Tuesday, August 27, 2019

Ikhlas Kian Terhakis?

السلام عليكم


Alhamdulillah 'ala kulli hal.
Sekarang detik waktu sudah meniti pertengahan bulan Agustus. Sedar atau tidak, hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk anak-anak muridku menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2019. Kurasakan bahawa aku lebih berdebar jika hendak dibandingkan dengan mereka yang saban waktu kelihatan ceria dan tiada tekanan. 

Entah mengapa, pada hari ini aku merasakan bahawa duniaku sedang berputar pada dimensi yang paling bawah sekali. Segala-galanya tidak menjadi buatku. Dua hingga tiga minggu belakangan ini rutin aku tidak berhenti bermula seawal pagi sehingga jam 12 pagi nanti. Benar-benar menguji jiwa dan perasaanku. Hujung minggu pun tiada erti kerehatan.

Aku cuma mahu berkongi sebuah kisah berkenaan perjalananku sejak mengajar di sebuah sekolah rendah swasta. Kurasakan bahawa barangkali kali ini benar-benar akan menjadi penamatku untuk berada di sini. Kesabaran dan ketabahanku kian tiba di hujungnya. Sudah berkali-kali aku bermuhasabah ke atas apa yang telah berlaku. Namun, sikap anak-anak sekarang yang sudah semakin berani dan tidak ambil peduli soal batas-batas dengan guru membuatkanku semakin berubah watak.

Dua, tiga hari ini aku perasan akan sesuatu. Diriku tidak lagi seperti dahulu. Dahulunya, aku sering berseloroh dengan anak-anak muridku. Aku anggap mereka seperti adik-adikku sendiri. Namun, barangkali tindakan aku telah mendatangkan perasaan terlalu selesa mereka untuk berada di bawah seliaanku. Sehinggakan tiada lagi rasa takut untuk melakukan sesuatu yang boleh mengguris hati seorang insan bernama guru. Kini, perwatakanku lebih serius, kadangkala agak kurang bijak mengawal emosi terutama ketika aku dalam keadaan marah.

Dua hari lalu, dua orang murid perempuanku memaklumkan aku bahawa mereka terpaksa balik untuk menyiapkan tugasan guru lain. Petang itu seharusnya aku mengadakan kelas tambahan Matematik buat mereka. Aku selaku guru matematik, sangat terasa hati dengan tindakan mereka. Hatta jika kalian sudah bijak pandai untuk memberi skor yang tertinggi sekalipun, aku tetap merasakan bahawa kalian tidak sepatutnya melakukan hal yang sedemikian.

Petang semalam aku termenung sendirian. Kukira agak lama juga aku bermenung. Barangkali segala apa yang telah terjadi ini merupakan balasan untuk segala kesalahan-kesalahanku selama ini. Namun, antara hikmah terpenting ialah aku diuji kerana Allah sayang akan aku dan mahu aku lebih mendekatkan diri dengan-Nya.

REFLEKSI

Allah benar-benar menguji perkataanku. Masih kuingat, sewaktu aku masih di zaman persekolahan aku telah membuat keputusan untuk menjadi seorang guru. Bagiku, pahala pekerjaan seorang guru bukan sahaja terus-terusan mengalir, bahkan besar pahalanya di sisi Allah. Aku tanamkan tekad di hati bahawa aku bukan sekadar mahu menjadi seorang 'mu'allim' yang menyampaikan ilmu Allah, bahkan aku mahu menjadi seorang 'mu'addib' yang mahu memperbaiki akhlak murid-muridku dan sudah tentu mahu menjadi seorang 'murabbi' iaitu seseorang yang membawa kepada Rabb.

Namun kusedari bahawa aku tidakkan mampu mencapai kesemua taraf tersebut. Namun masih sedng memperbaiki diri ke arah itu. Kurasakan kira-kira 10 tahun lalu aku sematkan kemas di dalam hati yang membara-bara mahu menjadi seorang CIKGU.

Setelah sedekad, jiwa aku tercalar dek kerana tidak mampu bertahan dengan akhlak mereka. Barangkali aku sudah terlupa bahawa Allah sedang memakbulkan apa yang pernah aku pinta suatu ketika dahulu. Bahkan, mereka masih lagi kanak-kanak. Bagaimana aku mahu membentuk ummah, di saat diuji dengan perkara sekecil itupun telapak kakiku sudah goyah melangkah maju.

Adakah niat utama aku dahulunya kini sudah berubah setelah meraih bayaran atas khidmatku? Saat ini aku dihimpit dengan suasana ekonomi yang semakin hari semakin tiada kepastian di hujungnya. Namun, untuk terus hidup, manusia masih perlu bergantung kepada wang ringgit. Mungkin matlamatku dahulu kian terpadam dari hati. Sudah agak lama barangkali aku tidak bermonolog soal 'erti mendidik' ini untuk diri sendiri.

Aku gusar jika kesungguhan dan kesanggupanku untuk berkongsi ilmu dengan mereka lambat-laun bakal hilang begitu sahaja. Aku perlu lebih dekat dengan Allah supaya aku sedar bahawa bukan aku yang memegang hati-hati mereka. Bahkan, Allah lah yang menguruskan segala-galanya. Aku di sini hanyalah sebagai pemudahcara.

Aku berharap agar aku tidak rebah lagi untuk meniti hari-hari sebagai seorang CIKGU. Bukan penghargaan mereka yang kudambakan, namun aku di sini hanyalah untu berkongsi. Aku cintakan kerjaya ini. Semoga Allah membimbing aku dalam menjalani saki baki kehidupanku. Moga-moga amalanku diterima.

Syukur. Terima kasih, Allah.

FATIN HANINI BINTI MOHD YUSOFF
12.19 pm
Sekolah Agama At Toyyibah


Saturday, August 3, 2019

Travelog : Gua Kerbau Trail Run 3.0

السلام عليكم

Bersempena dengan Perasmian Majlis Perbandaran Kubang Pasu, satu acara larian telah diadakan di kawasan Gua Kerbau, Kampung Kodiang Lama, Kedah.

Sejujurnya sejak tahun lepas lagi aku telah menyimpan keinginan untuk menyertainya. Namun Alhamdulillah, pada tahun ini Allah telah mempermudahkan segalanya. Kisahnya aku terlihat poster Gua Kerbau Trail Run yang digantung pada tiang lampu jalan semasa aku dalam perjalanan pulang ke Changloon. Jadi, semasa balik ke rumah aku pun search tentang acara ni di facebook.

Poster Utama

Medal Larian
T-Shirt Larian
Trek Larian
Selepas dapat mengajak Dekna untuk join sekali, maka pada bulan Jun kami telah mendaftarkan diri secara online dengan bayaran RM45 seorang. Terdapat beberapa kategori bagi acara larian ini. Bermula dengan jarak 20 km, 15 km dan 5 km. Aku hanya mampu untuk menyertai acara Fun Run sahaja iaitu 5 km. Sebagai permulaan sebenarnya. Maka, saat yang dinanti-nantikan pun telah tiba.
Kit Collection
Sehari sebelum acara bermula, aku ke Gua Kerbau bagi mengambil kit larian kami iaitu T-Shirt, bip larian dan beg ultros. Walaupun Gua Kerbau berada sangat dekat dengan kawasan rumahku, namun itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Semasa perjalanan ke sana, aku menggunakan bantuan aplikasi Waze untuk menuju ke lokasi. Selesai mengambil kit larian, aku sengaja untuk tidak menggunakan aplikasi itu bagi menunjukkan jalan pulang ke rumah. Malangnya, hampir setengah jam aku berpusing-pusing dalam kawasan tersebut kerana tidak menemui jalan keluar. Serik sebab tidak memerhatikan keadaan sekeliling semasa perjalanan datang tadi.
Moment sebelum berlari
Maka tibalah hari kejadian. Aku telah bertolak dari rumah ke Gua Kerbau seawal pukul 7.00 pagi. Namun, tidak begitu awal jika diikutkan sebenarnya. Flag off bagi kategori kami ialah pada pukul 7.30 pagi. Kami tiba di sana pada pukul 7.15 pagi. Jauh juga jarak tempat pelepasan dengan tempat kami meletakkan kereta. Hampir 2 kilometer juga rasanya. Setibanya di Gua Kerbau, memang masa betul-betul tepat. Pelepasan larian dilakukan sebaik saja kami tiba. Apa lagi, terus berlarilah tanpa sempat panaskan badan. Merbahaya sebenarnya. Tapi aku teruskan juga.
Flag Off untuk kategori 5 km

Permandangan Gua Kerbau dari jauh
Semasa dalam larian, para peserta menjamah mata dengan permandangan kawasan sekitar yang sangat cantik dan mendamaikan. Terdapat beberapa peserta yang memakai pakaian bertema semasa berlari. Terhibur juga aku melihatnya. Dekna telah jauh meninggalkan aku. Kira-kira 1 atau 2 kilometer juga lah. Ini kerana aku hanya berlari seketika, kemudian berjalan. Kemudian sambung semua berlari, dan berjalan berulang-ulang kali sehinggalah tiba di checkpoint terakhir.
Semasa hampir ke penamat
Kira-kira 1 kilometer lagi sebelum tamat larian, aku dapat merasakan bahagian tapak kaki aku seperti kekejangan. Mungkin berpunca daripada akibat tidak panaskan badan sebelum larian. Selepas tamat larian, aku mendapatkan makanan dan juga medal di khemah urusetia. Kakiku masih sakit, sehinggalah kami pulang ke rumah. Aku jalan dalam keadaan terhinjut-hinjut.

Pada aku, aku sangat berpuas hati kerana dapat menyertai acara larian sebegitu dan berharap untuk menyertainya lagi. Aku sedah berusaha untuk kembali ke berat badan semasa zaman Matrikulasi. Rindu inginkan fitness dan stamina seperti dahulu kala. Semoga aku berjaya mencapai misi ini. Amin, Inshaa Allah.
Bergambar sambil menunggu cabutan bertuah



Sekian.