harapan untuk mengambil lesen kereta kerana sudah 4 kali aku gagal dalam ujian memandu. Habis semua wang simpanan sejak zaman sekolah hingga ke zaman matrikulasi aku laburkan untuk mendapatkan lesen memandu. Tak pernah terlintas di dalam hatiku untuk memandu kereta, apatah lagi memiliki sebuah kereta.

Selepas tamat pengajian di USM, aku bergerak kerja di kampung halaman. Jika ada mesyuarat di tempat yang jauh, maka Widadlah yang terpaksa menemaniku sekaligus menjadi pemandu untuk membawaku ke sana dan ke mari. Pernah suatu hari, telefon pintarku rosak dek kerana dimasuki air. Kisahnya aku menunggang motosikal meredah hujan yang sangat lebat. Aku tak dapat nak selamatkan. Habis basah seluruh isi beg aku. Walaupun aku dah simpan di bawah baju hujan.

Jika ada usrah atau mesyuarat pada malam hari di MTD, aku akan buat 'jadual menumpang'. Kadangkala aku menumpang Kak Syamila, kadangkala Ustazah Saidah dan kadangkala Kak Piyah. Aku malu asyik menumpang orang ke sana ke sini. Sehinggalah penghujung tahun 2017, aku kembali mengambil lesen memandu, Aku perlu bermula dari awal semula. Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka aku lulus ujian memandu. Setelah memiliki ujian memandu, aku belum punya wang atau apa-apa lagi. Namun, terlintas di hati untuk membeli sebuah kereta dengan tujuannya mudah hendak bergerak ke program jemaah dan bantu rakan-rakan yang nak ke program. Berbekalkan gaji RM700 sebulan pada masa itu, aku pasang niat dan usaha contact salesman Perodua. Walaupun ada beberapa halangan untuk bank meluluskan pinjaman aku, namun Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya.

Kini, sudah hampir 2 tahun aku memiliki kereta tersebut, dan boleh dikatakan hampir setiap minggu aku sangat sibuk ke program atau mesyuarat. Sampai satu masa aku berasa sangat letih, tiba-tiba terlintas semula permintaanku kepada Allah suatu masa dahulu. Rupa-rupanya Allah beri apa yang kita mahu, menurut niat.

2. Tempat Bekerja
Semasa di universiti, aku pasang niat dalam hati. Semoga selepas tamat pengajian, aku mahu bekerja berdekatan dengan kampung halaman. Antara niatku semasa itu ialah :
  • Nak berkhidmat dengan mak ayah, adik-adik
  • Nak bergerak kerja di bawah kawasan
  • Nak bergerak kerja di bawah negeri Kedah 
Selesai pengajian, aku ditemuduga bagi jawatan PPPDG41. Namun setelah hampir 3 tahun menunggu, aku masih belum dipostingkan ke mana-mana sekolah. Tetapi banyak kerja yang aku buat di Changlun. Siangnya menjadi guru di sekolah rendah agama swasta, petang dan hujung minggu aku menjadi tutor di rumah orang, malamnya aku menjadi designer.
Tertekan juga setelah mengenangkan nasib aku yang masih belum dipostingkan. Ramai sudah teman sepengajian yang sudah dilantik bagi jawatan tersebut. Namun, setelah direnungkan kembali aku sedar bahawa Allah sedang memberi keadaan mengikut apa yang aku niatkan suatu ketika dahulu. Subhanallah.

3. Kerjaya
Semasa di bangku sekolah rendah lagi, aku sudah memasang niat untuk menjadi seorang guru. Cita-cita itu begitu kuat sehingga aku berada di zaman matrikulasi. Jadi, antara sebab mengapa aku hendak menjadi seorang guru adalah kerana :
  • Boleh tanda kerja rumah dengan pen merah (niat masa sekolah rendah)
  • Nak perbaiki akhlak remaja
  • Nak pahala berpanjangan
  • Nak cuti banyak ;P
  • Nak kongsi ilmu dengan semua orang
  • Nak didik masyarakat
Kini, aku tak dapat lari daripada kerjaya tersebut. Apa jua usaha yang aku lakukan untuk keluar daripada bidang ini, Allah belum izinkan. Hampir setiap peluang pekerjaan yang aku terima ialah melalui bidang pendidikan. 98% sumber rezeki yang aku peroleh pada hari ini adalah dengan menjadi seorang guru. Sama ada guru di sekolah, ataupun guru di rumah-rumah.
***
UJIAN HATI
Sungguhpun begitu, hati ini sangat teruji. Niat-niat dan kata-kata yang menjadi 'ikrar' suatu ketika dahulu, kini Allah uji satu per satu. Pernah sengaja nak mencipta alasan untuk tidak hadir ke program kerana hujan. Walhal, Allah sudah memberikan aku sebuah kereta. Pernah hampir berputus asa untuk membantu anak-anak murid yang lemah dalam pelajaran. Merungut mengapa aku belum posting dan sebagainya.

Namun dalam tidak sedar, Allah sedang memakbulkan satu per satu perkara yang pernah aku pinta suatu masa dahulu. 
Allah berfirman :
"Nikmat Tuhan yang manakah yang engkau dustakan?"
(Ar Rahman)
Makhluk yang bernama manusia ini sememangnya tidak akan pernah puas melayan kehendak nafsu yang menguasai jiwa. Sentiasa mahukan sesuatu yang tidak menjadi kepunyaan diri.

***
PENUTUP
Akhir sekali, aku sangat-sangat berharap agar aku tidak tersasar daripada niat asalku yang sebenar. Aku takut seandainya Allah menguji aku dengan ujian yang lebih besar dan tidak tertanggung olehku berdasarkan kata-kata aku suatu masa dahulu. Semoga Allah menghadiahkan taufiq dan hidayah untuk diri yang fakir ini.

Sekian,
FATIN HANINI BINTI MOHD YUSOFF
Hamba Allah yang berkelana
Jam 0122  @ Kampung Kemboja