Wednesday, January 18, 2012

Ingatan yang takkan pudar

السلام عليكم

Selepas bergelar ALUMNI SAINA, aku mengambil alih tugas ayahku; mengambil adik bongsuku pulang dari sekolah dan kadangkala menghantarnya ke kelas KAFA. Aku tersenyum sendirian sewaktu menunggu di luar pagar sekolah. Tak banyak yang berubah. Cuma cat bangunan blok berhampiran padang telah berubah. Guru-guru yang mengajarku sewaktu dahulu juga telah ramai yang berpindah. Kini semua kenangan hanya mampu bermain di bayanganku. Budaya di sekolah juga ada yang berubah. Sejak kedatangan Guru Besar baharu ini, elemen keagamaan banyak diterapkan. Misalannya sewaktu sesi kelas tamat, doa akan dibacakan oleh pelajar lelaki dan suaranya bergema dari pembesar suara. Semasa aku bersekolah dahulu,
masih belum ada budaya ini. Jawatan di sekolah juga dahulu cuma ada dua. Iaitu pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber. Pakaiannya juga berbeza.

lencana di tudungku
Aku menjadi pengawas sekolah semasa berada di darjah 4. Masa itu uniform pengawas sekolah ialah baju kurung berwarna biru seperti di kebanyakan sekolah rendah yang lain. Bagi pengawas pusat sumber, baju kurung hijau muda menjadi pilihan. Kemudian, tahun 2006 uniform kami ditukar. Pakaiannya ialah  vest, dan kain A-line. Bukan hanya pada hari Ahad kami terpaksa menyarung uniform sedemikian,  tetapi sepanjang minggu yakni setiap hari. Memang panas. Apa yang membezakan pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber ialah warna vest yang dipakai.

Sekarang? Tiga jawatan telah wujud. Pembimbing Rakan Sebaya merupakan jawatan baru yang diwujudkan. Kini pakaian mereka juga telah berubah. Pengawas sekolah kembali berbaju kurung biru, pengawas pusat sumber juga berbaju kurung tetapi berwarna ungu ( lebih kurang seperti Pengawas sekolahku di SAINA), dan PRS berbaju kurung kuning.

inilah blok tempat aku menuntut ilmu dahulu. kini sudah dicatkan dengan warna biru.  ;-(

Kelakar. Pelbagai ragam kanak-kanak aku dapat perhatikan. Beg yang besar, cara mereka jalan yang comel dan macam-macam lagi. Aku rindu akan suasana seperti dahulu. Biasanya dahulu aku terpaksa berkongsi tempat duduk di atas motosikal dengan adik-adikku sewaktu ayah datang mengambil kami pulang dari sekolah. Bayangkanlah 4 orang duduk satu motor. Aku, Aizat, Hadi dan ayah. Sudah tentulah aku yang duduk di belakang sekali kerana aku yang paling besar antara adik-adikku.Mujurlah JPJ jarang-jarang ada di kawasan itu. Jika tidak,pasti ayahku disaman. Membawa penumpang melebihi muatan. Saat-saat kritikal aku ialah sewaktu ayah menaiki kawasan berguar di hadapan rumah. Aku terpaksa berpaut di besi bahagian belakang motor. 


Syukurlah, sewaktu di darjah 5 dan 6 emakku pula yang kadangkala mengambil alih tugas itu. Biasanya emak akan memandu kereta. Aku pula selalu akan ada kelas tambahan. Jadi, legalah sedikit adik-adikku kerana tidak perlu berhimpit lagi jika ayah datang dengan motosikal.

Tiba-tiba adikku datang. Aku terhenti dari lamunan. Tidak sedar pula akan kanak-kanak yang keluar berpusu-pusu dari pagar. Namun, apa yang pernah dilalui sememangnya tak akan pernah aku lupakan. Terima kasih cikgu. Jasa baik kalian akanku kenang sampai bila-bila. Tiada apa yang mampu aku balas melainkan berusaha menjadi yang terbaik antara terbaik. 

No comments:

Post a Comment