Monday, September 17, 2018

Travelog : Musafir ke Terengganu Darul Iman

السلام عليكم

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Beberapa hari lepas, aku telah bermusafir ke negeri yang selama ini sangat aku nanti-nantikan untuk menjejakkan kaki ke sana. Negeri Terengganu Darul Iman. Sebelum ini pernah sahaja aku ke sana. Namun, lebih kepada membeli belah. Kali ini, tujuanku ke sana adalah sedikit berbeza.

Biarpun diuji dengan sedikit masalah kewangan, namun aku tekad untuk turut hadir ke Muktamar PAS di sana,pada tahun ini. 

Bersama-sama dengan sahabat sepermusafiran, Kak Safiyyah. Kami bertolak ke negeri Darul Iman pada pukul 9:00 malam, dari Stesen Bas Changloon. Bas yang membawa kami, bas Jasa Pelangi. Perjalanan yang menuntut kesabaran dek kerana suhu penghawa dingin yang terlalu sejuk, barangkali terkesan dengan cuaca hujan renyai-renyai di luar sana.


Siangnya, sebelum aku bertolak ke Terengganu, aku melalui rutin yang sungguh mencabar. Pagi Khamis itu aku menunggang skuter merahku ke Jitra untuk mengambil button badge yang telah ditempah,kemudiannya perjalanan pulangku ke sekolah aku basah lenjun dek kerana aku perlu meredah hujan yang lebat. Dalam keadaan pakaianku yang basah lenjun itu aku masuk mengajar kelas 4 Umar.

Tengah hari itu, aku perlu menghadiri perjumpaan bersama dengan waris Tahun 6 bagi urusan persediaan UPSR pada pukul 1:15 hingga 2:15 petang. Kemudiannya, aku perlu menghadiri mesyuarat penyelarasan Kejohanan Memanah Sekolah pada pukul 3:00 petang sehingga 4:30 petang. Pakaian serta barangan untuk ke Terengganu belum aku siapkan. Kerna pada malam sebelumnya aku menyiapkan dokumen-dokumen Kejohanan Memanah dan beberapa poster sehingga pukul 4:50 pagi.

Kami tiba di Stesen Bas Kuala Terengganu seawal 6:25 pagi. Kami perlu mendaftarkan diri pada pukul 6:30 pagi untuk urusan persiapan kaunter media. Seusai solat subuh di surau stesen bas, aku dan kak Piyah menempah Grab. Perjalanan dari stesen bas ke Taman Tamadun Islam memakan masa selama lebih kurang 14 minit. Alhamdulillah keadaan trafik pagi itu tidak terlalu sesak. Sepanjang perjalanan, aku terkagum sendiri. Melihat deretan bendera Pas di sepanjang pembahagi jalan. Poster-poster muktamar dapat dilihat jelas pada billboard jalanan. Allahuakbar!!



Setibanya kami di lobi Pusat Konvensyen, kaunter media masih belum ada sesiapa melainkan beberapa orang AJK Tertinggi sahaja termasuklah Kak Najat. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan perjalanan kami pagi itu. Pengalaman bertugas sebagai Unit Media Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ini memberi suatu nafas baru untukku. Pengalaman dimarahi oleh beberapa orang media perdana, pengalaman berlari-lari ke rumah event untuk mencetak dokumen bagi sidang media, dan lain-lain lagi. Semuanya tersemat kemas dalam ingatan, inshaa Allah.


Apa yang lebih berharga, aku dapat menatap wajah-wajah insan yang selama ini cuma dapat ditatap dalam poster-poster sahaja. Wajah isteri Allahyarham TG Nik Aziz, Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Nuridah, Ustaz Nasruddin tantawi, serta ramai lagi. Tugas kami berakhir sejurus sahaja tamat penutupan Muktamar DMPM petang itu. Namun, aku tidak berkesempatan untuk menjengah masuk ke dalam bangunan Masjid Kristal yang bersebelahan sahaja dengan Pusat Konvensyen itu. Petangnya, sempat aku merakam beberapa perkara penting yang disampaikan oleh Ustazah Nuridah semasa ucapan penggulungan beliau.

 

Malam itu, kami menghadirkan diri ke majlis Muslimat Berselawat. Sepatutnya, kami juga ingin ke stadium bagi mendengarkan Ceramah Perdana, namun cuaca dan keadaan trafik tidak mengizinkan kami untuk ke sana. Selesai program, kami pulang ke homestay dan dibawa oleh Kak Najat. 
 


Kami menginap di homestay urusetia yang berada tidak berapa jauh dari tempat program siang tadi. Alhamdulillah, selesa semuanya. 


MUKTAMAR PAS PUSAT
Keesokan paginya, aku dan kak Piyah bertolak pada pukul 8:00 pagi untuk ke Stadium Tertutup Gong Badak. Pagi itu kami tiba agak awal. Kami berada dalam lautan perwakilan yang memakai baju berwarna hijau turqoise. Ke sana,ke mari kami berjalan untuk mencari tempat makan. Tiba di suatu laluan, kami menyaksikan Jabatan Amal sedang membuat perbarisan dan menyanyikan lagu tema mereka, Amalulillah. Ketika itu, tidak ramai orang perempuan yang berada bersama-sama kami. Namun, kami tidak tahu apa yang membuatkan kami tidak berganjak dari tempat tersebut. Kami berada dalam kawasan penarik beca, bersama dengan beberapa orang yang menguruskan beca tersebut. Kukatakan kepada kak Piyah,"Gimik satgi kot".

Penantian kami tidak sia-sia kerana Allah telah mentaqdirkan kami untuk melihat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari jarak yang sangat dekat. Allahu akbar. Rezeki orang bermusafir barangkali. Sangat tidak dijangka. Rupa-rupanya gerak hati kami membawa kami ke sini.


Selesai sahaja merakam wajah kebanggaan kami, kami berdua bergerak ke sekitar tapak jualan untuk menjamah sarapan pagi. Kemudiannya, masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perasmian serta ucapan dasar Tuan Guru. Beberapa point penting sempat aku catatkan ke dalam buku notaku. Aku sungguh terharu kerana diberi peluang oleh Allah untuk merasai saat ini. Kali pertama aku menghadirkan diri ke Muktamar PAS Pusat. Tahun sebelumnya, aku teringin sangat untuk menghadirkan diri. Namun, apakan daya. Aku terpaksa bekerja sewaktu itu. Lagi pula, aku tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik dari Bertam ke Kedah sewaktu itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja aku menunggang motosikal ke Kompas, namun perancangan Allah lebih baik.


Kali ini, rezeki yang lebih besar Allah hadiahkan. Alhamdulillah. Petang itu, sebelum muktamar diteruskan dengan perbahasan ucapan dasar, aku dan kak Piyah berjalan masuk ke satu ruangan, yang di sebelahnya tertulis 'Perubatan'. Kami berdiri di suatu sudut. Hadiah daripada Allah sekali lagi, apabila sebenarnya kami berada di suatu ruangan yang dipenuhi dengan tokoh-tokoh terkemuka PAS. Antaranya, adik kepada TGNA, Saudara Syahir Sulaiman dan keluarga beliau, wakil HAMAS, Ustaz Nik Zawawi dan ramai lagi. Cuma kami tidak memberanikan diri untuk mendekati mereka kerana malu memikirkan bahawa kami ini perempuan.

Petang itu kami sempat mendengar perbahasan laporan muktamar dan perbahasan ucapan dasar daripada beberapa perwakilan negeri. Kemudian, aku dan kak Piyah keluar melawati sekitar gerai seterusnya keluar untuk membeli keropok lekor sebagai tanda ingatan buat keluarga di Kedah.

Bas malam itu bertolak pada pukul 9:30 malam. Alhamdulillah selamat tiba di stesen bas Changlun seawal pukul 6:00 pagi. Aku berasa sangat puas dan seronok. Walaupun sebenarnya banyak lagi perkara yang berlaku sepanjang kami berada di sana. Namun, biarlah ianya disimpan dalam memori sahaja. Semoga aku terus diberikan rezeki untuk berada di atas jalan kebenaran dan dalam jemaah ini.

Sekian, wallahu'alam.


"Islam Memimpin"

Fatin Hanini binti Mohd Yusoff
Kg Kemboja
8 Muharram 1440h

No comments:

Post a Comment