Tuesday, December 31, 2013

Terima Kasih, Ayah !!

السلام عليكم

Ayah tak banyak berbicara. Aku tak tahu apa yang bermain dalam fikiran ayah. Ayah saja lah satu-satunya insan yang menjadi tunjang keluarga kami. Masa kecil-kecil dulu, ayahlah yang dengan penuh sabar mengajar aku. Aku masih ingat, ayahlah yang memngajar aku tentang konsep pembahagian dalam matematik, sehinggakan hari ini ilmu tersebut masih lekat di fikiranku.

Ayah juga agak tegas sewaktu aku dan adik kedua masih kecil. Tiba sahaja waktu Maghrib, tatkala itu aku dan adik sedang menonton Doraemon disuruh mengerjakan solat. Seringkali kami liat. Waktu itu, ayah pasti akan memegang sebatang rotan sebagai 'amaran' untuk kami. 

Apabila tiba sambutan Hari Guru di sekolah, ayah pasti dah sediakan hadiah istimewa untukku bawa ke sekolah. Ada satu hadiah yang paling aku tak dapat lupakan iaitu sebatang rotan halus. Kata ayah, mudah untu guruku merotan jika aku nakal nanti.

Ayah tidak belajar tinggi. Setakat Darjah 5 sahaja. Itupun kerana terpaksa bekerja seawal usia remajanya bagi menanggung kehidupan adik-adik dan ibunya. Ayah tak pernah merasa kesenangan ketika usianya sebaya dengan aku sekarang. Mana mungkin dia tidak cemburu melihat rakan-rakan seusianya yang lain ada yang bersekolah.

Sehingga sekarang, ayah masih bekerja keras untuk menyara kehidupan. Ayah bukan bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Ayah hanyalah seorang tukang paip, kadangkala tukang elektrik, kadangkala tukang kayu, dan kadangkala mengurut orang.

Sebab itulah aku tidak setuju apabila terdapat golongan atasan mengatakan bahawa rakyat tidak berusaha mencari alternatif untuk memperbaiki taraf kehidupan. Analogi aku mudah; mana mungkin seekor burung yang tak pernah menyelam di dasar lautan bercakap tentang kehidupan sang ikan. Melainkan burung tersebut sendiri hidup bersama-sama sang ikan. Dari situ, barulah dia merasai bagaimana susahnya nak berenang kerana selama ini hanya berterbangan di awanan. Hanya memerhati dari atas. Tatkala lapar, barulah terbang turun ke permukaan mencari makanan.

Selalu sahaja kita melihat golongan yang sedang memperbaiki kerosakan di asrama, koridor mahupun di mana-mana tempat dengan pandangan yang sinis. Namun, itulah pekerjaan ayah aku. Aku sedikit pun tidak rasa malu. Aku bangga dengan ayah.

Kalau anak-anak merungut nakkan sesuatu, selalunya ayah pasti akan cuba juga untuk mendapatkannya walaupun aku tahu ayah kadangkala tak mampu. Dia tak mahu anak-anaknya merasai kehidupan sepertinya dahulu.

Dalam keluarga aku, hanya ayah seorang sahaja yang bekerja. Emakku seorang surirumah. Aku risau.
Persekolahan akan bermula tidak lama sahaja lagi. Sudah pasti ayah perlu bekerja lebih keras. Persiapan barang-barang persekolahan adik-adik perlu disediakan, yuran persekolahan lagi.

Aku terfikir, bagaimana aku nak bantu ayah? Kadangkala apabila aku berbual dengan rakan-rakan, rata-rata ibu bapa mereka dah pun menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Aku sedih.Aku pun nak mak ayah sempat merasai semua itu. Tapi..

Allah kata 'Jika kamu mampu'.


Aku tak pernah berani nak cakap "Kak tak dak duit" jika ayah bertanyakan soal wang di universiti. Aku faham ayah. Bukan aku tak mahu duit ayah, tapi biarlah ayah gunakan untuk adik-adik dan ibuku dahulu.

Baju raya ayah sudah beberapa tahun tidak berganti. Sedangkan aku dan adik-adik setiap tahun disuruh untuk membeli pakaian baru. Jika ayah beli baju pun, biasanya yang bundle sahaja. 
Tapi aku dan adik-adik?

Ayah seorang yang sangat suka menolong orang lain. Kadangkala sampa sanggup susahkan dirinya demi orang lain. 


Pengorbanan ayah sungguh besar namun kadangkala tidak terlihat. Mana mungkn seorang ayah tidak menyayangi keluarganya walaupun dia tidak meluahkan dengan kata-kata. Cukuplah tingkah lakunya membuat aku mengerti.

Ayah, kak mintak maaf sebab kak tak mampu nak tolong ringankan beban ayah lagi setakat ni. Kak tak mahu ayah dengan mak susah.

Tapi kak yakin. kebahagiaan bukanlah terletak pada nilai material, ayah. Kak yakin dengan perencanaan Allah. Sungguh, rezeki Alah itu luas.... 

Insya Allah, semoga kak dan adik-adik berjaya suatu hari nanti dan tiba giliran mak ayah berehat pula. :)

amiin..

Khas buat ;  
AYAH


No comments:

Post a Comment