Friday, January 27, 2017

Iqra' : Merantau ke Deli [Review]

السلام عليكم

Bismillah walhamdulillah. Hasil cuti pendek kali ini, akhirnya aku berjaya menghabiskan buku pertama untuk tahun 2017. Karya Pak HAMKA. Seorang figura terkemuka daripada Indonesia. Sebelum review, suka untuk aku share bagaimana saat mula-mula boleh tertarik untuk membaca karya-karya Pak HAMKA.

Dahulu semasa di bangku sekolah menengah, pernah berkunjung ke Perpustakaan sekolah pada masa tu. Zaman sekolah merupakan zaman yang paling susah untukku habiskan bacaan. Antara genre bahan bacaan yang selalu aku baca ialah jenis bahan bacaan ringan. Contohnya majalah-majalah pendidikan, majalah-majalah Islamik dan surat khabar (tengok yang menarik ja). Antara novel yang sempat dihabiskan pun ialah novel-novel Komsas ; Azfa Hanani. Novel-novel lain semuanya berdasarkan summary cerita dan buku ulasan KOMSAS sahaja. 

Sambung balik kisah perpustakaan tadi. Sampailah satu masa tu, saja pergi bahagian buku-buku tebal. Sampai satu bahagian ni, tiba-tiba tangan rasa tertarik nak mencapai sebuah buku berkulit keras berwarna biru. Grafik muka depannya menarik. Kulihat tajuk, 'Tenggelamnya Kapal van Der Wijck'. Baik. "Boleh pinjam ni".

Lalu sebelum pinjam, bacalah dulu isi kandungan. Nak tahu kalau-kalau menarik. Muka surat pertama sahaja, dua hingga tiga kali terpaksa ku ulangi. Penulisan buku itu menggunakan bahasa asal penulis, Indonesia. Jadi, sukar untukku memahami apa yang cuba disampaikan. Faham sikit-sikit. Mungkin pada usia 15 tahun itu, belum bersambung neuron di akalku sehingga mampu memahami bait kata-kata Pak Hamka. Lalu, buku itu terpaksa diletakkan semula di rak buku. Sayang sekali.

5 tahun berlalu, semasa aku belajar di USM. Ketika itu tahun 2014 atau 2015 aku kira. Ketika itu, buku Pak Hamka kembali popular. Kali ini bukunya sudah bertukar muka depan. Kalau tak salah, Penerbitannya dari Malaysia. Rata-rata teman sepengajianku sudah viral dan bercerita mengenai buku-bukunya, dan antara yang paling laris pada waktu itu ialah buku 'Tenggelamnya Kapal van Der Wijck'. Namun, disebabkan 'trauma' aku dulu, membuatkan pintu hati aku tak terbuka untuk membaca lagi karya Pak Hamka. Tidak lama selepas itu, terbitlah pula filem yang diadaptasi daripada novel terkenal itu. Namun, aku masih belum berpeluang untuk menontonnya. Ramai yang memberi komen positif mengenai filem tersebut.

2017. Selepas sahaja tamat peperiksaan akhir semester 7, aku menghabiskan beberapa detik waktu untuk menonton filem-filem yang pernah dikatakan 'best' itu sebelum pulang ke kampungku di Kedah. Maka, filem pertama yang aku tonton untuk release stress ialah 'Tenggelamnya Kapal Van der Wijck'. Dengan durasi hampir 2 jam lebih, aku gagahkan juga untuk menontonnya.

Subhanallah.. Sungguh aku tertarik pada penggunaan gaya bahasa dalam filem itu. Surat-surat yang dikarang oleh Zainuddin menunjukkan ketinggian sastera Melayu. Sehinggakan aku lebih tertegun pada penggunaan gaya bahasanya berbanding jalan cerita yang cuba Pak Hamka sampaikan. Maka, selepass itu, membuatkan aku makin bersemangat untuk memulakan pembacaanku terhadap karya-karya Pak Hamka, yang selama ini tidak pernah masuk dalam wishlist bahan bacaanku pun.

Setelah sekian lama buku Merantau ke Deli berada di rak buku rumahku, baru kini aku berhajat untuk membeleknya dan memulakan pembacaan. Buku itu aku agak sudah beberapa lama ayah beli. Namun, belum pernah disentuh oleh siapa-siapa. Kini, aku 'memulakan' eksplorasi aku semasa cuti pendek di rumah dengan bahan bacaan ini. Oh ya, buku-buku karya Pak Hamka yang diterbitkan di Malaysia hanyalah melalui PTS sahaja. Jadi, lebih mudah untuk dibaca kerana ada glosari di bahagian belakang. Ejaan yang digunakan juga sesuai dengan masyarakat Malaysia.

Kisah yang disampaikan masih berkisar tentang kisah-kisah orang Minangkabau, bagaimana anak muda yang merantau ke kota untuk menyara hidup, kisah tentang mereka yang terlalu menjunjung adat dan tradisi, kisah tentang darjat orang-orang Minangkabau dan banyak lagi. Apa yang paling menarik ialah, kata-kata Pak Hamka tentang kehidupan. Banyak untukku kongsikan. 

"Kerana sudah demikian mestinya hidup itu, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirehat sementara,guna mengumpulkan kekuatan untuk menempuh perjuangan yang baru.
Sebab itulah maka tak usah kita menangis di waktu mendaki, sebab di balik puncak perhentian pendakian itu telah menunggu daerah yang menurun.
Hanya satu yang akan kita jaga di sana, iaitu kuatkan kaki, supaya jangan tergelincir. Dan tak usah kita tertawa di waktu turun kerana kita akan menempuh pendakian pula, yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut daripada pendakian yang dahulu.
Dan barulah kelak di akhir sekali, akan berhenti pendakian dari penurunan itu, di satu padang yang luas terbentang, bernama MAUT.
Di sana akan bertemu alam datar, tak berpendakian, tak berpenurunan lagi."
-HAMKA -

Ada lagi.

"Sungguh ramai sekali manusia yang lemah dan tak dapat mengendalikan dirinya untuk menahan hawa nafsu. Perturutkan dahulu. Buruk baiknya dihitung belakang."-HAMKA-

Sehingga kini, bahan bacaanku kerapkali bercerita mengenai psikologi manusia, cerita-cerita pengalaman diri seperti karya Ustaz Hasrizal (Saiful Islam) dan Ustazah Fatimah Syarha. Sudah lama tidak membaca karya-karya seperti penulisan Ismail Restu, A.Samad Said dan tentu sekali Pak Hamka ; karya tentang kehidupan. Lebih bersifat klasik dan bukannya kontemporari seperti sekarang. 

Apatah lagi novel-novel cinta yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di pasaran. Kemudiannya dijadikan drama-drama Melayu di TV3 dan juga syarikat televisyen lain.Membaca karya sehebat ini membuatkan aku terasa bagaikan kembali ke zaman dahulu. Biarpun aku ini Generasi Y, namun aku suka sebenarnya pada karya-karya terdahulu. Yang mana laras bahasa mereka, isi cerita mereka lebih 'kenyang' bagiku. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan niatku.

Maaf dipinta kerana perkongsian tentang Review buku Merantau ke Deli tidaklah seberapa banyak. Sebaliknya lebih berkongsi tentang cerita lain. Benarlah, dengan membaca membuatkan kita dapat 'merantau' ke seluruh dunia. Iqra'. Bukan sekadar hobi, bahkan ia suatu perintah daripada Allah. Ayuh, kita jadi golongan membaca!

***

IKLAN : Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli bahan bacaan, bolehlah emelkan ke hanini94@gmail.com. Saya agen syarikat buku yang sah. :) Terima kasih.

No comments:

Post a Comment