Sunday, December 20, 2020

CH : Hadiah Bermakna 2020

السلام عليكم


Bismillah. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.
Tanggal 17 Disember 2020 Allah izinkan aku dan keluarga untuk menjejakkan kaki ke bumi Cameron Highland buat pertama kalinya dalam hidupku. Ayah tak ikut serta. Sejak kecil kami tak berpeluang untuk makan angin seperti kebanyakan orang lain yang lebih berkemampuan.

Selalunya jika berjalan jauh sedikitpun, mesti ikut mak saudara kami sahaja. Kali ni Allah makbulkan hajat aku untuk bawa keluarga bercuti. Walaupun tidaklah sebegitu mewah, namun aku bersyukur.

Allah izinkan untuk kami berlima muat di dalam sebuah kereta Axia yang tidaklah begitu luas. Perjalanan pergi dan balik berjalan dengan sangat sempurna. Terima kasih Ya Allah. Aku gembira melihat mereka gembira. Terutamanya mak.

Sejak kecil, aku melihat mak ayah bersusah payah untuk membesarkan kami adik beradik. Aku pernah merasai saat terpaksa berkongsi motosikal sewaktu pergi dan balik sekolah. Naik empat orang. Kereta kami pada waktu itu agak nazak. Sekadar membolehkan kami pergi ke mana-mana kawasan yang dekat. 

Tahun 2020. Aku mula mengumpulkan wang hasil daripada pendapatan sampingan dan juga hasil berjimat cermat daripada duit gaji. Walaupun sebenarnya, separuh wang simpanan aku keluarkan untuk membawa keluargaku ke sini, namun tidak mengapa. Sudah memang aku niatkan begitu.

Mak memang sentiasa sebut teringin nak ke sini. Alang-alang Izat cuti, kami teruskan perancangan. Alhamdulillah aku sempat menempah penginapan yang berbaloi harganya. Lokasi pun strategik dan cantik.

Aku berharap Allah terima amalanku yang sedikit ini. Hanya ini yang mampu aku berikan buat mereka. Inshaa Allah, jika Allah limpahkan rezeki di masa akan datang, aku berniat untuk membawa mak dan ayah pergi mengerjakan umrah pula.


Amin Ya Allah. Qabiltu.

Thursday, April 2, 2020

Travelog : Makan Seafood di Sthamin Cafe, Tawau

السلام عليكم
November tahun lepas, aku dan Widad berkesempatan untuk makan angin di sekitar negeri Sabah. Kami mengunjungi sebuah restoran yang dicadangkan oleh seorang kenalan semasa pergi Island Hopping di Semporna.


Restoran Sthamin ataupun nama sebenarnya ialah Sthamin Cafe. Lokasi kedai betul-betul bersebelahan dengan pintu pagar Masjid Bandar Tawau. Berada paling hujung dengan deretan bangunan kedai di situ.


Disebabkan tujuan kami di situ ialah untuk menikmati makanan laut, jadi kami telah memilih beberapa jenis hidangan berasaskan makanan laut di situ. Terdapat banyak pilihan yang boleh dibuat. Makanan laut pula semuanya segar-segar belaka. Kami dimaklumkan bahawa makanan laut yang ada di situ diambil secara langsung daripada jeti terdekat di situ.


Boleh pilih sendiri menu, nanti chef akan ambil dan masak berdasarkan apa menu yang kita nak. Harga seafood dikira dalam gram. Jadi, disebabkan kami hanya berdua, kongsi serba sedikit pun sudah memadai. Itupun sampaikan terpaksa bungkus lebihan sotong goreng tepung disebabkan terlampau kenyang.

Menu pilihan kami :

Ketam masak telur masin


Sotong goreng tepung

Udang masak butter

Ikan masak apa dah tak ingat. Hehe

Jumlah harga keseluruhan sangat berbaloi. Hanya lebih kurang RM 30.

Berapa bintang boleh bagi? Kami sangat berpuas hati dengan layanan, harga, dan juga hidangan. Semuanya ohsem!! Alhamdulillah. Jika ada rezeki, selepas ini boleh bawa keluarga pula ke Tawau dan menikmati juadah di sini. Tak rugi melaburkan sedikit wang untuk melihat persekitaran di luar kawasan tempat tinggal kita.

Okay, itu sahaja untuk posting kali ini!

Tuesday, March 31, 2020

PKP 1 : Covid-19 Fasa 1

السلام عليكم

Hari ini genap 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan yang diambil oleh pihak kerajaan bagi mengawal penyebaran virus Covid-19 yang merebak hampir ke seluruh pelusuk dunia. Malaysia juga tak terlepas daripada terkena wabak tersebut.

Bersempena dengan PKP juga, cuti sekolah dilanjutkan daripada seminggu kepada sebulan lamanya. Pada awalnya aku berasa agak gembira. Namun lama-kelamaan produktiviti aku di rumah kian menurun. 

Kelas-kelas hometutor juga terpaksa dibatalkan. Kini PKP fasa 2 akan berjalan mulai esok, 1 April hingga 14 April 2020.

Apa-apapun aku mendoakan agar semuanya berjalan dengan baik. Semoga penyebaran virus ini dapat dikurangkan seterusnya tamat. 

Wednesday, January 1, 2020

2020 : Mencari dan Menanti Hikmah

السلام عليكم


Alhamdulillah, Allah masih meminjamkan kudrat ini, tubuh badan ini serta nikmat kehidupan di atas muka bumi-Nya hingga ke detik aku menukilkan bait-bait perkataan ini. Tanggal 1 Januari 2020 aku menyelak lembaran baru dalam kamus kehidupanku. Tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Aku tidak begitu teruja, tidak juga ternanti-nanti bahkan tiada sebarang azam yang aku selitkan bersama-sama dengan permulaan tahun yang baharu ini.

2019 telah merakamkan jatuh dan bangunnya seorang insan bernama Fatin Hanini. Tahun yang penuh dengan suka dan duka. Bagaimana konsep sebuah cerita, biarpun permulaannya gembira namun pengakhirannyalah yang bakal menyimpulkan sebuah penceritaan. Tahun 2019 aku berakhir dengan sebuah kisah yang menyedihkan bagiku. Aku selak kembali halaman belakang. Aku tatap cerita ini dari permulaannya, pertengahannya hingga ke penghujungnya.

Allah sedang mengujiku. Berat, susah dan payah untukku teruskan menapak kehidupan ini. Aku rahsiakan kesakitannya daripada orang sekelilingku. Hatta mak dan ayah. Aku cuba berlagak kuat. Kadangkala tewas jua. Aku tak suka menagih simpati walaupun hakikatnya aku sering memberikannya kepada orang lain. Perkara terbesar yang aku risaukan itulah yang diuji oleh Allah.

Banyak perkara yang tidak menjadi rezekiku pada tahun 2019. Pada saat aku meraikan kejayaan sahabat-sahabat terdekatku yang lain, aku sedang meratapi nasibku sendiri jauh di dalam lubuk hati. Aku yakin, mereka juga berkorban untuk mencapai kejayaan tersebut. Alhamdulillah. 

Semoga 2020 menjadikan aku lebih dekat dengan Allah, dan segala urusan aku Allah berkati. Aku takut nak melangkah. Tapi, aku tetap perlu hadapi setiap satu urusan yang Allah dah aturkan untuk aku. Cuma nak kena bijak buat pilihan. Moga Allah pandu aku.

Muhasabah 2019. Gantungkan pengharapan kepada Allah SWT, kerana Dia kekal abadi dan Dialah yang Maha Berkuasa. Tidak rapuh dan goyah seperti makhluk. Pintalah kepada Allah sama ada di saat kau faqir mahupun lemah. Dialah yang Maha Kaya dan Maha Kuat.

Maha Suci Allah. Terima Kasih Ya Allah di atas segala nikmat untuk sepanjang kehidupanku ini. Alhamdulillah 'ala kulli hal wa ni'mah, La hawla wala quwwata illa billah. 

Al Faqirah Ilallah, 
Fatin Hanini Mohd Yusoff
Menanti hikmah