Thursday, October 5, 2017

Hati Mati?

السلام عليكم

***

Aku melihat mata Safwan berkaca sejak awal aku melangkah masuk ke dalam kelas tahun lima dari tadi lagi. “Selsema barangkali,” aku membuat firasat sendiri.

“Baiklah, next. Siapa pula nak hafal sifir kepada cikgu? Safwan?”

Tiba-tiba secara spontan aku bertanya kepadanya, “Kenapa Safwan? Menangis ke?”

“Safwan bergaduh dengan Amran, cikgu.”

Oh, patutlah. Bergaduh rupanya. Aduh, boleh tahan juga ya anak-anak ini. Perwatakanku semakin hari semakin menyamai watak Kak Ros dalam rancangan kartun tanahair, Upin Ipin. Aku lantas mencapai seruas rotan yang terletak di atas meja guru di hadapan kelas.

“Amran dan Safwan, datang ke hadapan sekarang!” aku menegaskan intonasi suara. Rancanganku untuk menghabiskan satu masa ini untuk ‘tasmik’ sifir mereka nyatanya seperti tidak menjadi. Ada urusan yang lebih penting perlu aku selesaikan. Akhlak. Ya, akhlak anak-anak ini perlu dididik seiring dengan akademik mereka. Terlalu mengejar silibus sehinggakan terpaksa menutup mata akan perkara-perkara tidak dilihat sebagai ilmiah juga bakal merosakkan anak-anak ini.

Kadangkala aku terasa seperti hampir mengalah untuk bertahan dengan sikap mereka. Setiap kali aku masuk ke kelas, tidak sah jika tidak mengadakan sesi tazkirah percuma kepada mereka. Namun, perlu aku tajdid semula niat utama aku memilih karier ini sebagai jalan juangku. Mendidik mereka, bererti mendidik diriku jua. Degilnya mereka, barangkali mencerminkan kedegilanku untuk mentaati perintah Allah SWT.

“Baiklah, sekarang saya mulakan dengan Amran. Boleh terangkan kepada saya, apa yang sebenarnya berlaku?” mataku tepat memandang ke arah wajah Amran. Tangan kirinya dimasukkan ke dalam poket seluar, manakala tangan kanannya sedang memegang bucu meja rakannya yang duduk di barisan hadapan di dalam kelas. Aku sedang membaca personalitinya daripada bahasa tubuh yang ditunjukkan olehnya kepadaku.

“Tadi semasa di koperasi, saya sedang memegang sebatang pen yang belum dibuka. Tiba-tiba Safwan memarahi saya dan mengatakan bahawa saya menggunakan hak koperasi lalu disuruhnya saya membayar ganti rugi.” Tergesa-gesa dia membalas soalanku. Tidak kelihatan riak wajahnya yang menunjukkan bahawa dia bersalah.

“Baiklah, ada lagi?” Aku memberi Amran peluang untuk berbicara andai ada lagi perkara yang belum dijelaskan. Aku mengalihkan pandangan kepada Safwan pula. Mereka berdiri secara berhadapan di hadapanku. Kami dikerumuni oleh rakan-rakan mereka yang sedang menyaksikan upacara pengadilan ini seumpama menyaksikan sesi perbicaraan di mahkamah pula.

“Kepada yang tidak terlibat, sila duduk di tempat masing-masing! Sekarang giliran Safwan pula. Boleh ceritakan kepada saya apa yang sebenarnya terjadi?”

“Tadi saya menggunakan gunting koperasi. Kemudian mereka memarahi saya dan menyuruh saya membayar ganti rugi kepada koperasi juga. Saya dah bayar selepas itu.”

“Habis, kenapa Amran menendang kamu?”

“Dia memarahi saya sedangkan saya belum pun menggunakan pen tersebut. Padahal, dia pun sama juga!” tiba-tiba Amran mencelah.

“Amran, tadi saya dah suruh kamu terangkan kepada saya dan kamu cakap tiada apa-apa lagi. Kenapa sekarang kamu nak mencelah? Beri peluang kepada Safwan untuk menghabiskan ceritanya.” Aku cuba untuk berlaku adil. Aku telah mencuba sedaya upaya untuk tidak berlaku berat sebelah dalam menyelesaikan pergaduhan mereka. Aku tahu, Amran memang anak yang nakal. Semalam baru sahaja dia memecahkan kaca tingkap kelasnya. Pakaian sekolahnya tidak pernah lengkap. Sudah hampir seminggu aku menegur Amran kerana tidak memakai stokin. Namun, alasannya setiap hari ialah tidak sempat untuk membeli stokin. Walhal, sekarang sudah pun masuk penggal akhir tahun persekolahan. Tidak logik jika masih belum punya kelengkapan pada saat ini. Aku tidak mahu menjadikan kisah-kisah ini sebagai penyebab aku tidak berlaku adil. Namun, apa yang dapat dianalisa ialah personaliti Amran.

“Sekarang, dua-dua bersalah. Kamu Safwan, lain kali jangan menghukum seseorang sebelum kamu pasti bahawa dia benar-benar melakukan kesalahan. Amran pula, jangan terlalu ikutkan emosi. Tak perlu sampai menendang jika marahkan Safwan.”

Aku tahu, Safwan berkelakuan begitu bukan kerana pen tersebut. Tetapi disebabkan menahan rasa amarah terhadap Amran yang selalu sahaja mengejek Safwan dengan panggilan yang tidak disukainya. Safwan anak yang baik. Selalu sahaja menurut kata cikgu. 

Jika dilihat daripada personalitinya, sangat kontra jika dibandingkan dengan Amran. Bagaimana harus aku melenturkan kekerasan hati anak-anak ini? Ah, sukarnya mempraktikkan teori-teori NLP (Neuro Language Programming) yang telah bertahun-tahun aku pelajari. Aku lemah dalam membuat pertimbangan. Rasa kasihanku ini selalu menggagalkan niatku untuk mendenda pelajar. Namun, kali ini aku harus bertindak bijak.

Kulihat gerak tubuh Amran dan Safwan. Safwan berdiri tegak, tangannya di sisi badan. Dagunya sedikit ke dalam, dan matanya pula hanya melihat aku semasa aku menegur kesilapannya. Berbanding Amran, tangannya masih di dalam poket seluar, dagunya sedikit mendongak dan matanya meliar ke tempat lain.

Aku lantas menegur Amran supaya tidak meletakkan tangannya ke dalam poket seluar. Jika dirujuk tafsiran bahasa tubuh, tingkah laku ini menunjukkan self-defensive dirinya yang seakan-akan sukar untuk dirinya menerima teguran orang lain. Dia menurut arahanku, tetapi riak wajahnya sedikitpun tidak menunjukkan rasa bersalah.

Aku mengarahkan Safwan dan Amran bersalaman dan memohon maaf antara satu sama lain.

“Safwan, mulakan. Beritahu apa yang kamu buat dan mohon maaf padanya.” Safwan dengan mudah melafazkan kata ‘maaf’ itu. Namun aku memerhatikan tangan Amran. Sebelah tangannya menyambut huluran tangan Safwan, manakala yang sebelah lagi sedang memegang meja. Allah, bagaimana inginku lakukan untuk lenturkan hatinya?

“Amran, sekarang giliran kamu.”

“Err, saya nak cakap apa?” Amran masih tersengih-sengih.

“Minta maaf.” Aku memberikan klu.

“Erm.. erm..” nampaknya begitu sukar sekali untuk dia melafazkan kalimat ‘maaf’ itu. Baiklah, aku perlu meneruskan agenda ini.

“Amran, pandang mata Safwan. Bersalaman dengan kedua-dua belah tangan kamu.” Aku mula memberi kata perintah kepadanya. Bukannya dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan, barangkali dia tidak mahu menuturkan kata maaf itu kepada Safwan. Adakah disebabkan ego? Barangkali. Jadi, inilah masanya untuk aku bertindak.

“Erm, maaf.” Pendek kalimahnya.

“Sebab?” aku cuba membantunya menghabiskan ayat.

“Sebab tendang hang.” Sambung Amran kepada Safwan.

“Hari itu hang ejek aku.” Safwan menuntut kata maaf untuk hal tersebut. Namun, Amran meleraikan salaman mereka berdua. Ternyata sepertinya Amran hanya melakukan itu kerana disuruh oleh aku.

“Boleh kamu berdua berjanji? Kalau bukan untuk saya pun, paling kurang untuk diri sendiri.”

“Mmm.. Janji apa cikgu?” Amran melontarkan soalannya kepadaku.

“Safwan, kamu lain kali siasat dahulu sebelum memarahi seseorang. Tak pasal-pasal dah kena tendang. Boleh ke Safwan?” Safwan membalas persoalanku dengan menganggukkan kepalanya.

“Baiklah cikgu.” Mudah.

“Amran, boleh ke kamu berjanji yang kamu takkan ulangi perkara yang sama? Tidak menendang rakan kamu lagi?” aku mengalihkan anak mataku tepat ke wajah Amran pula.

“Err, saya tak boleh janjilah cikgu.”

Aku mula mengawal perasaanku. Kebiasaannya pelajar jarang-jarang membantah tatkala guru menganjurkan untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik. “Kenapa pula tak boleh?”

“Saya takut saya buat lagi.” Nampak seperti masih belum serik untuk melakukan kesalahan tersebut.

“Baiklah, tukar. Boleh kamu berazam?” Paling kurang aku menggantikan perkataan ‘janji’ kepada ‘azam’ supaya tidak terlalu berat untuknya melafazkan niat baru itu.

“Erm. Inshaa Allah la cikgu.” Mempergunakan kalimah ‘Inshaa Allah’ disebabkan masih ada perasaan untuk mengulangi kesilapan lalu. Semakin bingung aku dibuatnya. Aku cuma mahu dia melafazkan bahawa dia ingin berubah. Cukup. Itu sahaja objektif aku. Bagiku, jika seseorang melafazkan untuk melakukan sesuatu, ia adalah dorongan yang lebih kuat kepada mental untuk menuju ke arah matlamat barunya.

“Amran, amatlah malang jika seorang Muslim itu apabila hari esoknya lebih teruk daripada hari ini, dan hari ini lebih teruk daripada hari semalam.” Amran masih mengekalkan riak wajahnya. Anak matanya tidak memandang kepadaku. “Boleh kamu berubah? Tahanlah rasa marah kamu itu. Janganlah sampai menyakiti orang lain.”

Dia mengangguk perlahan. Masa setengah jam berlalu begitu sahaja. Rancangan pembelajaran hari ini tidak menjadi dek kerana aku merasakan perlunya mendidik mereka untuk rendah hati. Jadi, aku batalkan rancangan untuk men’tasmik’ hafalan sifir mereka.

***
Aku melangkah pulang ke kelas sejurus selepas tamat pula kelas di Tahun empat. Aku melabuhkan punggung lantas menyandarkan badanku ke kerusi. Terasa lega sedikit. Kepalaku masih ligat memikirkan Amran.

“Istimewa.”

Aku suka akan ujian ini. Membuat aku semakin ketagih untuk menyiasat latar belakang Amran. Apa agaknya yang membuatkan dia menjadi begitu ‘kebal’?
Tiba-tiba terngiang-ngiang kata-katanya di telingaku, “Saya tak mahu berjanji kerana takut akan mengulangi perkara tersebut.”

Zass. Pedih menusuk hatiku. Inilah kata-kataku tatkala aku memikirkan dosa-dosa yang telah aku lakukan kepada Allah SWT.

“Allah…” rupa-rupanya inilah cerminan diriku. Lebih tepat lagi, hati aku sendiri terhadap Allah SWT. Teringat akan kata-kata seorang Ustaz aku dahulu.

“Hati yang kontang masakan mampu membasahkan hati yang lain.”

Allahuakbar. Barangkali ada teguran yang ingin Allah sampaikan kepada aku. Aku terfikirkan kembali. Sehari-harian pasti akan ada maksiat yang aku lakukan kepada Allah. Sampai kemuncak masanya aku betul-betul menyesali perbuatanku lantas menunaikan Solat Taubat. Namun, tidak lama kemudian aku terjatuh lagi. Apa yang lebih malang, terjatuh ke dalam lubang yang sama.

Sehinggakan aku menjadi takut untuk menunaikan solat Taubat lagi kerana merasakan yang aku pasti akan mengulangi lagi kesilapan yang sama. Sedangkan Allah itu Maha Pengampun.

“Adakah aku seperti bermain-main dengan Allah?”

"Adakah sikap Amran yang seolah-olah mengambil kesempatan atas rasa kasihan aku ini sama seperti sikap aku yang seolah-olah mengambil kesempatan dengan sifat Maha Pengampun Allah? Berulangkali diberikan teguran tetapi masih mengulangi kesilapan yang sama."

“Bilakah masanya aku akan benar-benar meninggalkan maksiat kepada Allah?”

Setelah aku amati, aku menyedari bahawa sudah berkali-kali Allah mengetuk pintuk hati aku untuk berubah. Pernah suatu hari, aku menonton rancangan Tanyalah Ustaz yang membicarakan soal rezeki. Bagaimana seorang ulama' yang hanya meninggalkan amalan sunat, telah ditahan rezeki oleh Allah. Tegurannya melalui kasutnya yang putus ketika hendak pergi awal ke masjid. Aku scroll news feed di Facebook, tiba-tiba sahaja hari itu seakan-akan banyak video ceramah dan post yang berkaitan dengan 'hati'. Allahuakbar. Betapa Maha Penyayangnya Allah kepada hamba-hambaNya.

“Layakkah aku memohon taubat daripadaNya lagi?”

Benarlah, hati aku sudah sakit. Jiwa aku kosong. Sedangkan aku sendiri tidak meletakkan keyakinan untuk berubah, apatah lagi anak muridku? Nampaknya besar benar kesan hati ke atas pendidikan dan pentarbiyahan ummah. Sebelum memperbetulkan akhlak anak muridku, penting lagi untuk aku bersihkan dahulu jiwa aku ini.

***

Usai solat Maghrib, aku menyelak lembaran al Quran.

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Allahuakbar. Adakah aku tidak yakin dengan Allah? Astaghfirullah. Sungguh, pengampunan Allah itu tidak bertepi. Namun, aku seolah-olah bongkak untuk tidak meminta kepadaNya. Kepada siapa lagi layak aku meminta-minta selain daripada Allah? Aku perlukan kekuatan untuk bangkit daripada terjatuh lagi ke dalam lopak yang sama.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
“(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

Surah al Hadid. Ayat 20 hingga 23.
Doakan saya istiqomah dalam ketaatan kepadaNya.

Fatin Hanini Binti Mohd Yusoff
1:53 pagi | 5 Oktober 2017
Kampung Kemboja, Changloon

No comments:

Post a Comment