Wednesday, January 1, 2020

2020 : Mencari dan Menanti Hikmah

السلام عليكم


Alhamdulillah, Allah masih meminjamkan kudrat ini, tubuh badan ini serta nikmat kehidupan di atas muka bumi-Nya hingga ke detik aku menukilkan bait-bait perkataan ini. Tanggal 1 Januari 2020 aku menyelak lembaran baru dalam kamus kehidupanku. Tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Aku tidak begitu teruja, tidak juga ternanti-nanti bahkan tiada sebarang azam yang aku selitkan bersama-sama dengan permulaan tahun yang baharu ini.

2019 telah merakamkan jatuh dan bangunnya seorang insan bernama Fatin Hanini. Tahun yang penuh dengan suka dan duka. Bagaimana konsep sebuah cerita, biarpun permulaannya gembira namun pengakhirannyalah yang bakal menyimpulkan sebuah penceritaan. Tahun 2019 aku berakhir dengan sebuah kisah yang menyedihkan bagiku. Aku selak kembali halaman belakang. Aku tatap cerita ini dari permulaannya, pertengahannya hingga ke penghujungnya.

Allah sedang mengujiku. Berat, susah dan payah untukku teruskan menapak kehidupan ini. Aku rahsiakan kesakitannya daripada orang sekelilingku. Hatta mak dan ayah. Aku cuba berlagak kuat. Kadangkala tewas jua. Aku tak suka menagih simpati walaupun hakikatnya aku sering memberikannya kepada orang lain. Perkara terbesar yang aku risaukan itulah yang diuji oleh Allah.

Banyak perkara yang tidak menjadi rezekiku pada tahun 2019. Pada saat aku meraikan kejayaan sahabat-sahabat terdekatku yang lain, aku sedang meratapi nasibku sendiri jauh di dalam lubuk hati. Aku yakin, mereka juga berkorban untuk mencapai kejayaan tersebut. Alhamdulillah. 

Semoga 2020 menjadikan aku lebih dekat dengan Allah, dan segala urusan aku Allah berkati. Aku takut nak melangkah. Tapi, aku tetap perlu hadapi setiap satu urusan yang Allah dah aturkan untuk aku. Cuma nak kena bijak buat pilihan. Moga Allah pandu aku.

Muhasabah 2019. Gantungkan pengharapan kepada Allah SWT, kerana Dia kekal abadi dan Dialah yang Maha Berkuasa. Tidak rapuh dan goyah seperti makhluk. Pintalah kepada Allah sama ada di saat kau faqir mahupun lemah. Dialah yang Maha Kaya dan Maha Kuat.

Maha Suci Allah. Terima Kasih Ya Allah di atas segala nikmat untuk sepanjang kehidupanku ini. Alhamdulillah 'ala kulli hal wa ni'mah, La hawla wala quwwata illa billah. 

Al Faqirah Ilallah, 
Fatin Hanini Mohd Yusoff
Menanti hikmah