Monday, September 17, 2018

Travelog : Musafir ke Terengganu Darul Iman

السلام عليكم

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Beberapa hari lepas, aku telah bermusafir ke negeri yang selama ini sangat aku nanti-nantikan untuk menjejakkan kaki ke sana. Negeri Terengganu Darul Iman. Sebelum ini pernah sahaja aku ke sana. Namun, lebih kepada membeli belah. Kali ini, tujuanku ke sana adalah sedikit berbeza.

Biarpun diuji dengan sedikit masalah kewangan, namun aku tekad untuk turut hadir ke Muktamar PAS di sana,pada tahun ini. 

Bersama-sama dengan sahabat sepermusafiran, Kak Safiyyah. Kami bertolak ke negeri Darul Iman pada pukul 9:00 malam, dari Stesen Bas Changloon. Bas yang membawa kami, bas Jasa Pelangi. Perjalanan yang menuntut kesabaran dek kerana suhu penghawa dingin yang terlalu sejuk, barangkali terkesan dengan cuaca hujan renyai-renyai di luar sana.


Siangnya, sebelum aku bertolak ke Terengganu, aku melalui rutin yang sungguh mencabar. Pagi Khamis itu aku menunggang skuter merahku ke Jitra untuk mengambil button badge yang telah ditempah,kemudiannya perjalanan pulangku ke sekolah aku basah lenjun dek kerana aku perlu meredah hujan yang lebat. Dalam keadaan pakaianku yang basah lenjun itu aku masuk mengajar kelas 4 Umar.

Tengah hari itu, aku perlu menghadiri perjumpaan bersama dengan waris Tahun 6 bagi urusan persediaan UPSR pada pukul 1:15 hingga 2:15 petang. Kemudiannya, aku perlu menghadiri mesyuarat penyelarasan Kejohanan Memanah Sekolah pada pukul 3:00 petang sehingga 4:30 petang. Pakaian serta barangan untuk ke Terengganu belum aku siapkan. Kerna pada malam sebelumnya aku menyiapkan dokumen-dokumen Kejohanan Memanah dan beberapa poster sehingga pukul 4:50 pagi.

Kami tiba di Stesen Bas Kuala Terengganu seawal 6:25 pagi. Kami perlu mendaftarkan diri pada pukul 6:30 pagi untuk urusan persiapan kaunter media. Seusai solat subuh di surau stesen bas, aku dan kak Piyah menempah Grab. Perjalanan dari stesen bas ke Taman Tamadun Islam memakan masa selama lebih kurang 14 minit. Alhamdulillah keadaan trafik pagi itu tidak terlalu sesak. Sepanjang perjalanan, aku terkagum sendiri. Melihat deretan bendera Pas di sepanjang pembahagi jalan. Poster-poster muktamar dapat dilihat jelas pada billboard jalanan. Allahuakbar!!



Setibanya kami di lobi Pusat Konvensyen, kaunter media masih belum ada sesiapa melainkan beberapa orang AJK Tertinggi sahaja termasuklah Kak Najat. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan kami pagi itu. Pengalaman bertugas sebagai Unit Media Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ini memberi suatu nafas baru untukku. Pengalaman dimarahi oleh beberapa orang media perdana, pengalaman berlari-lari ke rumah event untuk mencetak dokumen bagi sidang media, dan lain-lain lagi. Semuanya tersemat kemas dalam ingatan, inshaa Allah.


Apa yang lebih berharga, aku dapat menatap wajah-wajah insan yang selama ini cuma dapat ditatap dalam poster-poster sahaja. Wajah isteri Allahyarham TG Nik Aziz, Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Nuridah, Ustaz Nasruddin tantawi, serta ramai lagi. Tugas kami berakhir sejurus sahaja tamat penutupan Muktamar DMPM petang itu. Namun, aku tidak berkesempatan untuk menjengah masuk ke dalam bangunan Masjid Kristal yang bersebelahan sahaja dengan Pusat Konvensyen itu. Petangnya, sempat aku merakam beberapa perkara penting yang disampaikan oleh Ustazah Nuridah semasa ucapan penggulungan beliau.

 

Malam itu, kami menghadirkan diri ke majlis Muslimat Berselawat. Sepatutnya, kami juga ingin ke stadium bagi mendengarkan Ceramah Perdana, namun cuaca dan keadaan trafik tidak mengizinkan kami untuk ke sana. Selesai program, kami pulang ke homestay dan dibawa oleh Kak Najat. 
 


Kami menginap di homestay urusetia yang berada tidak berapa jauh dari tempat program siang tadi. Alhamdulillah, selesa semuanya. 


MUKTAMAR PAS PUSAT
Keesokan paginya, aku dan kak Piyah bertolak pada pukul 8:00 pagi untuk ke Stadium Tertutup Gong Badak. Pagi itu kami tiba agak awal. Kami berada dalam lautan perwakilan yang memakai baju berwarna hijau turqoise. Ke sana,ke mari kami berjalan untuk mencari tempat makan. Tiba di suatu laluan, kami menyaksikan Jabatan Amal sedang membuat perbarisan dan menyanyikan lagu tema mereka, Amalulillah. Ketika itu, tidak ramai orang perempuan yang berada bersama-sama kami. Namun, kami tidak tahu apa yang membuatkan kami tidak berganjak dari tempat tersebut. Kami berada dalam kawasan penarik beca, bersama dengan beberapa orang yang menguruskan beca tersebut. Kukatakan kepada kak Piyah,"Gimik satgi kot".

Penantian kami tidak sia-sia kerana Allah telah mentaqdirkan kami untuk melihat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari jarak yang sangat dekat. Allahu akbar. Rezeki orang bermusafir barangkali. Sangat tidak dijangka. Rupa-rupanya gerak hati kami membawa kami ke sini.


Selesai sahaja merakam wajah kebanggaan kami, kami berdua bergerak ke sekitar tapak jualan untuk menjamah sarapan pagi. Kemudiannya, masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perasmian serta ucapan dasar Tuan Guru. Beberapa point penting sempat aku catatkan ke dalam buku notaku. Aku sungguh terharu kerana diberi peluang oleh Allah untuk merasai saat ini. Kali pertama aku menghadirkan diri ke Muktamar PAS Pusat. Tahun sebelumnya, aku teringin sangat untuk menghadirkan diri. Namun, apakan daya. Aku terpaksa bekerja sewaktu itu. Lagi pula, aku tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik dari Bertam ke Kedah sewaktu itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja aku menunggang motosikal ke Kompas, namun perancangan Allah lebih baik.


Kali ini, rezeki yang lebih besar Allah hadiahkan. Alhamdulillah. Petang itu, sebelum muktamar diteruskan dengan perbahasan ucapan dasar, aku dan kak Piyah berjalan masuk ke satu ruangan, yang di sebelahnya tertulis 'Perubatan'. Kami berdiri di suatu sudut. Hadiah daripada Allah sekali lagi, apabila sebenarnya kami berada di suatu ruangan yang dipenuhi dengan tokoh-tokoh terkemuka PAS. Antaranya, adik kepada TGNA, Saudara Syahir Sulaiman dan keluarga beliau, wakil HAMAS, Ustaz Nik Zawawi dan ramai lagi. Cuma kami tidak memberanikan diri untuk mendekati mereka kerana malu memikirkan bahawa kami ini perempuan.

Petang itu kami sempat mendengar perbahasan laporan muktamar dan perbahasan ucapan dasar daripada beberapa perwakilan negeri. Kemudian, aku dan kak Piyah keluar melawati sekitar gerai seterusnya keluar untuk membeli keropok lekor sebagai tanda ingatan buat keluarga di Kedah.

Bas malam itu bertolak pada pukul 9:30 malam. Alhamdulillah selamat tiba di stesen bas Changlun seawal pukul 6:00 pagi. Aku berasa sangat puas dan seronok. Walaupun sebenarnya banyak lagi perkara yang berlaku sepanjang kami berada di sana. Namun, biarlah ianya disimpan dalam memori sahaja. Semoga aku terus diberikan rezeki untuk berada di atas jalan kebenaran dan dalam jemaah ini.

Sekian, wallahu'alam.


"Islam Memimpin"

Fatin Hanini binti Mohd Yusoff
Kg Kemboja
8 Muharram 1440h

Thursday, June 28, 2018

Tsundoku Syndrome : Beli Buku tapi Tak Baca

السلام عليكم


Bismillah. Hari ni aku menyambung kembali penulisan kerja kursus Pengantar Pengajian Hadith yang tertunggak. Alkisahnya petang tadi beriya-iya pergi ke Kedai Buku Hasani di Jitra untuk mencari buku berkenaan dengan Hadith Mutawatir atau sebarang buku yang membincangkan tentang pembahagian hadith. Pusing-pusing, terjumpa beberapa buah buku lain. Nak dipendekkan cerita, buku yang nak dibeli tak dak pun, last-last terbeli buku lain.

Namun, ada juga terdetik "Bila aku nak baca?" Sebabnya buku-buku sebelum ini pun masih banyak yang belum habis dibaca. Bukan setakat buku yang dibeli, bahkan buku-buku yang dipinjam juga sama.

Amalan ini dinamakan sebagai tsundoku dalam bahasa Jepun. Tsundoku bermaksud suatu perbuatan yang mana kita beli buku, tapi kita membiarkan sahaja buku-buku tersebut tersadai tanpa dibaca. Sehingga menyebabkan rak buku kita dipenuhi dengan buku-buku yang tak dibaca pun.

Namun, inshaa Allah, buku-buku yang terbeli tadi aku azam nak habiskan dalam bulan Julai. Sebab Julai ni aku bakal memasuki usia 24 tahun. Amin, Inshaa Allah.


Baiklah, jom sambung siapkan assignment. Bittaufiq wannajah, Fatin!

Sunday, June 24, 2018

Pengalaman Sebagai Designer

السلام عليكم

Alhamdulillah, esok aku bakal memulakan kembali sesi persekolahan setelah dua minggu bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri 1439h. Sepatutnya malam ini aku selesaikan beberapa perkara. Namun, feeling masih tak kunjung tiba. Susah jugak jadi orang yang buat kerja ikut mood. 

Malam ni aku nak tulis sebuah kisah tentang perkara yang dah lama bermain dalam fikiran. DESIGNING. Alkisahnya aku mula-mula menceburkan diri secara amateur dan tidak sengaja bermula semenjak aku ada blog. Masa tu aku banyak follow blog lyssa faizureen. Banyak tutorial yang beliau ajar,misalannya macam mana nak buat header transparent, cara design cursor sendiri dan banyak lagi.

Semenjak tu, aku mula slow-slow belajar melalui youtube. Tapi taklah sampai tahap addicted atau pro ka. Sekadar suka-suka. Guna pun software yang CS4 portable ja.

Semenjak masuk U, aku join Kelab MyAgrosis USM. Jadi PE Publisiti. Masa tu ketua kami bawak pi kursus Photoshop under PMI. Start pada tu, aku mula untuk commit as designer untuk kelab. Allah sahaja lah yang tahu macam mana strugglenya aku untuk siapkan design dalam keadaan aku tak reti mana pun. Kalau tengok balik, pelik macam mana lah orang boleh luluskan design aku masa tu. Aku bersyukur dapat ketua yang tegas macam kak Aktika. Disebabkan ketegasan dan kedetailan beliau, aku banyak buka Ps masa tu. 

Masuk tahun kedua,Kak Azura (Naqibah USM) ajak aku join team multimedia untuk Ijtima' Tarbawi di An Nahdhah, Penang. Allahu. Program besar kot. Aku menghasilkan beberapa poster untuk program tersebut. Pengalaman pertama yang cukup bermakna. Dapat bekerja untuk program yang Tuan Guru hadir. Walaupun aku duduk di luar ja. Workspace team kami kat luaq.

Masuk semester ke enam, aku bagi nama untuk Ameerah Kedah. Masa tu depa tengah mencari designer. Alhamdulillah, aku berpeluang berkhidmat walaupun secara jarak jauh. Dipendekkan cerita, sehingga sekarang aku masih berkhidmat sebagai designer untuk Ameerah Kedah. Cuma, tujuan aku menulis ni adalah untuk berkongsi suka duka seorang designer (walau aku tak profesional).

Aku ada satu kelemahan yang susah nak lawan. Iaitu perasaan cepat kesian dan rasa bersalah. Perasaan ini bagus, namun kadangkala menyebabkan aku sendiri jadi pening kepala. Sejak bergerak kerja di kawasan/cawangan/dan beberapa jabatan di Kedah, skop tugas aku semakin bercabang. Tugas media menjadi salah satu daripadanya. Tambahan pula aku berkhidmat sebagai pendidik dan dalam masa yang sama menyambung pengajian jarak jauh (DTI ILHAM Kedah). Jadi, masa aku agak padat.

Kasihan juga pada mak. Aku kerap keluar untuk menghadiri program/mesyuarat. Apabila di rumah, banyak masa aku habiskan di hadapan komputer riba. 

Aku bukanlah sorang yang begitu pandai dalam menghasilkan poster. Aku memerlukan masa dan mood untuk menghasilkan sesuatu karya. Kadangkala kering juga idea. Ditambah pula dengan demand tertentu client. Kadangkala aku sudah memperuntukkan masa/ dateline untuk menyiapkan sesuatu design. Namun, dek kerana tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki, kerja-kerja aku yang lain terpaksa ditunda dahulu. Kebiasaannya, design yang aku hasilkan ini perlu dihantar ke kedai untuk urusan cetakan. Oleh sebab itulah, by hook or by crook, aku tetap kena siapkan dalam tempohnya.

Pernah tahun lepas Allah uji aku dengan masalah apabila laptop aku skrinnya retak. Aku terpaksa menyambungkan HDMI ke skrin PC lain dan edit menggunakan laptop aku, namun pancarannya di skrin lain. Pernah rasa mahu menangis,namun tak tahu pada siapa wajar aku luahkan. Pada aku, tiada siapa yang mampu mengerti perasaan aku sebenar-benarnya ini melainkan Allah. Kadangkala apabila aku lambat menghasilkan sesuatu design, aku telah melambatkan kerja orang lain. Namun, pada masa yang sama aku turut menghadapi beberapa masalah lain.

Sehinggakan pernah terlintas untuk quit daripada bidang ini dan fokus kepada skop tugas sedia ada. Aku sebagai kakak, anak sulung dalam keluarga kadangkala timbul rasa tidak berguna kerana selalunya aku perlu memperuntukkan masa di rumah dengan menghadap laptop. 

Namun, aku berdoa agar usaha kecil ini turut terkena tempiasnya kepada mak dan ayah kerana mereka selalu bersabar dan memahami tugasanku ini. Aku pun tak pasti bilakah masanya aku akan berhenti daripada skop tugas ini.

Pada aku, dalam dunia designing ini : SKILL (30%), dan KREATIVITI (70%).

Semoga Allah pelihara aku dalam gerak kerja Islam. Semoga aku terus diberikan kekuatan untuk melangkah dalam perjuangan.

Salam Istiqomah,

Fatin Hanini
1:19 pagi (24 Jun 2018)
Kg Kemboja

Friday, June 1, 2018

Nota Ramadhan 1439h

السلام عليكم

Alhamdulillah. Kini aku sudah memasuki fasa Ramadhan 1439 Hijri. Terlalu banyak perkara yang telah berlaku sepanjang tempoh aku tidak menulis di blog ini. Jika nak ditulis satu per satu, tak habis cerita di sini.

Segala puji aku panjangkan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta'ala kerana dalam tak sedar, banyak impian aku Allah dah makbulkan. Namun kadangkala kemanisan tersebut terselit dalam sebuah kepahitan yang dirasai.

Sekarang aku sudah merasai kemanisan mendidik anak-anak di at Toyyibah. Seronok. Kadangkala ibarat terapi, walaupun aku selalu berleter. Dahulu, aku niat untuk habiskan kelas ILHAM. Sudah dua kali temuduga SPP. Namun, belum ada rezeki aku. Namun, terselit pada kejadian itu sebenarnya Allah nak hadiahkan sesuatu yang lebih besar.

Antaranya aku berkesempatan untuk berkhidmat kepada mak ayah, bergerak untuk jemaah di kawasan, sambung belajar DTI di ILHAM, terlibat dengan GE14 dan macam-macam lagi. Subhanallah.

Berbaki dua minggu sahaja lagi untuk merebut ganjaran dalam bulan Ramadhan. Sedar tidak sedar, tahun ini sudah memasuki pertengahannya. Entahkan sempat, entahkan tidak untuk bertemu semula dengannya pada tahun hadapan.

Tamat sahaja PRU14, aku tersedar bahawa ia bukan petanda bahawa kerja-kerja aku sudah tamat. Bahkan, perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Kini, aku perlu ambik peluang untuk menggerakkan semula Ameerah di kawasan aku. Sementara Allah bagi kesempatan belum terikat dengan mana-mana badan kerajaan dan belum berpindah tempat.

Semoga esok lebih baik daripada hari ini. Taqabbalallahu minna wa minkum.

16 Ramadhan 1439h



Wednesday, February 21, 2018

Sekolah Agama At Toyyibah : Tarbiyyah Hati

السلام عليكم

Bismillah. Tiba-tiba rasa nak berkongsi suatu kisah tentang pengalaman sepanjang mengajar. Tidaklah setinggi pengalaman insan lain. Cuma, ada sesuatu yang mengetuk jiwa hamba ini.

Alkisahnya, ditaqdirkan Allah untukku mengajar sebuah sekolah swasta berdekatan dengan kawasan rumah. Bermula Ogos 2017, dan alhamdulh kini masih lagi berpeluang untuk berkhidmat di tempat yang sama. Ada dua perkara yang Allah sedang tunjukkan padaku di saat ini.

1. Kecukupan itu daripada-Nya

Jujur, pada awal berkhidmat di situ niat di hati cuma sekadar hendak mengisi kekosongan masa seusai tamat menghabiskan pengajian sahaja. Namun, setelah 2017 menutup tirai, timbul perasaan di hati untuk bertukar tempat kerja kerana memikirkan gaji yang kurang lumayan (menurut akal). Pada masa itu gaji saya cuma RM700 sahaja.

Untuk tahun ini, Allah tambahkan RM100. Alhamdulillah. Namun, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memilih tempat kerja baharu semata-mata nakkan gaji yang lebih tinggi. Satu per satu usaha dilakukan, namun semuanya semakin sukar. Sehinggalah terpaksa menarik semula keputusan untuk berhenti mengajar di sana. Pada masa yang sama, akal masih risau "Cukup ka kalau gaji banyak ni aku nak bayar itu,ini?". "Nak buat bisnes apa ya?".

RM800 yang diperolehi itulah yang perlu dibahagi-bahagikan untuk membayar wang kereta, wang pengajian diploma, wang kesihatan diri, wang hutang saya dan kegunaan diri. 

Sampai satu saat, Allah ketuk hati saya. Seperti ada sesuatu yang berbisik pada diri, "Fatin, gaji hang tu hanya pada angka. Yakinlah, yang akan mencukupkan itu hanya Allah. La ni hang kena pilih jalan yang mak ayah senang dan redho, biaqlah gaji hang tu tak cecah 1k pun. Cukup tak cukup, tawakkal tu 'ala Allah ja. Rezeki yang berkat takkan pernah tak cukup. Pasti Dia bagi kot jalan lain. Yakin dengan Allah!!!"

Sejak tu, saya mula berjalan dengan keyakinan yang ada itu. Jika sebelum ini, kebergantungan tu cuma 40%, bila jadi macam ni, inshaa Allah semakin meningkat. Sebab tahu, takdak sapa dah yang boleh tolong kita. Allahu taala.

Alhamdulillah, testimoni untuk bulan pertama berjaya. Duit yang diterima mampu dibahagi mengikut perancangan dan Allah hantar bantuan lain daripada arah lain (bukan gaji). Tiba-tiba ada orang minta buat tusyen, tiba-tiba orang bagi duit saguhati sebab tolong buatkan video dan lain-lain lagi. Allahuakbar. PengasihNya Allah, PemurahNya Allah. Saya belajar untuk mengutamakan perbelanjaan ke atas perkara yang sepatutnya. Alhamdulillah.

2. Ilmu Itu Hak Allah

Sudah masuk bulan kedua, terasa sekali yang kesabaran diri semakin menipis. Tatkala Allah hadirkan ujian melalui anak murid yang boleh dikategorikan sebagai 'slow learner'. Saya banyak menahan diri daripada memarahinya sejak tahun lepas. Namun, sudah masuk tahun ini pelajar ini masih tidak berubah. Hatta, baru sahaja 1 saat lalu saya memberitahu jawapan kepadanya, apabila disoal sekali lagi, dia langsung tak dapat jawab. Allahu taala. Allah sahaja yang tahu apa perasaan sewaktu itu.

Saya mengajar 5 kelas Matematik tahap 2 sekolah rendah. Semakin ditahan rasa nak marah, semakin sakit saya rasakan di bahagian otot jantung ini. Allahu. Pernah sampai tahap saya terpaksa jauhkan diri daripada orang lain seketika untuk menahan perasaan saya. Saya tidak suka marahkan orang, apatah lagi anak-anak murid. 

Namun, kebelakangan ini sikap itu semakin berubah. Saya selalu sahaja diuji oleh Allah akan perasaan ini. Sehingga lah tiba satu masa saya terbaca kisah Ustazah Norhafizah Musa dengan anak beliau.

"Ilmu itu hak Allah. Jika Allah tak izinkan, kita marahlah macam mana sekalipun, tetap anak murid itu tak akan faham. Sekarang ni kena minta pada Allah banyak-banyak agar Allah beri kefahaman untuk anak itu."

Allah. Sentap berkali-kali. Terasa sungguh mendalam. Saya terlalu meletakkan harapan kepada anak murid itu sehingga terlupa bahawa segala-galaNya berlaku hanya dengan keizinan Allah.

Sebagai seorang pendidik, kita perlu tahu bahawa ilmu itu ialah sesuatu yang membekas ke dalam jiwa insan yang mempelajarinya. Hatta ilmu matematik sekalipun,ia hak Allah. Tak layak untukku bermegah-megah dengan ilmu ini kerana diriku hanya wasilah.

Allah. Kini saya mula menyedari apa yang sebenarnya tarbiyyah yang Allah nak bagi kepadaku. Walaupun sakit, tapi saya mula sedar bahawa segalanya mestilah disandarkan kepada Allah ta'ala. 

Doakan agar saya istiqomah dalam jalan juang ini. Berjuang memang pahit, kerana syurga itu manis.

Ana faqir ilallah.
Wallahu a'lam.