Sunday, June 9, 2019

Laluan Kita Berbeza

السلام عليكم

Alhamdulillah, Allah masih memberikan aku nafas ini. Sehingga ke saat ini.
Hari ini merupakan hari terakhir untukku menikmati cuti sekolah sempena dengan cuti Aidilfitri tahun ini yang jatuh pada bulan Jun.

Tahun ini sambutan Aidilfitriku sedikit berbeda. Allah menghadiahkan aku sebuah ujian kesihatan. Aku dijangkiti demam campak besar ataupun lebih tepat jika dipanggil sebagai cacar air. Walaupun aku sedikit sedih kerana tidak dapat menyertai pecutan akhir Ramadan, namun aku masih bersyukur kerana Allah hadirkan ujian ini kepadaku. Bagiku, ujian ini sebagai tanda ingat dan sayang Allah buat hambaNya ini. Barangkali untuk mendekatkan aku kepadaNya.

Tahun ini aku bakal menginjak ke usia baru. Usiaku kian bertambah, namun bagaimana dengan umurku? Adakah sebaya dengan usiaku?  Usia diukur dengan bertambahnya masa, namun umur diukur dengan sebanyak mana amalanku.

25 tahun
Tahun ini aku sudah sedikit sebanyak terkesan dek garis masa rakan-rakan seusiaku. Pada tahun ini, jemputan walimah semakin rancak, tak kurang juga mereka yang sudah bertukar status menjadi ibu. Beberapa orang rakanku sudah dipostingkan menjadi guru di sekolah-sekolah menengah kebangsaan.

Tertekan? Sejujurnya aku gembira dengan kehidupanku sekarang. Masih berpeluang tinggal dekat dengan mak ayah. Masih berpeluang untuk menginfaqkan diri dalam jemaah dan masyarakat. Tekanan tempat kerja tidak terlalu menekan. Alhamdulillah. Nikmat apa lagi yang aku mahu dustakan? Semuanya sudah Allah berikan. Tiada nikmat yang paling bermakna selain daripada ketenangan dalam hidup ini. Tenang dengan segala nikmat yang sudah Allah cukupkan buatku.

Namun begitu, sebagai seorang manusia biasa aku juga mempunyai kehendak untuk meng'upgrade' nilai kehidupanku sekarang. Aku juga berkeinginan untuk dipostingkan bagi mendapatkan gaji yang lebih stabil. Niatku untuk membuatkan mak dan ayah lebih selesa. Aku ingin meminta ayah untuk berhenti bekerja pada waktu malam. Biarlah ayah dan mak berpeluang untuk berehat sambil beribadah pula.

Mungkin sudah tiba masa aku pula yang menanggung kehidupan mereka. Namun yakinlah bahawa rezeki itu rahsia Allah. Sudah tertulis buat kita. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana bagi aku, jika sesuatu perkara itu sudah tercatat menjadi milik kita, tidak akan jatuh ke tangan orang lain. Namun, aku masih perlu berusaha. Tawakkal tidak menjadi sekiranya tidak berusaha terlebih dahulu. Perut yang lapar tidak akan kenyang jika tangan tidak menyuap makanan ke dalam mulut.

Kehidupan berkeluarga? Sekiranya tidak di dunia mungkin di akhirat sana. Aku tak perlu masuk campur urusan Allah. Aku sebagai hamba hanya perlu lakukan yang terbaik sahaja. Selebihnya biarlah dalam percaturan Allah taala. Apa yang lebih penting, sejauh mana aku meletakkan perasaan kasih dan cinta kepada Allah di dalam hatiku? Bagaimana dengan cinta terhadap junjungan besar Rasulullah? 

Cuma ada seperkara yang sudah lama aku impikan tetapi belum berkesempatan untuk menikmatinya. Sejak bangku sekolah lagi, aku teringin sangat untuk berguru dengan ulamak pondok. Aku teringin sangat untuk menadah kitab, menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu. Teringin sekali. Namun, kadangkala keadaanku kurang mengizinkan. Aku seorang wanita. Pergerakanku agak terbatas. Takkanlah aku perlu keluar bersendirian hatta pada waktu malam atau ke mana-mana tanpa berteman?

Apabila usia sudah sampai ke tahap ini, rakan-rakan banyak yang sudah bekerjaya dan sibuk dengan urusan masing-masing. Kepada sesiapa sahaja yang membaca nukilanku ini, kalian doakanlah semoga Allah kumpulkan aku dengan para alim ulamak, anbiya', supaya aku berpeluang untuk meminta nasihat daripada mereka. Aku terkilan kerana semasa aku hidup di dunia ini, ramai ulamak yang tidak aku kenali. Walaupun sebenarnya di negeri Kedah ini ramai tok guru.

Adakah status aku sebagai seorang wanita wajar dijadikan alasan dan tembok penghalang niatku ini? Terkadang cemburu melihat rakan-rakan yang dapat berkhidmat untuk guru-guru yang mengajarkan kitab. Aku? Jika semasa hayat pun tidak begitu kenal, bagaimana nak simpan angan-angan untuk berkumpul bersama mereka kelak?

Pernah beberapa kali aku menyertai daurah kitab. Tapi, dalam tempoh yang begitu singkat. Semoga Allah menghitung niatku ini walau hakikatnya aku jarang-jarang sekali berkesempatan.

Laluan setiap insan berbeza. Aku hanya perlu berada dalam zon masa aku yang telah ditentukan oleh Allah. Sekiranya telah berhempas pulas berusaha, namun hasilnya tidak seperti yang diinginkan, yakinlah bahawa Allah mempunyai perancangan yang lebih indah untuk kita. Indah itu tak perlu nampak cantik di mata, namun barangkali indah itu di alam sana.

Hargai usaha diri sendiri. Jangan menghukum diri sekiranya segala perancangan tidak menjadi. Bagiku, setiap perkara ada proses tertentu dan kita belajar sesuatu daripada proses tersebut. Tidak ada perkara yang sia-sia sekiranya kita yakin bahawa perkara itu datang daripada percaturan Allah untuk kita.

...
Terkadang,kita terlalu menantikan hari esok yang belum pasti,
Pernah juga terlalu mengenang kejayaan hari semalam yang telah berlalu pergi,
Sehingga terlupa apa yang perlu dilakukan pada saat ini.

Terkadang, kita terlalu menginginkan apa yang mereka miliki,
Tak pernah terfikir mereka jua menginginkan apa yang kita genggami,
Sehingga akhirnya kita melepaskan apa yang sudahpun Allah beri.
...
Kuncinya, SYUKUR. 
Mudah untuk meniti di bibir,
Namun payah untuk dihayati.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang bersyukur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Fatin Hanini binti Mohd Yusoff
6 Syawal 1440H
Kampung Kemboja
11:48 malam