Thursday, January 19, 2012

Ilhamku datang tiba-tiba

السلام عليكم

Setelah hampir setengah tahun aku menyimpannya, akhirnya aku menemukan masa yang begitu sesuai untuk menyelak dan menghayati setiap bait kata yang dicetak. CINTA KUN FAYAKUN. Sebuah buku hasil penulisan seorang cendekiawan bagiku kerana setiap kata-kata yang dihasilkan sungguh indah dan kadangkala menimbulkan persoalan bagiku untuk memahaminya. Saudara A. Ubaidillah Alias. Melihat hasil karyanya, telah memberiku sedikit sebanyak ilham untuk menulis pada hari ini.
Aku baru sahaja menyelak halaman 59 pada tajuk cerpen yang hampir-hampir membuatku menitiskan air mata. SALAM NIHAYAH. Mengisahkan pengorbanan seorang abang terhadap adiknya.

Buku ini aku beli sewaktu masih di bangku sekolah tahun lepas. Waktu itu ada pameran jualan buku-buku berunsurkan keagamaan. Aku terlihat promosi buku CINTA KUN FAYAKUN ini semasa membaca sebuah majalah Solusi di ruangan promosi buku-buku baru terbitan Telaga Biru. Melihat huraian yang ditulis telah menarik minat aku untuk memilikinya. Sewaktu di pameran jualan itu, aku keliru. Tidak tahu memilih buku yang mana satu. Ini kerana ada sebuah lagi buku yang pernah kubaca sebelum ini selepas meminjamnya daripada saudari Juwairiiyah; Pemilik Cintaku selepas Allah & Rasul turut menarik minatku. Akhirnya aku membuat keputusan untuk membeli kedua-duanya. Namun bukanlah kerana aku ini orang kaya. Tetapi bagiku jika ianya mendatangkan faedah, apa salahnya aku membeli kedua-duanya sekali. 

Buku karangan A. Ubaidillah Alias ini menghimpunkan koleksi cerpen yang tinggi bahasanya namun mudah difahami. Sesekali membuatkan aku kagum dengan beliau lantas ingin mencontohinya dalam bidang ini biarpun aku bukanlah pakar. Namun ada seorang lagi tokoh yang amat aku kagumi kerana mata penanya biarpun aku belum pernah membaca sebarang hasil tulisan beliau. Beliau adalah as-Syahid Sayyid Qutb. Aku pernah mencari kisah peribadi beliau di laman sesawang. Rata-rata buku yang pernah kubaca pasti menyelitkan nama beliau membuatkan aku semakin ingin mengetahui kisahnya.

Aku tidak dapat mengingat kesemuanya. Tetapi berdasarkan pengetahuanku, beliau mati di tali gantung kerana ketajaman mata penanya. Hasil penulisan beliau juga menjadi inspirasi perjuangan kepada rata-rata pejuang agama. Beliau juga pernah menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin. Meninggal pada tahun 1996. Latar belakang keluarga beliau juga mempunyai asas agama yang cukup mantap. Adik beliau, Aminah Qutb juga pernah menghasilkan syair yang begitu terkenal sekali.

as-Syahid Sayyid Qutb

Aku bukanlah mahu meninggi diri kerana aku juga tidak tahu banyak mengenai kisah mereka. Sebarang pembetulan, khilaf di mana-mana sila maklumkan buat perkongsian kita bersama.Akhirulkalam, belilah buku-buku yang memberi informasi kepada diri kita.. ;-).. Wassalam.

promosi;






p/s; rugi kalau tak baca

No comments:

Post a Comment