Sunday, January 17, 2016

Malware dan Buku Wabak Sepanjang Jalan

السلام عليكم



Alhamdulillah. Selesai sudah peperiksaan semester satu untuk sidang akademik 15/16. Boleh dikatakan peperiksaan kali ini paling tough jika dibandingkan dengan semester-semester sebelum ini.

baiklah, Berbalik kepada tajuk entri pada kali ini. Malware dan Wabak Sepanjang Jalan. Apa perkaitannya? 

***
MALWARE
Suatu petang, aku sengaja mencari punca mengapa laptop aku selalu sahaja akan naik page lain walaupun pada asalnya page lain yang aku masuk. Klik sahaja di page tersebut, akan naik page iklan yang lain. Apa yang lebih menguji kesabaran, apabila page yang kita surf terus hilang. Hanya Allah yang tahu perasaan itu. Rupa-rupanya laptop aku dijangkiti Malware. 'Penyakit' ini selalu akan masuk bersama-sama dengan software yang dimuat turun secara percuma daripada mana-mana third party. Misalannya, softonic dan banyak lagi yang aku sendiri tak tahu.

Selesai menghadam cara-cara nak buang malware ni, aku pun ter us la praktikkan. Semasa scanning virus, berlambak-lambaklah nama virus / adware yang aku sendiri tak tahu datan daripada mana. Meremang bulu roma pun ada.

***
WABAK SEPANJANG JALAN
Sepanjang perjalanan aku dari Penang-Changlun, aku bertekad untuk review semula buku yang aku pinjam daripada Rak Terbuka di masjid Al Malik Khalid, USM. Buku Wabak Sepanjang Jalan. Walaupun buku ini merupakan buku usrah semasa aku di tahun dua, namun aku sendiri tak berapa ambil berat tentang isi kandungannya. Cukup sekadar baca, dan tahu. Kerana apa? Kerana aku belum diuji dengan wabak-wabak yang disenaraikan di dalam buku ini.

Semasa perjalanan Penang-Changlun, aku mengeluarkan buku ini daripada beg pakaian aku. Semasa di atas bas, aku tak boleh menghabiskan bacaan kerana keadaan bas yang menyebabkan kepalaku menjadi pening sewaktu membaca. Tambahan pula, aku memang berniat mahu qadha tidurku yang tidak cukup pada malam sebelumnya sewaktu aku dalam perjalanan nanti.

Setibanya di Stesen bas Shahab Perdana, aku punya masa kira-kira 45 minit sementara menunggu bas ke Kodiang berjalan. Aku lantas membuka semula buku tadi yang aku tak sempat habiskan pembacaannya.

Apa perasaan aku?? Aku tiba-tiba terasa buku ini bagaikan software yang mengesan virus-virus dalam diri aku. Atau bahasa harakinya aku sebut sebagai 'wabak sepanjang jalan'. Nak tahu apa wabak-wabak tersebut?


  1. al Futur (terhenti dan melengah-lengah)
  2. al Israf (pemborosan)
  3. al Isti'jal (terburu-buru)
  4. al Uzlah (memencilkan diri)
  5. al 'Ijab bil Nafsi (terpesona dengan diri sendiri)
  6. al Ghurur (tertipu dengan diri sendiri)
  7. al Takabbur (sombong dan membesar diri)
Apabila aku amati satu per satu tanda-tanda pada setiap wabak ini, baru aku perasan bahawa aku pun turut dijangkiti dengan wabak-wabak ini. Astaghfirullahal'aziim.



Sememangnya semakin lama aku berada dalam Harakah Islam ini, semakin banyak ujian yang menimpa diri. Kadangkala ujian yang menduga ini tidak terzahir seperti penyakit-penyakit kulit. Namun ia merebak dengan senyap seperti kanser di dalam badan. 

Ya, setiap orang punya ujian tersendiri. Ujian buat sang 'alim adalah dengan kebijaksanaannya. Ujian sang 'abid pada keikhlasannya. Ujian sang gagah apabila ia menjadi lemah. 

***

Sesungguhnya berada dalam perjuangan ini bukanlah sesuatu yang mudah , semudah lidah menuturkan kata-kata. Begitu juga dalam merawat penyakit-penyakit ini, bukanlah sesuatu yang mudah ibarat menekan butang 'Remove' kepada malware di komputer.

Kadangkala kita sendiri tidak sedar/ tidak perasan bahawa kita dijangkiti wabak-wabak di atas. Patutla selama ini merasa lemah. Patutlah selama ini asyik bersangka-sangka pada orang lain. Patutlah selama ini merasa terlalu bersemangat. Hakikatnya, ada ujian di sebalik segala tiap sesuatu.

Harapanku cuma satu ; Moga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah. Semoga Allah pelihara hati kita di atas jalan yang benar.

Wallahu taala 'alam.