Saturday, February 11, 2012

Kanak-kanak dan Imaginasi

السلام عليكم

Setiap perkara yang terjadi pasti ada peringkatnya. Untuk menjadi seorang manusia, kita bukannya dilahirkan terus menjadi dewasa. Bahkan, kita terlebih dahulu melalui beberapa peringkat tertentu sebelum bergelar manusia.

Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
al-Mukminun;ayat 14

Semasa lahir, kita masih bayi,kemudian membesar menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan meniti usia tua... Begitulah peringkat-peringkat usia seorang homosapien.

Semasa menjalani peringkat-peringkat tersebut,sudah pasti ramai yang mengatakan zaman kanak-kanak ialah suatu memori yang takkan dapat dilupakan. Pelbagai karenah dan sikap yang kadangkala aneh telah dilakukan suatu ketika dahulu. Semasa kecil, kita mula merangkak dan bertatih-tatih untuk berjalan. Pengalaman pertama memegang sebatang pensil ataupun pensil warna juga merupakan suatu proses pembesaran. Semasa membesarlah imaginasi amat diperlukan untuk mempelajari sesuatu perkara. Apa tidaknya, bayangkanlah detik-detik pertama kita memegang pen atau pensil. Ibu atau bapa kita akan cuba mengajar kita menggenggamkan tangannya sambil memegang jari-jemari kita yang masih comel itu. 

DAN.....
bermulalah eksplorasi seorang manusia.


Dari babak memegang pensil, kita pasti akan mencuba sesuatu yang lebih baru. Kadangkala tangan gatal hendak menconteng di dinding rumah. Anda pernah melakukannya??
Jika di bilik air pula semasa menggosok sabun, kita kadangkala termenung memerhatikan riwayat sang buih itu. Ada juga yang lebih kreatif, akan meniup buih sehingga membesar. Terapung-apung di udara. Wah, seronoknya! Baru kita tahu, buih boleh pecah. Semasa memasukkan air ke dalam besen, tiba-tiba berus gigi terjatuh ke dalam air, kita cuba menggapai-gapai untuk mencapainya semula. Oh, baru kita tahu, ada benda yang boleh melepasi air. Imaginasi kanak-kanak tidak terhenti di situ sahaja. Rasa ingin tahu pasti melengkapkan proses membesar mereka dengan adanya eksperimen berdasarkan hipotesis mereka sendiri tanpa perlu dicatit di atas kertas kajang seperti pelajar sekolah menengah melakukan ekperimen. 

Lalu, botol-botol syampu, botol nila dan lain-lain disusun satu per-satu untuk dijatuhkan ke dalam besen. Rupa-rupanya ada juga barang yang terapung di atas air. Kemudian, tangan pula cuba dimasukkan ke dalam besen tadi. Berpura-pura tidak bergerak. Tangan tadi terapung di permukaan air. Oh,begitu rupanya.

Kebetulan pula semasa menonton televisyen, rancangan yang ditayangkan ialah acara permainan bowling. Seronoknya bermain bowling. Hendak bermain tetapi alatannya tiada. Tak apa. Imaginasi kan ada. Bola plastik yang dibeli setahun lalu menjadi bola boling. Botol-botol bedak dan yang sewaktu dengannya disusun memanjang. Bola dibaling ke arah 'pin boling' tadi. Pin-pin  tadi pula rebah menyembah bumi. Seronoknya bermain boling!!

Semasa bermain di luar rumah, imaginasi untuk menjadi dewasa dipraktikkan. Dedaunan dipetik untuk dijadikan wang, tanah pula dijadikan tepung sebagai 'bahan makanan' dalam masakan nanti. Namun, tak semua orang mempunyai pengalaman yang sama. Cuma kadangkala ada sedikit persamaan. 10 tahun yang lalu, saya masih boleh bermain beberapa permainan tradisional yang sekarang ini semakin lupus kerana permainan moden lebih mendapat perhatian.

Kanak-kanak sekarang sudah ada akaun facebook, sudah pandai menaip di keyboard komputer, GTA, angry birds dan macam-macam lagi yang kita sendiri tidak tahu.Maka, semakin sunyilah halaman rumah masyarakat kita. Tiada lagi tubuh-tubuh kecil bermain di jalanan, tiada lagi imaginasi untuk menjadi dewasa. Hanya yang ada, imaginasi di skrin komputer. Namun, tak semua begitu. Masih ada lagi kanak-kanak yang bermain di halaman rumah, berlari-lari ke sana ke mari mengejar layang-layang di saat ini. Tetapi, apa yang akan  terjadi 10 tahun akan datang?? 2022....entah apalah kemajuan yang bakal muncul.






kecik-kecik dah ada handphone




Semasa mahu melelapkan mata di malam hari, kadangkala pelbagai angan-angan bermain di bayangan mata. Pelbagai rancangan yang mahu dilakukan pada keesokan hari. 

Tetapi, jika kita hayati kembali pepatah lama, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' sudah pasti kita tahu bagaimana diri kita setelah dewasa. Apa yang dilakukan pada masa lalu, itulah yang terukir pada diri kita di masa akan datang. Oleh itu, semasa masih muda inilah sepatutnya kita lorongkan diri kita ke arah yang boleh menjadikan kita insan kamil. 

Zaman kanak-kanak telah berlalu.
Zaman remaja menuntut ilmu. 
Apabila dewasa itulah aku.

Namun, tidak pernah ada erti terlambat untuk kita berubah ke arah kebaikan. Jangan salahkan masa lalu kerana kita masih bernafas hari ini untuk mencipta sesuatu yang baru.. Renung-renungkan...dan selamat beramal!!
Wallahu'alam.



No comments:

Post a Comment