Saturday, January 21, 2012

Isu Halal sampai bila...


السلام عليكم


Islam sememangnya sebuah agama yang amat mementingkan kesempurnaan. Tidak kiralah dari apa jua aspek. Boleh dikatakan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki pasti akan ada sahaja hukum hakam yang ditulis dalam kitab-kitab fiqah ulama-ulama terdahulu yang menjadi rujukan sehingga kini.
Dan isu yang selalu sahaja melata di bibir para penceramah mahupun masyarakat biasa ialah HALAL. Apabila sebut sahaja HALAL, pasti isyarat yang diterima oleh minda kita terlebih dahulu ialah soal makanan. Tetapi sebenarnya isu HALAL ini merangkumi hampir segenap aspek dalam ruang kehidupan kita baik dari luaran sehinggalah ke bahagian dalaman. Baiklah, sebelum mengupas isu ini dengan lebih serius, saya ingin menunjukkan kepada anda sesuatu yang berkaitan dengan logo HALAL.


LOGO HALAL YANG BUKAN DARIPADA PIHAK JAKIM








PANDAI BETUL..ADA TAMBAHAN TITIK DI ATAS HURUF  'HA'

LOGO HALAL YANG DISAHKAN OLEH PIHAK JAKIM 




Tidak kiralah dari aspek makanan, pakaian mahupun alatan kegunaan seharian, semuanya perlu dipastikan berasal daripada sumber yang HALAL. Adakah makanan yang kita makan benar-benar HALAL? Pakaian kita yang diperbuat daripada bulu-bulu binatang atau kulit itu HALALkah ia? Dan berus-berus warna serta berus mekap atau berus masakan yang digunakan itu HALAL?

info;

menurut pihak yang berkenaan, berus yang diperbuat daripada bulu khinzir biasanya akan pecah di bahagian hujung. hampir kebanyakan alatan berus ini diambil daripada bulu khinzir kerana ia lebih lembut berbanding binatang lain. Misalnya berus lukisan, berus kulinari dalam pembuatan kek dan macam-macam lagi..

selain itu, pakaian kulit atau kasut yang diperbuat daripada khinzir mudah untuk kita kenali kerana ia mempunyai tiga lubang rongga badan.


Mulai 1 Januari 2012, hanya logo yang diluluskan daripada pihak JAKIM sahaja yang dibenarkan untuk digunapakai oleh para pengguna.Oleh itu, kita tidak perlu lagi was-was sekiranya hendak membeli barangan yang mempunyai logo HALAL. Hanya perlu memastikan barangan yang dibeli benar-benar yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM. Meskipun begitu, dengan wujudnya pihak ketiga yang memanipulasi logo HALAL telah membuatkan umat Islam seolah-olah diperbodohkan.

Bukan itu sahaja, berdasarkan pengalaman salah seorang saudara saya, terdapat restoran bukan Islam menggunakan ayat-ayat al-Quran bagi menarik minat pelanggan untuk menambah keuntungan. Mereka telah mengaburi mata kita dengan perkara-perkara sedemikian. Oleh itu, sikap lebih prihatin dan ambil tahu perlu ada dalam diri agar kita tidak tertipu. Siasat terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan.

Apa yang menyedihkan berkaitan dengan isu HALAL dan HARAM ini, menurut kajian di Malaysia kebanyakan barangan kulit asli yang dijual hampir majoriti berasaskan khinzir... Terkejut bukan? Sedangkan Malaysia merupakan negara Islam. Pemimpinnya Islam, kebanyakan pendudukknya juga Islam. Bagaimana perkara ini bisa terjadi... Barangan-barangan yang tidak HALAL telah diguna secara meluas. Cuma kita sahaja yang masih belum didedahkan dengan lebih terperinci. Tidak perlu menuding jari ke arah pihak lain kerana diri sendiri yang sepatutnya dipersalahkan akibat hanya memandang enteng terhadap perkara-perkara sebegini.

"You are what you eat"


Pepatah inggeris di atas juga boleh kita huraikan dalam isu ini. Kadangkala personaliti seseorang turut memberitahu kita tentang cara bagaimana dia mengumpul rezeki. Tetapi tidak baik jika kita bersangka buruk,bukan? Memakan makanan yang haram bukan sahaja memudaratkan kesihatan bahkan turut mengganggu aspek kerohanian kita. Pernah diceritakan seorang lelaki yang berkelana dan doanya tidak diterima ALLAH semuanya kerana pakaian, minuman serta makanannya datang daripada sumber yang haram. Oleh itu, berhati-hatilah dalam membuat pilihan. Wujudkan sikap ambil  berat terhadap hukum hakam yang ditetapkan syarak agar hidup lebih tenang dan diredhai ALLAH. Wallahua'alam..


Firman ALLAH yang bermaksud

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram dan sebahagian lagi halal? Katakanlah lagi (kepada mereka): Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?.

Yunus;ayat 59

Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.

al-An'am;ayat 118

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

alBaqarah;ayat 168



No comments:

Post a Comment