Friday, April 22, 2022

Cahaya di Hujung Gelita

السلام عليكم


Bismillah. Alhamdulillah hari ini aku masih berkesempatan untuk menghirup udara di bulan Ramadan yang mulia. Ramadan sudah pun memasuki fasa terakhir sebelum ia berlalu pergi. 

Ramadan kali ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kali ini aku berpuasa di sebuah daerah yang baharu, asing dan agak canggung pada mulanya. Alhamdulillah, aku kini sudah berada di bumi Sarawak. Memulakan khidmat baharu sebagai seorang pendidik di sini.

Menunaikan ibadah puasa asing daripada keluarga bukanlah perkara yang asing bagiku. Namun, pengalaman kali ini agak berbeza bagiku kerana aku menyambut 1 Ramadan pada hari kedua aku berada di bumi kenyalang ini.

Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah atas hadiah dan kesempatan yang Dia berikan kepadaku. Hadiah ini datang di saat aku sudah tidak berharap apa-apa lagi sebenarnya. Pada ketika aku sudah merelakan semuanya dan aku serahkan segala urusan kepada-Nya.

Aku bersyukur kerana akhirnya harapan dan perjalanan mak dan ayah yang tertunda dapat aku teruskan. Walaupun jauh di sudut hatiku sangat berat untuk meninggalkan mak ayah jauh dari tempat aku mencari rezeki ini. Di saat kesihatan mak dan ayah dalam keadaan yang tidak begitu baik seperti dahulunya. Namun aku titipkan doa dan harapan semoga mak ayah dan adik-adik dalam jagaan Allah selalu.

Aku berdoa agar perjalananku di sini dapat membawa 1001 hikmah buat seluruh ahli keluargaku. Aku berharap agar aku dapat membantu mak dan ayah terutama dalam bab ekonomi. Semoga Allah mudahkan niatku untuk membawa mak ayah untuk menunaikan umrah bersama-sama suatu hari nanti. 

Salam rindu dari bumi Bintulu.