Wednesday, January 18, 2012

Aku juga punya matlamat

السلام عليكم

Matlamat? Apa itu matlamat. Aku yakin semua orang punya tafsiran tersendiri tentang apa itu ertinya matlamat. Setiap insan di muka bumi ini pastinya mempunyai matlamat dalam kehidupan mereka. Menurut diriku, matlamat merupakan hala tuju seseorang dalam mendapatkan sesuatu yang diinginkan dalam hidup mereka. Umpama seekor kucing yang pastinya mempunyai matlamat iaitu untuk mendapatkan makanan ketika lapar. Dalam mencapai matlamat, kita perlu bijak merancang strategi. Sama seperti seekor kucing tadi. Sama ada terus mengiau atau menggosok-gosokkan badannya di kaki tuan si pemeliharanya agar maksud mereka difahami iaitu mahu makan.

Namun manusia punya
akal pinjaman daripada ALLAH. Perlu lebih bijak bertindak dalam mencapai matlamat. Berbicara soal matlamat, memandangkan selepas ini aku akan menginjak ke alam yang lebih dewasa, aku WAJIB merencanakan matlamatku sendiri. Cita-cita ku tidaklah terlalu tinggi. Sekadar menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang guru pun sudah cukup memadai buatku. Kadang kala ada suara-suara yang menyangkal impianku semata-mata kerana dikatakan profesion ini tidak layak bagi seorang pelajar lepasan SBP.

Hatta, aku telah melakarkan impianku dengan cara yang tersendiri. Aku cuba berfikiran optimis dengan matlamatku. Tidak mengapa kiranya aku sekadar bergelar seorang guru kerana bagiku ianya satu tugas yang amat mulia. Benar. Misalnya, aku bisa menyusun kata-kata dalam menulis blog ini juga kerana jasa guru dengan izin ALLAH. Memandangkan aku seorang perempuan,aku pasti suatu hari nanti aku akan mempunyai sebuah keluarga. Oleh itu, profesion guru juga sesuai bagiku kerana aku boleh mengimbangkan masa kerana ghalibnya masa bekerja seorang guru cuma separuh hari sahaja. Itu jika dipandang dari segi lahiriah. Besarnya pahala guru jika dia mengajar dengan penuh keikhlasan, ilmu yang diturunkan dari peringkat ke peringkat yang lain biarpun dia sudah tiada di dunia ini. Walaupun satu huruf yang diajarkan. Walaubagaimanapun, aku bukanlah mengharapkan balasan cuma sekadar menghurai kelebihan guru dari perspektifku sendiri. 

Itu sekadar angan-anganku. Jika aku tidak layak bergelar guru secara rasmi pun tidak mengapa kerana profesion guru itu cukup luas. Aku andaikan seorang rakan yang tidak faham akan penyelesaian soalan kira-kira. Jika aku mengajarnya sehingga dia mengerti, aku juga merupakan seorang guru cuma tiada panggilan rasmi. Aku memohon keampunan sekiranya satu hari nanti aku tidak menjadi guru kerana aku gusar ada suara yang mengatakan aku cakap tidak serupa bikin. Aku hanya merancang, namun ALLAH jua yang tahu apa yang terbaik buatku. Doakanlah yang terbaik buatku. Aku juga sentiasa mendoakan kalian.

No comments:

Post a Comment