Friday, October 17, 2014

Mahasiswa dan Perjuangan Siyasah

السلام عليكم
Bismillahirrahmanirrahim.
Semalam aku sudah menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang 'pengundi'. Saban kali sebelum tibanya musim PRK (Pilihanraya Kampus), pelbagai drama dan wayang dapat aku perhatikan. Aku cuba selak kembali lembaran kenangan semasa pertama kali aku bergelar pelajar universiti. Kini apabila sudah masuk tahun kedua, barulah satu per satu permainan, wayang, boneka dan pelbagai plot drama dapat aku rungkaikan.

Aku bukanlah seorang penganalisa politik. Namun, tak salah aku menganalisis setiap apa yang berlaku di sekeliling kehidupan aku. Apatah lagi, yang melibatkan hak dan mempunyai kaitan dengan diri aku sendiri.

Dahulunya aku bukanlah seorang yang mahu melibatkan diri dengan siyasah. Pada aku, cukuplah aku cakna dan diam. Aku tak mahu sesiapa tahu aku berada di pihak yang mana. Kononnya mahu menampakkan diri neutral pada pandangan orang lain.

Kini baru aku sedar. Aku sebenarnya sedang bermain dengan persepsi yang aku sendiri wujudkan. Kenapa tidak mahu zahirkan perjuangan dan pembawaan? Risau kehilangan kepentingan diri sendiri? Aku yakin, ramai lagi mahasiswa tidak mahu ambil port dalam isu siyasah ini.

Pada aku, sangat penting untuk kita ambil tahu dan bertindak. Kerana apa? Kerana siapa nanti yang akan bangkit menegakkan hak saat diri ditindas? Sampai bila mahu mengharapkan pada orang lain? Perjuangan ini memerlukan kita. Ya. Perjuangan menegakkan kebenaran sememangnya menyakitkan dan memeritkan. 'Pengorbanan'. Mendengar perkataan itu pun sudah cukup membuatkan aku terasa berat. Namun cuba renungkan, siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan ini andai kita memilih untuk berdiam diri dan bersuara hanya di belakang?

Aku pernah pelajari sesuatu daripada beberapa orang sahabat. Mahasiswa dan politik ada tiga golongan :


1) Tidak mahu ambil tahu dan terlibat langsung.
2) Ambil tahu, tetapi tidak mahu melibatkan diri. (silent reader)
3) Ambil tahu dan menjadi pendokong siyasah.

Dahulu, aku di kategori kedua. Kerana apa? Aku risau jika rakan-rakan yang lain tahu perihal penglibatan aku dalam siyasah ini, aku akan kehilangan rakan-rakan. Risau dibenci, risau dipulau kerana aku bukan di pihak majoriti. Bukan di pihak populariti. Bukan juga di pihak materialiti. 

Namun, kini aku sedar. Apabila aku cuba mendekati penggerak-penggerak ini... betapa susah dan payah. Perjuangan mereka begitu berat. Namun, berapa kerat yang berani menjadi pendokong kepada perjuangan ini?.... Fikirlah..

Siyasah juga merupakan salah satu cabang dalam Islam. Tak perlu kita letakkan di tepi. Sebahagian yang lain kita ambil, lalu mengapa harus buang siyasah tatkala menegakkan Islam? 

Jika dilihat waqi' di tempat kita, siyasah (politik) merupakan salah satu cara untuk mendaulatkan Islam. Kita memerlukan kuasa mentadbir untuk membuat perubahan secara total. Biar sedikit, namun injeksinya tak perlu putus. 

"Biar syahid ataupun kemenangan"

Ya. Bukan kemenangan menjadi matlamat. Namun, kita cuba berdakwah melalui jalan siyasah ini. Tunjukkan bagaimana kita berpolitik cara Islam. 

Tak perlu melabel mereka yang ingin menegakkan Islam melalui jalan ini sebagai golongan ekstremis. Kita sebenarnya yang mencipta persepsi ini dan meletakkan diri dalam ruang lingkup tersebut. Selalu dibayangi rasa takut jika dilabel.

Bukalah minda. Libatkan diri dalam siyasah bukanlah sesuatu yang hina dan kotor. Kita sebenarnya yang menjadikan ia kotor. Ayuh!

INFIRU!!!

Monday, August 18, 2014

Beratnya redha terhadap ujian Allah

السلام عليكم




Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.
Kalam Allah ini sememangnya menjadi penawar di saat hati sedang kecewa. Allahu.. tapi itulah, qada' dan qadar Allah tetap akan terjadi. Kita hamba yang hina ni takkan mampu menolak ia daripada terjadi, kerana segala-galanya telah tertulis.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a ia berkata, "Aku pernah naik unta di belakang Nabi saw maka beliau bersabda: "Wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa hal, yaitu; jagalah (hukum-hukum) Allah swt, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah (hukum-hukum) Allah swt, niscaya Dia akan selalu bersamamu. Jika kamu meminta sesuatu, maka mintalah hanya kepada Allah swt. Jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan hanya kepada Allah swt. Ketahuilah sekiranya umat manusia berkumpul dan sepakat untuk memberikan manfaat untukmu, maka mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditetapkan Allah swt untukmu. Dan sekiranya mereka berkumpul dan sepakat untuk memberikan mudharat kepadamu, niscaya mereka tidak dapat memberikan mudharat kepadamu, melainkan sesuatu yang telah Allah swt tetapkan untukmu. Pena telah diangkat, dan tulisan-tulisan pada buku catatan telah kering." - HR Tirmidzi

Segala-galanya bermula apabila aku menduduki ujian memandu untuk kali yang ke-3. Namun aku masih gagal. Sedangkan semasa latihan, aku tidak pernah melakukan kesalahan seperti di hari ujian tersebut. Perasaaan kecewa sudah tentu menyelimuti hati aku.

Aku tidak berapa kisah, namun kekecewaan aku disebabkan aku telah mengahabiskan sejumlah wang untuk mengambil lesen kereta sahaja. Bagaimana perasaan ibu dan ayahku?

Tapi, itulah perencanaan Allah yang terbaik untukku. Aku tidak meletakkan kesalahan itu kepada Perencananya, namun inilah kesilapan diri aku sendiri yang menjadi asbab aku tidak boleh memiliki lesen kereta hingga ke saat ini.

Bunyinya seperti keanak-anakan apabila hali ini sahaja pun aku mahu jadikan suatu isu. Namun, bukanlah kegagalan itu yang menarik perhatianku untuk menulis, tetapi bagaimana persediaan aku menghadapi sebuah hakikat yang aku kira agak sukar untuk ditelan.

Sememangnya perasaan putus asa mendominasi diri aku. Tapi, ini baru hal dunia. Hal yang kecil barangkali. Kenapa sukar untuk aku rasai perkara ini dalam dunia dakwah? Kenapa semangat berkobar-kobar untuk berjaya semasa mencuba menyampaikan kebenaran tidaklah membara sebagaimana aku hendakkan kejayaan dalam hal-hal dunia? Sebaliknya selalu sahaja bersangka buruk sebelum mencuba. Belum cuba untuk berusaha lagi, sudahpun lemah semangat. Astaghfirullah. Mengapa futur menguasai diri? Barangkali sering terburu-buru (isti'jal) dalam berdakwah. Tidak hadam sepenuhnya mengenai harakah islamiyyah. Mungkin juga kerana aku selalu mengharapkan hasil yang segera.

apa-apapun, peracayalah kepada perencanaan Allah kerana dialah sebaik-baik perencana.

wallahu'alam.


Wednesday, August 13, 2014

Travelog : Ziarah Madrasah Ungu

السلام عليكم


Tiga tahun berlalu aku meninggalkan jejak kaki dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena. Jika nak dikenangkan balik, terasa keanak-anakan sekali sikap dahulu kala. Baru-baru ini aku sekali lagi menziarahi 'madrasah ungu' ini bersama beberapa orang sahabat seperjuangan dahulu. kali terakhir aku melangkahkan kaki ke sini ialah pada tahun lalu untuk mengambil sijil SPM dan sijil Bahasa Inggeris. 



Namun, ziarah kali ini agak meninggalkan kegembiraan dan kepuasan biarpun hanya kami berempat yang ada bersama pada waktu itu. Jika dahulu kami dilayan seperti anak-anak, namun kali ini guru-guru melayan kami tak kurang seperti rakan sebaya. Topik perbualan juga lebih matang. Alhamdulillah.

Masih ada lagi beberapa guru senior di SAINA, tak kurang juga penambahan guru-guru baru. Ada di antaranya bekas pelajar madrasah ini sendiri. Pengetuanya sudah bertukar. Jika tak salah aku, namanya Tn Hj Hassan. Menggantikan Tn Haji Jamaluddin b Ariffin.

Antara guru yang sempat kami berjumpa dan berbual ialah Cikgu Man (Add Math), Cikgu Rashid (B Melayu), Ustazah Naimah (P Islam), Frau Badariah (Deutsch), Teacher Hehmalatha (Sejarah), Teacher Ida, Cikgu Azam (Kaunselor) dan ramai lagi.







Biarpun dahulu aku tidaklah berjasa mana pun kepada sekolah, namun guru-guru meraikan kami dengan begitu senang hati. Ya Allah... seronok sangat.

Walau bagaimanapun, dah tiga kali aku ziarah SAINA, aku tetap tak berkesempatan nak melawat kawasan asrama dan dewan makan. Masa tidak begitu mengizinkan. Banyak masa kami luangkan berbual dengan guru-guru. Tentang perkembangan sekolah, perkembangan adik-adik, dan juga sistem pendidikan sekarang. 

Ustazah Naimah merupakan guru Pendidikan Islam semasa aku di tingkatan 1 Smart dan 5 Smart. Ustazah sangatlah tegas tapi kami sayang akan ustazah. Sikap ustazah yang 'selamber' membuatkan kami selesa dengan ustazah biarpun ada beberapa kes yang aku buat sewaktu PnP. Yang sedihnya, tahun hadapan insya Allah ustazah akan bersara. Jadi, tak dapatlah aku nak jadi rakan sejawat ustazah suatu hari nanti di SAINA.

Frau Badariah pun dah nak berpindah. Setelah bertahun-tahun di SAINA (tak pasti berapa tahun dah). Faru Bada merupakan guru bahasa Jerman sejak aku tingkatan 1 sampailah aku tingkatan 5. dari zaman 'Ich bin schanppi das kleine krokodil' lagi. alhamdulillah masih ingat lagi beberapa patah perkataan yang Frau Bada ajaq. Walaupun karangan aku hafal saja masa buat exam.

Cikgu Naim pun dah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Masa kami pi ziarah, anak Cikgu Naim baru saja berusia 10 hari. Alhamdulillah...

Cikgu Wan Sopi kekal sebagai PK Kanan 1, Cikgu Zali dah jadi PK Ko-K, Cikgu Azizam PK Hem menggantikan Sir Mud yang dah bersara.

Transformasi? Ada...

Pertama sekali jalan besar depan sekolah. Tapi, senang cakap memang dah diperlebarkan jalan tersebut. kalau nak lintas jalan pun lebih mencabar lah. Tak macam zaman aku dulu.


Kemudian pintu pagar sekolah. Sekarang ni dah nampak 'upgrade' dah. Nak bergambar kenangan pun boleh. Dah masuk, ada pula gerbang besar.


Jalan-jalan depan sikit, ada tugu ragbi SAINA. Cikgu Azam cakap, sampai sekarang ni ragbi masih macam dulu. 


Kedudukan kelas-kelas dah diubah suai. Bilik SALC, bilik Jerman dah jadi kelas Form 1 kalau tak salah. Bangunan Form 4 masa zaman aku la ni dah jadi Dewan dan jugak bilik kaunseling. 

Surau pun dah ungu. Cermin muka dah banyak. maknanya adik-adik dah tak gaduh nak berebut-rebut frame kat tiang,cermin rak al-Quran nak 'maintain' tudung.






Tandas pun dah renovate. semangat sikit kan. Tapi, nostalgia karpet biru masih kekal..








Coaster SAINA pun dah make up sikit-sikit.




Harapan aku agar suatu hari nanti aku dapat balik ke sini dan berbakti semula insya Allah sebagai tenaga pengajar. Itupun jika Allah izinkan. Sekurang-kurangnya kembali semula untuk menjadi urusetia program-program motivasi kepada adik-adik bersama-sama #eminent0711 siblings..

Amiin, insya Allah.


kredit gambar : Nurul Izzati Aziz, Nur Fatin Atiqah Lokman dan Tasnim Sukri

Monday, June 9, 2014

Final Sem 2

السلام عليكم

Minggu ini aku bakal melalui fasa terakhir untuk semester ke-2 di USM. Amanah yang aku galas sebagai anak tertua dalam keluarga sangatlah terasa di bahu. Berat atau tidak itu semua bergantung kepada diri aku sendiri. 

Allah.. terkadang aku malu hendak menadah tangan berdoa kepada Allah meminta pertolongan sedangkan aku sendiri tidak bersungguh-sungguh menolong diri sendiri.

Aku tak mahu mengecewakan keluarga. Sudah pasti. Sesiapa sahaja pasti mengharapkan sedemikian rupa. Jadi, apabila aku yakin aku sudah cuba sehabis baik, maka aku serahkan bulat-bulat kepada Allah SWT.

faiza 'azamta faintawakkal tu 'alallah
amin...

5.03 pagi
9 Jun 2014 

Thursday, March 20, 2014

Mendidik Hati

السلام عليكم


Hati. Bagaimana Allah mendidik hati kita semua? Sudah tentulah melalui pelbagai cara dan keadaan.

Fitrah manusia sememangya sukakan penghargaan dan kasih sayang. Manusia suka dipuji. Namun sebenarnya itulah sehebat-hebat ujian kepada hati bagi saya. Susah nak menangkis perasaan seronok apabila seseorang dipuji. Astaghfirullah. Sebenarnya kita terlupa bahawa segala pujian itu akan kembali kepada Allah sepatutnya.

Kadangkala apabila kita telah melakukan sesuatu perkara yang dirasakan hebat. Ditambah pula dengan rencah pujian, digoreng dengan anugerah.... selalu sahaja kita terlupa bahawa nikmat itu semua Allah yang punya. Dialah yang mengilhamkan kebaikan dan kejahatan kepada kita. Namun semuanya berbalik kepada kita untuk memilih jalan mana yang kita rasakan terbaik berlandaskan iman.

Pabila asyik diulit dengan pujian, kejayaan, anugerah..... Sampai satu saat Allah pasti akan menguji kita dengan perkara yang sebaliknya pula. Percayalah jika kita melupakan Nya di saat kita dilimpahi denga pelbagai nikmat, sudah pasti akan merasa sakit yang teramat andai diuji dengan kegagalan pula. Sedikit sahaja nikmat yang Allah ambil semula pun sudah pasti kita akan merasa seolah-olah kehilangan sesuatu yang besar dalam hidup ini.

_____________

Namun begitu, bagi insan yang tidak pernah merasai kejayaan, ataupun selalu sahaja tidak mendapat apa yang diinginkan... Takut-takut perasaan dengki dan iri hati pula yang akan mengambil tempat. Lebih merbahaya andai kita putus asa dengan rahmat Allah. Sememangnya matlamat syaitan dan iblis tatkala itu hampir tercapai.

Percayalah, pasti ada sesuatu yang Allah ingin sampaikan kepada kita. Janganlah asyik memandang ke luar mencari-cari sebab untuk menuding jari, tapi sebelum itu renunglah, bedahlah diri sendiri dahulu dalam mencari sebab sesuatu itu berlaku. Jangan jadi manusia yang menuduh orang lain berbau busuk, padahal tangannya sendiri yang memegang najis.

_____________

Jadi, didiklah hati dengan sentiasa bersyukur kepada Allah. Banyakkanlah bersedekah. Insya Allah...

Semoga istiqamah! :)

Thursday, February 20, 2014

Kem Pimpin Siswa Lanjutan USM 2013/2014

السلام عليكم

Tanggal 18 Januari - 27 Januari 2014, pihak USM telah menganjurkan suatu program 'Kem Pimpin Siswa Lanjutan' buat kali yang ke...... 4 jika tak salah. Kem ini melibatkan peserta dari ketiga-tiga kampus USM ; Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Terdapat dua modul dalam kem ini ;
1) Modul Ketahanan Diri
2) Modul Pembangunan Sahsiah dan Keusahawanan

(18 Januari-21Januari) #Modul Ketahanan Diri
Sungai Perak
Kami tiba di Kampung Chegar Galah, Perak kira-kira waktu makan tengah hari. Dalam lingkungan pukul 12 lebih setelah menempuh perjalanan selama 3 jam di atas bas.



Cuaca memang panas. masa kami sampai tu, cuma ada satu khemah kanvas yang akan menjadi tempat kami bersolat dan mengadakan taklimat pada waktu malam.



Setelah makan tengah hari, kami dibahagikan kepada 15 kumpulan mengikut nama binatang. Purata ahli kumpulan ialah sebanyak 7 orang dalam satu kumpulan (2 lelaki, 5 perempuan).


Setelah melantik penghulu, penghuluwati dan ketua kumpulan, kami diberi maklumat tentang aktiviti yang bakal dilalui sepanjang 4 hari untuk modul ini.

Sepanjang kem, kami akan makan makanan yang dimasak sendiri. Agak mencabar kerana nak menyalakan api, nak mengawal api dan macam-macam lagi lah. Masa inilah kita akan lebih kenal dengan ahli kumpulan kita. 

Sebagai persediaan untuk aktiviti air, seperti biasa water confident telah dijalankan.


Pada malamnya pula, setelah berkenalan dengan kem komanden serta para fasi dan urusetia... kami mengadakan urusan jual beli. Bagi modul ketahanan diri, setiap kumpulan akan berakit sepanjang Sungai Perak. Jadi, kami masing-masing dibekalkan wang sebanyak RM250 seorang untuk berurusan. Kami perlu membeli barangan bagi membina rakit. Barangan sangat terhad. Jadi, nasiblah jika ada kumpulan yang tidak cukup wang , ataupun barang untuk membeli peralatan membina rakit.



Selesai urusan jual beli, taklimat membina rakit diberikan. Jadi, kami perlu bertungkus lumus menyiapkan rakit masing-masing pada malam itu juga kerana 'inspection' akan dijalankan pada pukul 8 pagi bagi memastikan rakit yang kami bina itu dapat bertahan di atas air selama dua hari.

kira-kira pukul 2.30 pagi barulah semua peserta pulang ke khemah bagi mengecas tenaga untuk keesokannya. Pagi itu, seawal 5 pagi kami sudah bangun bagi menyiapkan makanan untuk sarapan dan untuk dibungkus bagi makan tengah hari sewaktu perjalanan nanti.


Setelah semua kumpulan telah bersiap sedia, kami bertolak kira-kira pukul 11 pagi merentas Sungai Perak. Semua barang perlu dibawa di atas rakit kerana tapak perkhemahan kami akan berpindah ke tempat yang baru.


Berehat dan makan tengah hari di bawah jambatan.

Setelah menyambung perjalanan, kami tiba di lokasi tapak perkhemahan yang seterusnya kira-kira pukul 4 petang. Perjalanan berakit untuk hari yang pertama cuma 7 kilometer sahaja.

Setelah selesai memasak dan memasang khemah, kami diberi ruang untuk persiapan diri dan berehat. Pada malamnya tiada sebarang aktiviti dijalankan kerana kebanyakan peserta sudah lenguh-lenguh tangan dan badan. Almaklumlah hari pertama berakit.
Keeseokannya pula,perjalanan akan diteruskan lagi. Kali ini perjalanan kami sejauh 14 kilometer pula. sangatlah mencabar. Mulanya rasa teruja untuk berakit. Lama-kelamaan menjadi penat dan agak bosan untuk menunggu masa tiba di lokasi seterusnya.

Sebelum memulakan perjalanan... seperti biasa kami perlu memasak makanan sebagai bekalan makan tengah hari dan untuk sarapan sebelum berakit. Makanan yang dibekalkan untuk kami masak sangat mencukupi untuk tempoh 4 hari.



Mana-mana rakit yang sudah pecah, rosak perlu dibaiki semula. Hal ini bagi memastikan keselamatan peserta nanti.





Kemudian, kami berhenti di bawah jambatan RnR Sungai Perak untuk solat dan makan tengah hari.

Setelah semuanya beres, maka kami meneruskan perjalanan yang masih berbaki. Memang penat. Susah nak dapat pengalaman macam ni.

Setelah tiba di lokasi terakhir, kami terpaksa berpatah balik ke tapak perkhemahan. Dengan menaiki bas, kami tiba semula di tapak perkhemahan kira-kira jam 6 petang. Pada malamnya akan diadakan barbeku. Jadi, kami tidak perlu memasak lagi.



Sebelum makan, sesi refleksi diri telah diadakan. Aktiviti ini telah di'conduct' oleh Ketua Fasi; Atok. Sesi ini banyak membuka minda tentang perjalanan program. Para peserta ramai yang memberikan respon berdasarkan pemikiran yang kritis ; di luar kotak.


Makan.





Dan hari yang terakhir di Perak...

mengemas khemah, memutihkan kuali, dan mestin yang kami gunakan untuk memasak sepanjang perkhemahan. 



Sementara menunggu makan tengah hari siap, sesi bercerita oleh Achok dan sesi bergambar...


TAMAT MODUL KETAHANAN DIRI DI SUNGAI PERAK.....


Monday, February 17, 2014

Berakhlak dan Berilmu

السلام عليكم

cerita ni saya tulis berdasarkan pengalaman saya semasa menaiki bas pada 10 Januari yang lalu.

....................
Petang itu hujan lebat. Lebat sangat dari pagi renyai-renyai. Petang tu aku bercadang nak keluar la membeli-belah sikit alang-alang dah nak balik kampung.

Jadi, masa dekat stesen bas Bakti Permai aku ternampak Bas C. Jadi aku pun naikla sebab nak berhenti di depan Eureka. Masa naik tu, aku dengar pemandu bas ni macam bercakap dengan seseorang. Aku pun pelik jugak.

"Cakap ngan aku ke?" monolog dalaman aku.

Aku makin keliru sebab dah berulang kali dia cakap ayat yang sama tapi tak ada seorang pun yang membalas pertanyaan dia. Aku pandang keliling. Semua orang tidak seperti berbual dengan pemandu bas tersebut. Pemandu tersebut dalam lingkungan 20-30an juga lah.

Aku duduk tempat paling depan. Aku pun tengok la pemandu bas tu lama-lama. Rupa-rupanya dia pakai handfree. Aku pun dah tak tau nak buat apa sementara menunggu bas tiba ke destinasi, aku pun sempat menangkap beberapa perbualan pemandu bas tu.

Pada mulanya aku bersangka buruk.

"Cakap dengan girlfriend la tu. Isy, isteri kot." aku bermonolog lagi.

Sebab dia guna kata ganti diri 'abang' dalam perbualan. Namun, di akhir perbualan aku terdengar dia cakap...

"Ok la mak.....bla..bla.." ayat belakang tak berapa jelas.

"Minum air banyak-banyak. Rehat sama," lebih kurang macam tu lah ayat terakhir pemandu bas tu.

Astaghfirullah. Aku tersalah perhitungan rupanya.

Semasa dia menamatkan perbualan telefon, bas berhenti di hadapan bus stand Dewan Budaya. Ada dua orang budak perempuan yang nak ke Padang Kawad. Padahal Bas C memang tak pergi sana. 

"Pergi Padang Kawad tak?" soal pelajar perempuan itu di luar pintu bas sambil tangan menahan air hujan yang membasahi kepalanya.

Aku cuba melihat reaksi pemandu bas tersebut. Dia lantas menggamit tangannya. Maknanya dia menyruh mereka naik.

Kedua-dua pelajar perempuan tu macam agak kaku di situ kerana mereka fikir yang Bas C tu takkan ke Padang Kawad.

"Mai la naik.." pemandu bas itu memanggil mereka. Aku memuji pemandu itu dalam hati kerana sebelum ini semasa aku naik pun dia pernah berbuat sedemikian juga. Aku yakin dia kasihan akan pelajar-pelajar yang terpaksa menunggu bas dalam keadaan terdesak.

....................

Konklusi daripada cerita ini, saya sungguh kagum masih ada insan yang berbudi bahasa sedemikian rupa. Tidak kisahlah dia pemandu bas ke, tukang sapu sampah ke atau apa jua pangkat. Itu semua hanyalah pangkat di mata manusia. 

Apabila dia melakukan kebaikan, saya lupa terus status pekerjaannya. Mungkin dia tidak belajar tinggi-tinggi macam kita. Namun, akhlaknya lah yang memuat saya kagum. Malah, dia sangat menghormati ibunya ; itu berdasarkan penilaian mata kasar saya sahaja lah. Bagi saya, jika seorang ibu mendapat anak yang tinggi akhlaknya, sangat menghargai ibu bapanya, ambil berat..... Jika saya menjadi ibu, saya tak kisah pun apa pangkat yang anak saya ada. Cukuplah dia berakhlak mulia. Itu lebih memadai daripada belajar tinggi-tinggi tetapi akhlaknya menjatuhkan air muka ibu bapa.

Saya harap agar kisah ini mampu dijadikan tauladan buat kita semua.

Semoga kita pelajar USM mampu untuk menunjukkan nilai-nilai murni yang ada dalam diri kita. Kalau kita nak orang hormat kita, kita sendiri lah yang perlu memulakannya.