Tuesday, September 24, 2019

Hani Was Taken!!

السلام عليكم
























Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk PPPDG41

السلام عليكم

Alhamdulillah, hari ini aku selesai menjalani sesi temuduga SPP bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41. Tempat temuduga aku ialah di Wisma Darulaman.


Memandangkan sesi aku jatuh pada hari pertama temuduga, jadi aku agak nervous dan tertanya-tanya siapakah bakal panel penemuduga aku nanti. Seawal 6.45 pagi aku bertolak seorang diri ke Wisma Darulaman dengan membawa segala persediaan yang telah aku siapkan sehingga jam 4 pagi semalam. Selagi tak sampai masa, selagi itulah aku asyik 'punggah' fail aku.

Bersama ex-classmate di zaman kampus. Farhan dan Husna.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama aku menghadiri sesi temuduga SPP. Dua tahun lalu, aku sudah pernah ditemuduga bagi jawatan yang sama. Namun, pada tahun itu, tiada sesiapapun dari semenanjung tanah air yang dilantik bagi opsyen Matematik. Setakat yang aku selidik sehingga kini lah.

Jadi disebabkan itu, aku nak ambil peluang untuk berkongsi beberapa perkara yang boleh diambil sebagai maklumat buat sesiapa yang bakal menjalani sesi temuduga selepas ini.

PAKAIAN
  • Baju formal 
Antara baju formal yang boleh dipakai oleh calon ialah baju kurung atau baju kemeja bersama blazer. Mengikut etika kod pemakaian, tidak perlu memakai blazer sekiranya seseorang sudah mengenakan baju kurung kerana baju kurung sendiri sudah menjadi pakaian formal. Jika hendak memakai blazer, boleh dipakai bersama kemeja.
Calon lelaki seperti kebiasaannya, berpakaian kemeja, tali leher, seluar slack dan blazer.
  • Kasut bertutup
Jangan sesekali pakai sandal atau selipar. Markah pemakaian turut diambil kira semasa sesi temuduga. Pastikan anda memakai stokin kaki. Bagi calon wanita sebaiknya mengenakan stokin kaki berwarna kulit.
  • Tag nama
Tag nama dipakai di sebelah kiri. Tag nama sebaiknya hanya satu perkataan. Contohnya jika nama anda 'Siti Aminah'. Maka, pilih satu sahaja perkataan nama anda untuk ditulis di atas tag nama tersebut seperti 'Aminah'.
Saiz tag nama jangan terlalu kecil. Tempah saiz standard.

FAIL
Aku susun fail dan buat partition mengikut bahagian-bahagian berikut :
  • Maklumat diri
  1. Resume
  2. Kad Pengenalan Diri (original)
  3. Sijil Kelahiran (original)
  • Maklumat akademik
  1. Skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
  2. Pengesahan ikhtisas
  3. Transkrip akademik ijazah sarjana muda
  4. Sijil tamat pengajian Program Matrikulasi
  5. Transkrip akademik matrikulasi
  6. Transkrip Sijil Pelajaran Malaysia
  7. Sijil berhenti sekolah
  8. Sijil PEKA
  9. Sijil peperiksaan MUET/ bahasa Inggeris
  10. Sijil bahasa asing (sekiranya ada)
  • Maklumat perkhidmatan
  1. Laporan daripada majikan (sekiranya anda sedang berkhidmat)
  2. Surat sokongan majikan (untuk menunjukkan laporan prestasi sepanjang berkhidmat)
  3. Sijil-sijil yang berkaitan dengan perkhidmatan
  • Maklumat kokurikulum
  1. Transkrip ko-kurikulum (kalau di USM, ada transkrip MyCSD)
  2. Sijil-sijil tertinggi mengikut turutan (Antarabangsa > Kebangsaan > Negeri > Universiti/Sekolah)

SALINAN DOKUMEN
Salinan-salinan dokumen aku letak dalam satu sampul asing. Sertakan senarai semak dokumen sekali.
  • Kad Pengenalan (depan & belakang)
  • Sijil Kelahiran
  • Transkrip SPM
  • Skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
  • Transkrip Akademik Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
  • Pengesahan Ikhtisas
  • Sijil-sijil kokurikulum yang tertinggi

BUKU RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
Ada sesetengah IPTA yang membenarkan pelajar menggunakan fail, dan ada yang menggunakan buku untuk menulis RPH. Boleh kemaskan isi kandungan RPH anda. Kemaskini apa yang patut.

SESI TEMUDUGA
  • Fasa sebelum
  1. Baca maklumat berkaitan pendidikan. (Sejarah / Perkembangan / Isu terkini)
  2. Baca organisasi tertinggi kebangsaan/ negeri (KPM & SPP)
  3. Falsafah Pendidikan Kebangsaan
  4. Rancang set induksi topik yang mahu diajar sekiranya diminta untuk mengajar semasa sesi temuduga
  5. Baca kandungan topik subjek bagi opsyen yang dipohon
  6. Kenalpasti siapa panel penemuduga anda (boleh tanya kerani di kaunter semasa semakan dokumen).
  7. Panel biasanya terdiri daripada pegawai SPP dan seorang lagi Guru Kanan Matematik
  • Fasa semasa
  1. Susun maklumat yang mahu disampaikan terutama bahagian pengenalan diri. Masa ditemuduga, ada beberapa perkara yang aku tercicir sebab nervous.
  2. Bercakap dengan jelas dan tenang. Just go with the flow. Ibarat perkongsian sahaja.
  3. Perlu aktif menjawab soalan. Kebiasaannya, panel akan melontarkan satu persoalan dan calon-calon perlu aktif menjawab. Angkat tangan, dan jawab sekiranya diberi keizinan daripada penemuduga. Jangan terlalu pasif.
  4. Yakin dengan apa yang disampaikan.
  5. Hayati profesion keguruan dengan hati.
  • Fasa selepas
  1. Bersalaman dengan panel dan ucapkan terima kasih.
***

Jadi, itu sahajalah yang dapat dikongsikan buat masa ini. Jika ada kesempatan, aku akan kongsikan koleksi soalan yang sering ditanya oleh panel penemuduga. Doakan agar aku dan rakan-rakan seperjuangan dapat penempatan kali ini. Inshaa Allah, aamiin.

Fatin Hanini binti Mohd Yusoff
Jam 1830
24 September 2019
Kg Kemboja