Tuesday, December 31, 2013

Terima Kasih, Ayah !!

السلام عليكم

Ayah tak banyak berbicara. Aku tak tahu apa yang bermain dalam fikiran ayah. Ayah saja lah satu-satunya insan yang menjadi tunjang keluarga kami. Masa kecil-kecil dulu, ayahlah yang dengan penuh sabar mengajar aku. Aku masih ingat, ayahlah yang memngajar aku tentang konsep pembahagian dalam matematik, sehinggakan hari ini ilmu tersebut masih lekat di fikiranku.

Ayah juga agak tegas sewaktu aku dan adik kedua masih kecil. Tiba sahaja waktu Maghrib, tatkala itu aku dan adik sedang menonton Doraemon disuruh mengerjakan solat. Seringkali kami liat. Waktu itu, ayah pasti akan memegang sebatang rotan sebagai 'amaran' untuk kami. 

Apabila tiba sambutan Hari Guru di sekolah, ayah pasti dah sediakan hadiah istimewa untukku bawa ke sekolah. Ada satu hadiah yang paling aku tak dapat lupakan iaitu sebatang rotan halus. Kata ayah, mudah untu guruku merotan jika aku nakal nanti.

Ayah tidak belajar tinggi. Setakat Darjah 5 sahaja. Itupun kerana terpaksa bekerja seawal usia remajanya bagi menanggung kehidupan adik-adik dan ibunya. Ayah tak pernah merasa kesenangan ketika usianya sebaya dengan aku sekarang. Mana mungkin dia tidak cemburu melihat rakan-rakan seusianya yang lain ada yang bersekolah.

Sehingga sekarang, ayah masih bekerja keras untuk menyara kehidupan. Ayah bukan bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Ayah hanyalah seorang tukang paip, kadangkala tukang elektrik, kadangkala tukang kayu, dan kadangkala mengurut orang.

Sebab itulah aku tidak setuju apabila terdapat golongan atasan mengatakan bahawa rakyat tidak berusaha mencari alternatif untuk memperbaiki taraf kehidupan. Analogi aku mudah; mana mungkin seekor burung yang tak pernah menyelam di dasar lautan bercakap tentang kehidupan sang ikan. Melainkan burung tersebut sendiri hidup bersama-sama sang ikan. Dari situ, barulah dia merasai bagaimana susahnya nak berenang kerana selama ini hanya berterbangan di awanan. Hanya memerhati dari atas. Tatkala lapar, barulah terbang turun ke permukaan mencari makanan.

Selalu sahaja kita melihat golongan yang sedang memperbaiki kerosakan di asrama, koridor mahupun di mana-mana tempat dengan pandangan yang sinis. Namun, itulah pekerjaan ayah aku. Aku sedikit pun tidak rasa malu. Aku bangga dengan ayah.

Kalau anak-anak merungut nakkan sesuatu, selalunya ayah pasti akan cuba juga untuk mendapatkannya walaupun aku tahu ayah kadangkala tak mampu. Dia tak mahu anak-anaknya merasai kehidupan sepertinya dahulu.

Dalam keluarga aku, hanya ayah seorang sahaja yang bekerja. Emakku seorang surirumah. Aku risau.
Persekolahan akan bermula tidak lama sahaja lagi. Sudah pasti ayah perlu bekerja lebih keras. Persiapan barang-barang persekolahan adik-adik perlu disediakan, yuran persekolahan lagi.

Aku terfikir, bagaimana aku nak bantu ayah? Kadangkala apabila aku berbual dengan rakan-rakan, rata-rata ibu bapa mereka dah pun menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Aku sedih.Aku pun nak mak ayah sempat merasai semua itu. Tapi..

Allah kata 'Jika kamu mampu'.


Aku tak pernah berani nak cakap "Kak tak dak duit" jika ayah bertanyakan soal wang di universiti. Aku faham ayah. Bukan aku tak mahu duit ayah, tapi biarlah ayah gunakan untuk adik-adik dan ibuku dahulu.

Baju raya ayah sudah beberapa tahun tidak berganti. Sedangkan aku dan adik-adik setiap tahun disuruh untuk membeli pakaian baru. Jika ayah beli baju pun, biasanya yang bundle sahaja. 
Tapi aku dan adik-adik?

Ayah seorang yang sangat suka menolong orang lain. Kadangkala sampa sanggup susahkan dirinya demi orang lain. 


Pengorbanan ayah sungguh besar namun kadangkala tidak terlihat. Mana mungkn seorang ayah tidak menyayangi keluarganya walaupun dia tidak meluahkan dengan kata-kata. Cukuplah tingkah lakunya membuat aku mengerti.

Ayah, kak mintak maaf sebab kak tak mampu nak tolong ringankan beban ayah lagi setakat ni. Kak tak mahu ayah dengan mak susah.

Tapi kak yakin. kebahagiaan bukanlah terletak pada nilai material, ayah. Kak yakin dengan perencanaan Allah. Sungguh, rezeki Alah itu luas.... 

Insya Allah, semoga kak dan adik-adik berjaya suatu hari nanti dan tiba giliran mak ayah berehat pula. :)

amiin..

Khas buat ;  
AYAH


Wednesday, December 18, 2013

Sesak

السلام عليكم

Malam ini aku termenung lagi; memikirkan apalah nasib aku 10 tahun akan datang. Ada apa yang tak cukup sekarang? Alhamdulillah, nikmat-nikmat Allah masih lagi aku terima dan hidup dengannya sehinggalah sekarang. 

Sungguhpun begitu, terasa sesak dada melihat sketsa yang dimainkan oleh pemerintah sekarang. sungguh aku penat. apa yang terkini, semua benda nak dinaikkan harga.

aku masih teringat suatu hari emak bercerita kepadaku. Ayahku baru sahaja pulang dari mesyuaran di Pejabat Buruh. Sedih aku mendengarnya. Arahan baru ; setiap pekerja perlu diberi gaji minimun RM900. Dek kerana ayahku hanyalah makan gaji kotrak, mana mampu nak berikan walaupun gaji 'seminimum' itu. Ya, ayah ada beberapa orang pekerja di bawahnya. Itupun untuk membantunya melakukan kerja-kerja perpaipan, pertukangan dll.

Sedangkan kami sendiri pun tak mampu nak rasa minimum RM900 setiap bulan, inikan pula nak membayar kepada orang bawahan. Aku faham, mungkin tujuan kerajaan nak ringankan beban rakyat. Tapi, kenapa tak kaji dahulu sebelum memutuskan sebarang keputusan?

aku sedih, aku belajar pun sekarang masih menanggung hutang. bidang yang aku ambil tidak ditaja oleh JPA mahupun MARA. walaupun aku belajar di USM, asentif APEX pun kami tak dapat. Iya, boleh saja kami ambil bantuan wang atau biasiswa luar (swasta).

Ayah, terlalu risaukan aku. Tatkala dia menelefon aku, soalan lazimnya "Kak ada duit lagi tak?". Allah... aku tak sampai hati nak cakap "takdak". Aku tahu betapa susahnya ayah nak mencari sesuap nasi untuk kami. 

pekerjaan ayah aku bukannya makan gaji bulanan. Alhamdulillah, ada rezeki.. adalah. 

bila aku baca suratkhabar.. itu naik, ini naik.. tak tahu macam mana aku nak bayangkan apalah bebanan demi bebanan yang ayah nak fikir. adik-adik pun masih bersekolah. nak bagi duit hari-hari. kalau masa aku sekolah rendah dulu, paling kurang 50 sen pun dah cukup. tapi sekarang, RM 1 pun belum tentu cukup.

itu kehidupan aku. Alhamdulillah...Bolehlah nak menyara keperluan seharian. Macam mana pula dengan insan yang kurang bernasib baik yang lain? Misalannya macam masa aku pergi buat survey di sekitar Penang dulu, ramai lagi rakyat yang merempat. Tiada tempat berlindung.

Senang-senang saja orang atasan cakap "Kalau itu naik, tak payahlah guna itu, gunalah ini!"


hati aku agak berontak sedikit mendengar kenyataan yang aku rasa kurang cerdik itu. sungguh, aku terasa. semua benda yang dinaikkan bukannya benda yang jarang-jarang kita gunakan. bahkan, yang sudah menjadi keperluan.

astaghfirullah. maaflah kepada insan-insan berkenaan. dengarlah rayuan , luahan daripada kami insan-insan yang tak bertuah seperti anda. barangkali tak pernah terpercik dek kesusahan. kalian tidur beralaskan harta, kami berselimut dengan keresahan. resah. bagaimana nak menanggung anak-anak yang nak masih kecil? ya, kami yakin Allah akan membantu kami. kalian? tak pernah rasa nak bantu hidup saudara sendiri?

aku masih tak faham. kenapa masih ada yang menyokong? walhal seumpama hanya bergantung pada seutas tali tatkala diri sudah di hujung gaung. masih memuji-muji pada insan yang menolak kita dari atas. kenapa tak nak menolong saudara lain yang tak semampu seperti kita?

tak semua orang senang wahai tuan. kami sesak bernafas. Kalian rasakan seolah-olah kalian yang memberi nafas kepada kami. Penat.

insyaAllah, aku berdoa agar Allah hadirkan insan yang sudi membantu kami. semoga Allah mempermudahkan urusan kami. tak mengapa. Yakin dengan bantuan Allah. Allah itu Maha Adil. Jika tidak di dunia, di akhirat sana masih ada dan kekal abadi. 

sekian.