Saturday, August 3, 2019

Travelog : Gua Kerbau Trail Run 3.0

السلام عليكم

Bersempena dengan Perasmian Majlis Perbandaran Kubang Pasu, satu acara larian telah diadakan di kawasan Gua Kerbau, Kampung Kodiang Lama, Kedah.

Sejujurnya sejak tahun lepas lagi aku telah menyimpan keinginan untuk menyertainya. Namun Alhamdulillah, pada tahun ini Allah telah mempermudahkan segalanya. Kisahnya aku terlihat poster Gua Kerbau Trail Run yang digantung pada tiang lampu jalan semasa aku dalam perjalanan pulang ke Changloon. Jadi, semasa balik ke rumah aku pun search tentang acara ni di facebook.

Poster Utama

Medal Larian
T-Shirt Larian
Trek Larian
Selepas dapat mengajak Dekna untuk join sekali, maka pada bulan Jun kami telah mendaftarkan diri secara online dengan bayaran RM45 seorang. Terdapat beberapa kategori bagi acara larian ini. Bermula dengan jarak 20 km, 15 km dan 5 km. Aku hanya mampu untuk menyertai acara Fun Run sahaja iaitu 5 km. Sebagai permulaan sebenarnya. Maka, saat yang dinanti-nantikan pun telah tiba.
Kit Collection
Sehari sebelum acara bermula, aku ke Gua Kerbau bagi mengambil kit larian kami iaitu T-Shirt, bip larian dan beg ultros. Walaupun Gua Kerbau berada sangat dekat dengan kawasan rumahku, namun itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Semasa perjalanan ke sana, aku menggunakan bantuan aplikasi Waze untuk menuju ke lokasi. Selesai mengambil kit larian, aku sengaja untuk tidak menggunakan aplikasi itu bagi menunjukkan jalan pulang ke rumah. Malangnya, hampir setengah jam aku berpusing-pusing dalam kawasan tersebut kerana tidak menemui jalan keluar. Serik sebab tidak memerhatikan keadaan sekeliling semasa perjalanan datang tadi.
Moment sebelum berlari
Maka tibalah hari kejadian. Aku telah bertolak dari rumah ke Gua Kerbau seawal pukul 7.00 pagi. Namun, tidak begitu awal jika diikutkan sebenarnya. Flag off bagi kategori kami ialah pada pukul 7.30 pagi. Kami tiba di sana pada pukul 7.15 pagi. Jauh juga jarak tempat pelepasan dengan tempat kami meletakkan kereta. Hampir 2 kilometer juga rasanya. Setibanya di Gua Kerbau, memang masa betul-betul tepat. Pelepasan larian dilakukan sebaik saja kami tiba. Apa lagi, terus berlarilah tanpa sempat panaskan badan. Merbahaya sebenarnya. Tapi aku teruskan juga.
Flag Off untuk kategori 5 km

Permandangan Gua Kerbau dari jauh
Semasa dalam larian, para peserta menjamah mata dengan permandangan kawasan sekitar yang sangat cantik dan mendamaikan. Terdapat beberapa peserta yang memakai pakaian bertema semasa berlari. Terhibur juga aku melihatnya. Dekna telah jauh meninggalkan aku. Kira-kira 1 atau 2 kilometer juga lah. Ini kerana aku hanya berlari seketika, kemudian berjalan. Kemudian sambung semua berlari, dan berjalan berulang-ulang kali sehinggalah tiba di checkpoint terakhir.
Semasa hampir ke penamat
Kira-kira 1 kilometer lagi sebelum tamat larian, aku dapat merasakan bahagian tapak kaki aku seperti kekejangan. Mungkin berpunca daripada akibat tidak panaskan badan sebelum larian. Selepas tamat larian, aku mendapatkan makanan dan juga medal di khemah urusetia. Kakiku masih sakit, sehinggalah kami pulang ke rumah. Aku jalan dalam keadaan terhinjut-hinjut.

Pada aku, aku sangat berpuas hati kerana dapat menyertai acara larian sebegitu dan berharap untuk menyertainya lagi. Aku sedah berusaha untuk kembali ke berat badan semasa zaman Matrikulasi. Rindu inginkan fitness dan stamina seperti dahulu kala. Semoga aku berjaya mencapai misi ini. Amin, Inshaa Allah.
Bergambar sambil menunggu cabutan bertuah



Sekian. 

2 comments: