Thursday, February 28, 2013

Usrah a.k.a Bulatan Gembira... (best ke?)

السلام عليكم


Pertama sekali mendengar perkataan "usrah" ni, ia seolah-olah amat janggal. dulu-dulu kalau join pun mungkin sebab terpaksa. namun, di sebalik usrah ni lah tersingkap seribu satu rahsia yang amat istimewa.

sebenarnya 'USRAH' merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud "KELUARGA". nak berusrah ni.. ada rukun-rukunnya jugak..

*taaruf
*tafahum
*takaful



#Pengalaman

masa dulu-dulu kat sekolah, 'USRAH' ni ibarat 'benda alah' bagi sesetengah orang sebab ia adalah satu program yang pihak BADAR anjurkan dan semua wajib join. jadi, bila sesuatu perkara ni kita lakukan bukan atas kehendak kita, maka tak adalah kesannya terhadap hati. dengar ja ada usrah, semua jadi lemah semangat. 

tapi, bila usia dah menginjak ni... dan bila dah melangkah keluar dari sekolah, program-program macam ni dah kurang. maksudnya, kita sendiri yang kena cari. Memang, sekarang ni terutama bila dah masuk alam IPT/ Kolej / Pekerjaan.. program-program macam ni, dah takda siapa-siapa yang nak suruh-suruh lagi dah. masa ni kita sendiri yang akan rasa tak kena dekat situ, tak kena dekat sini.

mungkin inilah tandanya jiwa kita kering kontang. kurangnya tarbiyyah terhadap jiwa kita. kadangkala bila kita dilanda musibah atau masalah, kita rasa kosong. macam segala-galanya HILANG. saat kita lemah, takda siapa-siapa yang nak bangunkan kita semula. kawan-kawan?? mereka ada tapi kadangkala jiwa kita tak terisi pun. kita gembira bersama mereka, tapi, perkara-perkara yang gembira itu kadangkala tak mampu membuatkan kita menjadi tenang. pernah sesekali kita terasa seperti jiwa meronta-ronta.macam ada sesuatu yang tak kena.

#USRAH... ada apa pada usrah ni??



USRAH... pada mulanya nak join rasa malu sangat-sangat. mungkin ramai yang ingat usrah ni hanya untuk geng-geng alim, waro', tudung-tudung labuh, berjubah, pakai ketayap, serban bla..bla..bla... Kan???
tapi, kita perlu ingat, Islam bukanlah begitu. Hatta Allah SWT sendiri tak pernah menilai rupa fizikal kita, hanya ketakwaan, iman dan kebergantungan kita kepada-Nya menjadi kayu ukur dalam meraih tempat tertinggi di sisiNya... Inikan pula usrah yang mana kita semua ni makhlukNya. Ahli-ahli usrah yang selama ini saya kenali juga bukanlah dalam kalangan mereka yang merasa diri mereka sempurna. bahkan, mereka sentiasa saling bergantung antara satu sama lain dalam membina kekuatan diri. banyak perkara-perkara yang dikongsi bersama. secara tak sedar, Alhamdulillah ukhuwah kita telah terjalin. banyak sangat nasihat, tarbiyyah, dan muhasabah yang diperoleh. bila berjauhan dari keluarga, hati kita terisi. Menambah rasa cinta kita kepada Allah, Rasulnya dan saudara seMuslim..insyaAllah.

bila join usrah inilah yang telah banyak membuka mata saya tentang isu Palestin yang selama ini saya hanya dengar sahaja. tidak mendalami apatah lagi hendak memahami. bagaimana usia muda ini begitu berharga dalam memperjuangkan Islam sebagai agama kita. 

dari usrah ini jugalah Allah telah menyatukan hati-hati yang berkumpul demi menggapai redhaNya. InsyaAllah, bila bersama terasa tenang sangat. saat kita rasa jatuh, bersama-sama mereka bangunkan dengan kekuatan yang Allah kurniakan melalui ukhuwah tersebut.

memanglah malu nak join masa mula-mula tu sebab bila nak duduk dalam bulatan, tengok saja muka-muka 'adik-beradik' yang lain macam suci-suci belaka. rasa rendah sangat-sangat.. malunya. 

namun, alhamdulillah.. dari sini lah perjalanan mengenalNya bermula. saya dapat rasakan bagaimana indahnya nikmat persaudar

aan Islam ini bila kita sama-sama berkumpul.


Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (4)AsSaff:004


mungkin ada yang berpendapat join usrah ni membazir masa, boring, mengantuklah. tapi, bila kita buat sesuatu di jalan Allah, ins

yaAllah kita takkan rasa semua tu.


Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. Muhammad;007


sebagaimana kita... hati juga perlukan makanannya. tunaikanlah hak-hak nya. jangan biarkan jiwa kita kontang. basahkanlah dengan zikrullah (mengingati Allah) nak mengingati Allah bukanlah bermakna kita kena  duduk berzikir siang dan malam semata-mata. Semua pekerjaan yang kita niatkan kerana Allah, insyaAllah ia juga boleh mengingatkan kita kepada Allah. banyakkan menghadiri majlis-majlis ilmu. seperti mana ia juga merupakan salah satu daripada taman-taman syurga... Specialnya kita!!

sebelum mengakhiri artikel, saya nak kita sama-sama bermuhasabah semula. alangkah istimewanya kita. nikmat yang Allah beri pada saat ini kita boleh menggunakannya untuk membantu agama kita, ISLAM. banyak sangat-sangat program-program yang boleh menambahkan rasa keimanan kta terhadap Allah. Banyak sangat peluang untuk kita mendalami ilmi agama. kita bebas daripada penjajah. masa lapang kita sudah banyak yang terbuang. lihatlah, saudara kita... adik-adik kita di Palestin. siang dan malam bertungkus-lumus mempertahankan 'warisan kita-Bumi Anbiya' . jiwa mereka kebal. malamnya pasti tidak lena. memikirkan methode untuk menyelamatkan agama kita. kita??? aman, merdeka... masa kita sudanh banyak dibuang untuk melakukan maksiat.. astaghfirullah... 








ramai pemuda pemudi di sini yang menangis kerana putus cinta. Mereka?? sudah pasti kerana agama.
kita siang dan malam sibuk mempertahankan ini tak cukup, itu tak cukup,.. mereka di sana?? tidak pernah ada yang cukup jika kita lihat, namun, nilai syukur pada ALLAH sangatlah tinggi.

betul bukan?? jomlah!! kita selamatkan maruah agama ini!! Yakinlah Allah ada bersama kita.



sebelum saya menoktahkan artikel ini, marilah kita hayati Firman Allah ini :



ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (2) al-Mulk;002












sekian... :) FreePalestine!!

Friday, February 8, 2013

PESAN ROH KEPADA MANUSIA

السلام عليكم


Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia.Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas.Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh". Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh".


    Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat. Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan :

    "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya.Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". 

    Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

    Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab:
    "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku". Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudahada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.


Baginda Rasullullah S.A.W berkata:

Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.Dan akhir sekali datanglagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."


Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. Akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S." Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelahkiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya. Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada AllahS.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki.


Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut,mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga.


Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:
Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikatKu,tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah AllahS.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan AsmaAllah S.W.T.
Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada AllahS.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. Abu Bakar R.A.telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. 

Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:- 

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat." 
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya: 
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

#trust Allah


Sunday, February 3, 2013

Warkah Cinta [Soundtrack by IM Nazrul ft UNIC]

السلام عليكم


Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara
Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa
Setiap untai kata yang termaktub
Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga

Simpanan batinku hampir terbelah
Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa
Antara iman dan nafsu aku berjuang
Meraih mahkota cinta dari syurga

Chorus:
Biar beribu parut luka menghiris kalbu
Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar
Sekalipun diriku terbuang di mata insan
Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini

Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu
Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ

[Selama-lamanya kelembutan 
takkan pernah tewas dengan kekerasan]

[Ulang Chorus]

Cintaku ini...



Lagu: Bazli Unic
Lirik: Ustaz A.Ubaidillah Alias
Studio Rakaman : Unic
Terbitan: Al-Kahfi Pictures Sdn.Bhd. 

Warkah Cinta Berbau Syurga [sinopsis buku]

السلام عليكم


Amir Mukhlis adalah penuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran dan ditakdirkan berkenalan dengan pelajar Naim Lilbanat iaitu Wardah dalam satu sesi pertemuan antara redaksi sekolah. Amir dibesarkan dalam keluarga yang subur dengan atmosfera agama. Beliau dididik dan dibesarkan oleh ibubapa yang faham asas-asas agama dengan baik. Malah, ibubapa Amir sering berbicara dan memberitahu bahawa Amir perlu menjadi pemimpin apabila beliau besar nanti. Disebabkan itu, Amir sangat fokus pada pengajian dan komitmennya amat tinggi terhadap pelajaran.

Wardah pula berasal dari keluarga yang agak kucar-kacir disebabkan bapanya mempunyai beberapa karekter yang negatif. Bapa Wardah seorang yang materialistik dan tidak menyukai karekter agamawan. Dia juga tidak mahu Wardah belajar di sekolah agama kerana memandangkan jaminan kerjaya yang kurang cerah. Bagi bapa Wardah, belajar agama adalah membazir masa dan wang, kerana tiada pulangan besar yang diperolehi daripada ilmu agama. Berbeza dengan ilmu profesional yang lain. Wardah cuba menyedarkan bapanya bahawa tanggapan seperti itu adalah salah. Atas dasar itu, beliau mahu mencari bakal suami yang berprinsip dan boleh menjadi tauladan kepada keluarganya.

Dari konflik keluarga itu membuatkan Wardah sentiasa mencari-cari lelaki ideal yang sesuai dijadikan tempat sandaran. Akhirnya, pertemuan secara tidak sengaja dengan Amir membuahkan cetusan rasa kagum dalam diri Wardah. Wardah mengambil langkah pro aktif dengan meminta sepupunya iaitu Rahim yang belajar di sekolah yang sama dengan Amir Mukhlis. Wardah cuba mencuri perhatian Amir melalui bantuan sepupunya Rahim, namun Amir tidak mahu memberikan respon. Dia berkeras tidak mahu bercinta demi menjaga kesucian agama dan status penghafaz al-Quran.

Dalam diam, Amir menghormati Wardah dan mengkaguminya disebabkan Wardah dalah antara pelajar terbaik sekolah Naim Lil Banat. Secara berhati-hati Amir cuba memberi nasihat dan peringatan kepada Wardah agar tidak bercinta dan mengikut gelora emosi remaja yang mudah dibuai kasmaran. Wardah menjadi keliru adakah Amir menyukainya atau tidak? Beberapa kali Wardah cuba mendapatkan kepastian, namun Amir tetap menggantung jawapan.

Amir pernah memberitahu kepada Wardah “Kalau ada jodoh, tidak ke mana. Takkan lari gunung dikejar” Dengan harapan Wardah mengerti bahawa dia akan setia. Malah, Amir juga cuba untuk tidak mencari orang lain. Namun, ungkapan seperti itu tidak mampu meyakinkan Wardah.

Beberapa minggu sebelum Amir ke Mesir, beliau terlibat dengan satu kemalangan kecil. Iaitu dia terlanggar seorang pelajar maahad sewaktu mengundurkan kereta. Pelajar itu luka di tangan dan Amir memberikan sapu tangan kepadanya. Gadis yang luka itu adalah BALQIS. Dari insiden itu, Balqis terlupa memulangkan sapu tangan dan menyimpannya dengan baik. Pertemuan ini berlaku seketika sahaja (Bahagian ini sengaja tidak diketengahkan, hanya pembaca yang tekun akan menyedarinya)

Beberapa tahun Wardah menggantung harapan dan berkomunikasi dengan Amir melalui surat dan telefon. Biarpun begitu, Amir tetap dengan sikapnya. Sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Wardah ke Universiti Malaya dan Amir pula ke Universiti Al-Azhar, Kaherah. Wardah yang merasakan dirinya bertepuk sebelah tangan semakin tertekan dengan keegoan Amir. Ketika itu, Wardah pula dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya iaitu Syamsul.

Bapanya memilih Syamsul dengan niat memisahkan anaknya daripada mengahwini Amir. Juga disebabkan Syamsul adalah seorang pemuda yang bergaji besar serta mempunyai pekerjaan yang mantap. Sedangkan Amir masih lagi bergelar mahasiswa dan belum tentu mendapat pekerjaan yang selesa. Akhirnya Wardah kecewa dengan sikap Amir dan merelakan dirinya dilamar. Akhirnya Wardah berkahwin dengan Syamsul.

Sebaik menerima berita perkahwinan Wardah, Amir mula menyedari ada sesuatu kehilangan dalam dirinya. Dia mula merasakan kerinduan yang amat. Barulah dia sedar apa itu mencintai dalam diam. Namun, cintanya sudah dimiliki orang. Amir mula menyesal dengan sikapnya sendiri. Dia cuba mencari dimanakah kesilapannya? Dia sedar, selama ini dia terlalu rigid dan langsung tidak meluahkan perasaan sebenarnya. Disebabkan itu, dia berazam untuk bersikap dengan lebih matang dan rasional.

Sewaktu Amir sedang meneruskan pengajian di Al-Azhar, Mesir. Amir menyimpan luka kesedihan yang dalam itu. Dia mahu mempastikan bahawa persepsi bapa Wardah adalah silap. Agamawan tidak akan merempat sekalipun mereka tidak menjadi seorang yang kaya raya. Dari situ, Amir memaksa dirinya bekerja keras, dia mula membina karisma seorang pemimpin. Dia terus mengaplikasikan ilmu-ilmu yang pernah dipelajari oleh guru-guru dan ustaz-ustaznya di maahad dahulu.

Secara tidak langsung, Amir memasang cita-cita untuk menjadi penulis dan pendakwah. Dia memasuki team editorial dan menjadi pengarang utama di majalah mahasiswa Mesir. Dia mula menulis dan mengarang untuk melepaskan perasaannya itu secara estetika. Dia menulis catatan untuk memberikan motivasi dalam dirinya sendiri dan orang lain. Dia mahu sedarkan agamawan bahawa golongan ilmuan harus berjuang terus-terusan menyampaikan ilmu dalam semua bidang mahupun lapangan. Khususnya bidang seni serta penulisan.

Beberapa tahun berlalu dan pengambilan mahasiswa-mahasiswi baru dari malaysia ke universiti Al-Azhar berlangsung. Suatu hari, satu insiden telah berlaku membabitkan Amir dengan seorang siswi baru yang bernama Balqis. Beliau telah menyelamatkan Balqis dari situasi genting. Disebabkan itu, Balqis yang baru kematian ibubapa cuba mencari seseorang untuk dijadikan sumber inspirasi. Dalam masa yang sama, secara kebetulan berlaku beberapa insiden ke atas diri Balqis, dan ternyata Amir juga yang mampu menyelesaikan kesemua masalah itu.

Dalam diam, Balqis meminati Amir dan cuba mendekatinya. Melihat perwatakan dan mengenali prinsip diri beliau. Balqis mula meyakini bahawa Amirlah orang yang mampu menjaganya dunia dan akhirat. Amir masih cuba menjaga status pelajar agama dan seorang penghafaz Al-Quran, Amir tetap menjaga kesucian diri sekalipun Balqis mengharapkan perhatian darinya. Memandangkan beliau pernah bersikap ‘keras’ terhadap Wardah, Amir mahu membawa pendekatan baru dalam dirinya terhadap Balqis.

Amir pernah menyelamatkan Balqis daripada terkena satu kemalangan, dia juga pernah mendapatkan semula beg duit Balqis yang pernah diragut seorang pencopet. Tetapi, semua jasanya itu sengaja ditutup serta dia meminta Izzuddin agar memberitahu secara umum. Secara tidak langsung balqis akhirnya mengetahui kebenaran, dia kagum dengan keikhlasan Amir. Beberapa kali dia cuba memberitahu perasaannya, namun Amir seakan menolak.

Satu eksepedisi ke Jabal Musa atau Bukit Tursina telah berlangsung. Amir, Izzuddin dan Balqis turut serta dalam eksepedisi itu. Kali ini berlaku satu lagi insiden dan akhirnya Balqis benar-benar tidak dapat menahan perasaanya terhadap Amir. Balqis juga menunjukkan sapu tangan yang pernah diberikan oleh Amir ketika dia terlanggar Balqis. Amir baru tersedar, Balqis adalah gadis yang pernah ditemui secara tidak langsung di Malaysia dahulu. Tercetus dari situ, Amir mula berazam untuk menerima Balqis dengan baik.

Malangnya, sebelum ekspedisi itu berakhir, Amir jatuh pengsan dan dibawa ke hospital. Lalu dia didapati menghidap tumor di kepala. Dia diramalkan oleh doktor akan mati tidak lama lagi.

Hasrat Amir untuk menerima Balqis akhirnya menjadi kabur semula. Dia tidak mahu menerima Balqis seandainya dia terpaksa meninggalkan gadis itu sendirian selepas ini. Pasti situasi itu akan menyebabkan Balqis menderita. Dalam masa beliau membawa dilema yang besar. Ketika itu, dia mula berhadapan satu konflik dengan Izzuddin yang mempunyai perasaan terhadap Balqis. Amir cuba memberi jalan kepada Izzuddin yang mempunyai perasaan terhadap Balqis. Amir memilih untuk beralah. Namun, salah faham telah wujud antara mereka berdua. Ketika konflik kian meruncing, Amir ditimpa sakit yang kronik. Dia kian terbeban dengan harapan Balqis, tekanan sahabatnya dan masalah kesihatan.

Amir perlu membuatkan keputusan besar dalam hidupnya. Sama ada di mahu pulang ke Malaysia dan menjalankan pembedahan, atau dia perlu meneruskan serta menamatkan pengajian tanpa memikirkan lagi soal hidup atau mati. Akhirnya dia memutuskan untuk terus belajar, sebaik keputusan akhir peperiksaan hampir diumumkan. Amir diterbangkan ke Malaysia. Ibubapa Amir baru mengetahui penyakit yang dihidapinya dan membuat keputusan agar Amir menjalani pembedahan.

Balqis dan Izzuddin baru menyedari bahawa selama ini Amir berperang dengan perasaan sendiri demi menjaga perasaan orang lain. Malah Amir berperang dengan kesakitan dan penyakitnya, demi untuk tidak membebankan orang lain. Balqis masih berdoa agar jodoh antara mereka masih ada. Manakala Izzuddin hanya mampu merasa kesal dengan kebodohan sikapnya.

Amir menjalani pembedahan. Dia selamat. Keputusan peperiksaan akhir juga diumumkan, Amir mendapat keputusan cemerlang sekalipun beliau menduduki peperiksaan dalam keadaan berperang dengan kesakitan. Semua sahabat Amir beranggapan bahawa Amir sudahpun meninggal dunia. Termasuk juga Balqis.

Amir memilih untuk merahsiakan bahawa dirinya masih hidup.

(A. Ubaidillah Alias)


  


 

Saturday, February 2, 2013

Babak : "listen"

السلام عليكم

hari ni bukan nak bercakap hal-hal politik..tapi nak kongsikan sedikitlah tentang isu "listen..listen..listen".

ya, sememangnya isu ni dah lama menjadi buah mulut kita semua. cuma nak kongsi sedikitlah bagaimana perasaan saya waktu tu sewaktu berada di sana.

saya bukanlah student UUM. Namun, beberapa hari sebelum berlangsungnya program tersebut, kolej kami ada membuka peluang kepada beberapa orang pelajar yang berminat untuk menyertai sebuah program di Universiti Utara Malaysia. Katanya "Ceramah Wanita". Memang tak tahu pula akan ada kaitan dengan politikus ni semua. Hampir 2 buah bas yang membawa pelajar kolej ke UUM. Jarak tidaklah jauh sangat. Sebelum kami ke sana, ada makluman bahawa kami akan mendapat T-Shirt percuma jika ke sana. Semua pelajar kolej kami yang ke sana semuanya pelajar perempuan. Almaklumlah kan.. dah nama pun "Ceramah Wanita"

Kami bertolak kira-kira pukul 7.30 pagi dan sampai di UUM pada pukul 8.30 pagi kalau tak salah. Kami diberi nombor cabutan bertuah serta kupon makanan. Makanan percuma untuk sarapan dan tengahari. Sememangnya 'menguntungkan'. Tiba-tiba baru terbaca nama penuh program di bahagian kupon tersebut; 

"SUARA MAHASISWA: SEIRINGKAH MAHASISWA/I DENGAN POLITIK?"

rupa-rupanya.... barulah kami tahu agenda yang sebenarnya. Ada beberapa buah IPTA lain yang berdekatan turut dijemput menghadiri program tersebut. selepas bersarapan, kami masuk ke dalam dewan kerana forum tersebut akan bermula pada jam 10 pagi.

lepas ambil tempat.. tetamu-tetamu kehormat pun masuk..
........
....
FORUM BERMULA

tak nak panjang cerita, antara intipati-intipati pada awalnya sememangnya membicarakan soal wanita, perkahwinanlah, itu dan ini.. ada slideshow kat bahagian sisi dewan. 

tak lama kemudian barulah nampak apa yang sebenarnya nak disampaikan.
tiba-tiba ada video pasal BERSIH 2.0. 

saya masih ingat dialognya
"Kita bukan nak berbicara tentang BERSIH ni. Tapi, bagaimana tergamak hati seorang wanita mengheret anak kecilnya ke perhimpunan tersebut? Ada yang memarahi polis tindakan mereka. Tapi, di mana sifat peindung seorang wanita? Bapa budak kecil tu.. Kalau nak pergi, pergi tak payah bawa anak isteri tu...so on.."
(isn't 100% . tapi lebih kurang macam tu la..)

lepas tu, masuk pasal kenyataan saudari Izzah, Dr Rohaya Mohamed.. semuanya soal wanita la.. 
kemudian barulah masuk pasal politik..

dan, saya lupa nak bagi tau. sebelum bermula majlis, kami berkali-kali diingatkan bahawa di akhir program akan ada cabutan bertuah yang menawarkan kira-kira 10 unit Samsung Galaxy Note kepada mereka yang bertuah. mau tak mau, kenalah tunggu di situ sampai program tamat. (siapa tak mau android free?)

sampai sesi soal jawab, ada dua orang pelejar lelaki yang bangun. namun tiada isu hangat yang timbul. selesai sahaja sesi tersebut, tibalah ke slot 'FREE SAMSUNG GALAXY NOTE".


tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan India yang minta izin untuk memberikan pendapat. Cik Moderator pun turun dan bersalaman dengan pelajar tersebut. kiranya mereka bercakap bertentangan. sewaktu pelajar india tersebut  memberikan pendapat... dia ada menyuarakan soal  sistem pendidikan di Malaysia, PTPTN, penglibatan mahasiswa dengan politik dan Ambiga.

dewan gamat seketika dengan tepukan dan sorak sorai. keadaan agak tegang. kami yang mendengar pun agak takut. sebab tak biasa duduk dalam situasi tersebut. rasa macam nak cabut keluar pulak.

tiba-tiba mula lah babak "Listen" tersebut.

boleh tengok kat sini

kenyataan pelajar India tersebut disangkal. Dia didakwa 'kurang beradab' ketika menyuarakan pendapatnya.

sekali lagi dewan riuh rendah dengan tepukan.

kami bingung.. mereka menyebelahi siapa?

sampailah pelajar India tu keluar dewan, barulah babak panas tersebut berakhir dan mulalah slot 'Samsung Galaxy Note Free'

habis semua hadiah-hadiah free diberikan.. kami keluar makan tengahari. berkaitan dengan t-shirt free yang dijanjikan, kami perlu mengisi borang maklumbalas terlebih dahulu dan menyerahkan kapada AJK yang bertugas.yang peliknya, dalam borang tu ada ruang "KAWASAN MENGUNDI".. perlu ke???

ntahlah.. apa2pun.. hal ni dah berlalu. dan biarlah mereka yang lebih arif menilai perkara ini.. saya masih setahun jagung untuk bercakap pasal politikus semua ini...

sekian.. terima kasih. :)