Thursday, January 20, 2022

Travelog : Sunrise di Bukit Chabang, Perlis

السلام عليكم

Beberapa hari lepas, aku dan beberapa orang rakan berkesempatan untuk mendaki sebuah bukit yang dah lama masuk dalam checklist hiking aku iaitu Bukit Chabang yang terletak berdekatan dengan Tasik Timah Tasoh, Perlis.


Kami mula mendaki seawal pukul 2.30 pagi. Matlamat kami adalah untuk tiba sebelum Subuh dan sempat berehat sementara menunggu matahari terbit.
Antara persediaan yang dibawa ialah :
  1. Sarung tangan (paling berguna)
  2. Kasut hiking (saya pakai kasut getah ja)
  3. Air minuman
  4. Air untuk wudhuk
  5. Energy bar
  6. Gula-gula Himalaya
  7. Buah epal
  8. Barang-barang lain sekiranya nak memasak di atas

Tepat pukul 4.00 pagi, kami tiba di puncak Bukit Chabang. Perkara pertama yang kami lakukan setibanya di puncak ialah mencari tempat untuk gantung hammock dan berehat. Angin di kawasan puncak sangatlah kuat dan sejuk. Memang seronok layan suasana macam tu dalam hammock sambil pasang lagu Manbai.


Bersama-sama dengan aku, adik-adik dari UniMAP dan jugak kawan-kawan hiking. Terima kasih Azizi selaku guider kami yang sangat santai tapi padu. Siap turun bawah dan naik semula ke atas untuk ambik kawan-kawan UniMAP lagi. Aku dan Wiyah sempat melelapkan mata sementara menunggu adik-adik dari UniMAP tiba ke atas. Suasana berangin dan sangat sejuk. Kira-kira pukul 6.30 pagi, depa sampai ke puncak. Masa tu aku dengan Wiyah tengah panaskan air dan buat persiapan untuk memasak.


Menu yang dibawa ialah Mi Segera, cucur goreng Adabi dan nescafe panas. Alhamdulillah, dapat bergambar semasa matahari tengah naik. Jom layan view sunrise.


Bersama-sama dengan adik-adik dari UniMAP.

Dari kiri : Amira, Farah, Sarah, aku & Wiyah.
Selesai layan view, makan dan berehat sebentar, kami mula bergerak turun pada pukul 11.35 pagi. Sempatlah bergambar di viewpoint kedua, nampak permandangan Tasik Timah Tasoh dari atas. 


Trek semasa menurun bagi aku lebih mencabar dan memerlukan kekuatan mental sebab cerah dan nampak jelas treknya macam mana. Dalam kepala aku asyik terfikir, bilalah nak sampai ke bawah ni haha. Tambahan pulak semasa turun tu matahari dah terpacak atas kepala. Dahaga memang tak boleh nak kata sebab bekalan air semua dah habis.
Tepat pukul 1 petang, alhamdulillah kami selamat tiba ke starting point. Walaupun semuanya dahaga, kami ambik kesempatan bergambar di kaki Bukit Chabang yang berdekatan dengan ladang kambing yang viral tu. Cuma kami bergambar di jalan masuk sahaja. Asalkan masuk gambar bukit tu dalam frame.


Alhamdulillah, selesai trip hiking ke Bukit Chabang yang tak dirancang pun sebenarnya. Aku dan Zawiyah masing-masing baru tahu yang kami cuti sempena dengan Hari Thaipusam. Jadi, otak seminitlah. Kesian Azizi yang last minute jugak diracun untuk guide kami ke atas. Terima kasih semua. Inshaa Allah berjumpa lagi di next trip.