Tuesday, June 13, 2017

Mereka Syurgaku

السلام عليكم

Sejak berusia 13 tahun, aku tinggal di asrama. Selesai sahaja persekolahan, aku melangkah masuk ke matrikulasi dan kemudiannya melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana muda ke USM. Tamat sahaja Latihan Mengajar, aku mendapat tawaran menjadi guru ganti. Boleh dikatakan hampir separuh daripada usiaku tidak berada bersama keluargaku; terutama mak dan ayah.

Aku anak perempuan sulung dalam keluarga. Amanahnya besar, bebannya juga tidak sama dengan yang lain. Kerana apa? Kerana aku akan diletakkan sebagai kayu ukur dalam keluarga. Apa-apa sahaja urusan aku perlu mahir supaya mudah menjadi rujukan buat mak ayah dan adik-adik.

Mendidik anak sulung adalah 'pengalaman pertama' buat semua ibu bapa. Daripada menukar lampin, mengajar membaca mengira, melatih solat, mendidik menjaga aurat, menghantar ke sekolah sehinggalah ke urusan perkahwinan sekalipun. Dengan mendidik anak pertamalah, mereka belajar. Mereka juga seperti kita yang masih muda yang masih belajar untuk bersedia menghadapi perkara-perkara baru. Adakala mereka besedia, adakala mereka sedang berusaha untuk bersedia. Risau mereka juga lebih jika nak dibandingkan dengan risau terhadap anak-anak lain. 

Aku pulang ke rumah cuma sekali sekala. Terutama apabila usia menginjak dewasa, kepadatan program menyebabkan aku tidak dapat memberikan sepenuh khidmatku kepada mak dan ayah. Walaupun semasa sedang bercuti (cuti semester).

Kerap kali jika aku pulang bercuti, jika terdapat apa-apa program pasti menjadi satu kerisauan buat aku untuk meminta izin daripada mak dan ayah. Ayah mudah sahaja. Tetapi, apabila seorang ibu melepaskan dalam keadaan berat hati, aku menjadi serba tak kena. "Laa, dah nak balik ka? Sekejapnya..". "Program lagi?".

Anak perempuan sulung. Kadangkala aku merasakan aku perlu berdikari. Aku merasakan yang aku sudah besar. Segalanya biarlah aku yang lakukan sendiri. Namun, sehingga sekarang mak dan ayah masih mengawal pergerakanku serta keputusanku. Dalam erti kata lain, mereka sering risau jika aku hendak melakukan sesuatu perkara baru. Misalnya dulu, nak pulang ke kampung dengan menaiki bas, menaiki motosikal ke tempat yang jauh, bersendirian ke mana-mana. Hatta, sehingga ke saat ini pun. Mak aku menelefonku pagi tadi kerana risaukan aku. Berbuka di mana? Dengan siapa? Sahur apa? Kadangkala aku mempersoalkan perkara ini. Aku seharusnya sudah bebas kerana aku sudah besar (menurut kata hati). Namun, bukan mudah bagi mak dan ayah untuk membiarkan anak perempuan mereka bebas. Dan aku sangat menghargai semua ini. Aku amanah mereka. Ketaatanku terletak pada mereka. 

Sebagai kakak sulung, aku tak banyak meluahkan masalah kepada mak dan ayah aku. Jika adapun, ia pasti masalah yang umum sahaja. Kebanyakan perkara-perkara peribadi aku lebih suka memendam sendiri. Atau menulis di dalam diari. Ya, ada juga orang lain yang berkongsi semua rahsia mereka dengan ibu bapa mereka. Namun, kondisi keluarga tidak sama. Aku merasakan bahawa mak dan ayah aku perlu memikirkan perkara-perkara lain yang lebih besar dan penting. Sebagai kakak, masalah aku, aku perlu selesaikan sendiri. Walaupun hakikatnya kadangkala tak semua masalah aku mampu untuk menyelesaikannya sendiri.

Sekarang usia aku bakal menginjak ke angka 23 tahun ; satu usia yang bukan lagi muda padaku. Pada usia ini, soalan-soalan masa depan mula diajukan daripada saudara mara. Aku tahu, sebaik-baik urusan perkahwinan ialah apabila ibu bapa yang memudahkan urusan tersebut. Dalam kondisi aku, aku dapat merasakan bahawa mak dan ayah aku belum bersedia untuk melepaskan aku. Apabila bebicara tentang posting, ayah ingin sekali aku menetap berdekatan rumah sahaja. Apabila ditanya mengenai perancangan mereka tentang masa depan aku, belum ada kata putus. Aku tak tahu bilakah masanya yang mak ayah bersedia melepaskan aku. Banyak bicara-bicara mereka yang menjadikan aku berfikir bahawa sampai bila aku perlu dikawal oleh mak ayah? Jawapannya, sehingga mereka redha melepaskan aku.

Ya, Redha. Kerapkali aku menyebut fi mardhatillah. Redha Allah terletak pada redha mak dan ayah jua. Aku yakin dan percaya bahawa setiap ibu bapa inginkan yang terbaik buat anak mereka. Begitu juga mak dan ayah aku. Sebelum melepaskan aku, mereka mahu memberikan yang terbaik untukku. Begitu juga sebaliknya. Seorang sahabatku menceritakan, bahawa ibunya mengambil masa 3 tahun untuk melepaskan kakak sulungnya kepada orang lain. Semenjak sekolah sehingga ke zaman kampus, susah payah mereka menjaga dan memberi sepenuhnya wang dan tenaga kepada anak perempuan mereka, bukan senang-senang melepaskannya kepada orang lain. Sekurang-kurangnya mereka ingin masa untuk bersama. Tambah pula aku anak perempuan pertama. Baca, pertama.

Bagi aku, aku lebih memilih untuk taat kepada mak dan ayah dalam hal ini. Aku tidak akan membiarkan mereka terluka dengan aku disebabkan oleh hal-hal begini. Aku selalu menurut sahaja apa jua perancangan mak ayah terutama dalam urusan-urusan yang besar (memilih sekolah, bidang pengajian, universiti dan lain-lain lagi). Masing-masing lebih mengenali ibu dan ayah masing-masing. Mereka orang tua kita. Menghormati apa jua keputusan mereka bukan bermaksud tidak berusaha untuk berbincang. Namun, tindakan untuk mendesak orang tua bukanlah suatu perkara yang beradab untukku.

Moga-moga Allah menjemputku terlebih dahulu sebelum mereka. Tidak apa yang mampu aku berikan kepada mak ayah selain daripada rasa cinta, kasih dan sayang serta ketaatanku. Sudah terlalu lama aku berenggang daripada mereka. Sekurang-kurangnya biarlah aku memberi khidmat baktiku sebelum aku pergi. Sudah banyak perbuatanku yang mungkin menyinggung perasaan mereka selama membesarkan ku. Sekurang-kurangnya biarlah aku pergi dalam keadaan dada yang lapang. Biarlah apapun kekurangan mereka, namun merekalah syurgaku.

Kak sayang mak ayah. Jumpa di syurga sana. Inshaa Allah.



17 Ramadhan 1438h
Bilik Guru SMSKB

No comments:

Post a Comment