Saturday, January 28, 2012

Amal Tanpa Ilmu :: Pokok Memang Tak Berbuah

السلام عليكم



 

Pada suatu pagi yang nyaman,aku dan adikku telah melakukan satu aktiviti kemasyarakatan di rumah kami sendiri. Kami telah membersihkan kawasan halaman rumah yang tidaklah begitu luas. Usai mencakar dedaun kering, aku lantas mengambil sebilah cangkul. Timbul idea di benak fikiranku untuk bercucuk tanam; sebuah pekerjaan yang telah sekian lama aku tinggalkan kali terakhir semasa mempelajari subjek Kemahiran Hidup di sekolah rendah. Cikgu Khairul. Masih kuingat kami disuruh menanam pokok bawang kalau tidak silap.
Aku menghayun cangkul bagi membuat batas tanamanku nanti. Entah apalah buah ataupun tanaman yang hendakku tanam. Selesai bahagian batas tanaman. Aku menyuruh adikku masuk ke dalam rumah untuk mengambil sebiji buah cili. Setelah sampai di tanganku, aku mengeluarkan biji-biji cili tadi lantas aku taburkan ke atas batas tanamanku. Kelakar pula rasanya. Aku menaruh harapan yang begitu tinggi agar pokok cili yang ditanam bakal hidup mekar suatu hari nanti.


Waktu itu aku masih bersekolah. Jadi, aku menyerahkan tugas menyelia dan menguruskan ‘pokok’ cili itu kepada adikku. Aku terpaksa pulang ke asrama. Setelah beberapa bulan berlalu, kulihat batas tanamanku masih belum ditumbuhi apa-apa tanaman melainkan hidupan seperti rumput sahaja. Aku pasrah. Mungkin aku tidak punya kepakaran dalam bidang pertanian.
Tidak lama kemudian, ayahku membawa pulang dua bekas biji benih cili yang sedang disemai. Perkara ini telah membuka mataku seluas-luasnya. Setelah biji-biji cili tadi disemai sehingga keluar pucuk muda, barulah ia dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar. Tetapi tanah yang ayahku gunakan berwarna kehitam-hitaman dan agak kasar kondisinya. Aku juga tidak tahu jenis apakah tanah itu. Lupa pula hendak ditanya kepada ayah.

Kejadian inilah aku jadikan pengajaran dalam hidupku. Setiap perkara pasti ada cara yang tertentu untuk melakukannya. Tidak seperti aku. Terus membuat batas tanaman sedangkan caranya pun tidak aku tahu. Inilah yang aku andaikan seperti “beramal tanpa ilmu”. Jadi,pokok aku itu memang tak berbuah. Bukan sahaja tak berbuah, malah tidak tumbuh langsung. Malu aku terhadap diri sendiri.
Sama juga dalam kehidupan seharian kita. Bagaimana kita hendak beribadah dengan tenang sekiranya tidak tahu caranya. Seperti seorang kanak-kanak yang disuruh bersolat sedangkan dia tidak diajar. Salah siapa? Sememangnya menjadi  tanggungjawab ahli keluarganya yang lebih dewasa untuk membimbing dan mengajarnya. Itu dalam kes kanak-kanak. Bagaimana dengan kita yang sudahpun mumayyiz ini? Sudah tahu beda antara baik dan buruk. Kalau tidak tahu, hendaklah bertanya kepada yang lebih tahu. Jangan jadi serperti kisah saya tadi. Bertani tetapi tidak kena caranya.

Bukan hendak membuka aib sendiri, tetapi bagi saya ia satu kisah yang mampu kita huraikan dengan cara yang sedikit berbeza. Apa yang baik jadikan sebagai teladan, apa yang buruk cuba hindari dan perbaiki. Selami setiap perkara yang terjadi semoga ia menjadi iktibar terhadap diri kita sendiri. Wallahua’alam..

No comments: