Thursday, January 12, 2012

Aku Bukan Siapa-siapa


Manisnya senyuman yang berkembang di bibir Siti Hasanah dan suaminya, Nor Haikhal jelas kelihatan dari jauh. Hari yang paling bahagia buat mereka sudah tentu tidak dapat dilupakan oleh Siti Hasanah. Memorinya masih jelas merakam setiap detik pada hari itu. Namun setelah 3 tahun berumah tangga, suasana menjadi hambar. Semuanya gara-gara mereka diuji dengan satu khabar gembira yang masih belum diterima biarpun telah sekian lama menanti. Anak. Ya, anak. Nor Haikhal masih menunggu kehadiran
cahaya mata dalam hidup mereka.

“Allah belum nak beri. Kita sabar dulu bang. Kita usahakan. InsyaAllah, ada rezeki kita.” Dialog yang sama masih bermain di tubir bibir Hasanah tatkala suaminya mengutarakan soal anak.

“Abang tak kisah kalau awak cakap macam tu dua tahun lepas. Tapi ini dah nak masuk tahun keempat kita berkahwin. “

“Abang , kita baru 3 tahun diuji. Tapi abang dah nak melenting. Kita sepatutnya bersyukur sebab tak semua hambaNya dapat ujian macam ni. ”

“Apa awak merepek ni? Apa yang seronoknya? Saya tak fahamlah dengan perangai awak.”

“ Ya, saya seronok sebab nabi kita, Baginda Nabi Zakaria A.S. dahulu pun pernah diuji dengan perkara macam ni. Tapi lihatlah, setelah meniti di usia yang tua barulah mereka dapat zuriat. Semuanya sebab mereka sabar dan yakin dengan Allah. Saya seronok sebab kita boleh rasai ujian yang sama. Kita kena percaya dengan ketentuanNya. “

“Hasanah, saya bukan tak yakin dengan takdir. Tapi dah banyak kita berusaha, tetap tak ada apa-apa hasil. Membuang masa dan wang saja.”

“Itupun abang nak berkira? Tapi kita tak pernah pun buat pemeriksaan doktor. Tak tahu masalah yang sebenar.”

“Awak ada masalah ke? Setahu saya, saya normal. Mungkin awak yang mandul. Sebab tu sampai sekarang kita tak ada anak.”

“Ya Allah.... abang, kita tak boleh nak salahkan siapa yang salah atau siapa yang betul. Baiklah kalau macam tu. Kita buat medical check-up. Kalau saya bersalah, saya akan izinkan abang berkahwin lagi satu. Saya redha bang.”

Air mata Siti Hasanah mengalir jua walau ditahan. Wajahnya yang kemerah-merahan disembunyikan disebalik  tangannya yang menangkup wajah yang tertunduk.

“Baiklah. Kalau macam tu yang awak janjikan. Saya tak pernah mintak pun,kan?”

Nor Haikhal tersenyum sinis sambil kakinya menghayun laju ke muka pintu. Hidangan di meja makan langsung tidak disentuhnya. Siti Hasanah teresak-esak sendirian.

“Abang? Kenapa tak makan dulu?” suaranya cuba ditinggikan melihat kelibat suaminya semakin jauh. Namun soalannya sia-sia tanpa berbalas. Hati Hasanah semakin remuk. Siapa sanggup dipersalahkan sedemikian. Dia telah mengikat dirinya dengan janji yang amat sukar untuk ditunaikan sekiranya benar dia yang bermasalah. Namun, dia yakin dengan Allah. Setiap yang berlaku pasti ada kebaikan yang disembunyikan agar dia lebih berharap kepada Allah. Setiap malamnya diisi dengan tahajud dan air mata. Hubungannya dengan keluarga mertuanya semakin renggang. Angin Haikhal juga tidak berapa baik. Ada kalanya baik tetapi ada kalanya juga dingin. Hasanah juga bingung.


“Ya Allah. Berat benar hati aku untuk menghadapi dugaan ini. Jika aku ditakdirkan tidak mampu hamil, aku redha Ya Allah. Namun wanita mana yang tidak mahu sempurna. Aku juga mahukan zuriatku sendiri. Tapi tak mengapa Ya Allah. Andainya dugaan ini mendekatkan aku padaMu, aku pasrah. Berikanlah aku kekuatan Ya Allah. Janganlah engkau titipkan rasa putus asa di dalam diri ini.”

Doa dan air mata menjadi peneman Siti Hasanah saban hari.

Setelah dua minggu menjalani pemeriksaan, tibalah hari keputusan diumumkan kepada mereka. Hasanah telah bersiap-sedia dengan apa-apa sahaja ketentuanNya.

“Menurut hasil pemeriksaan saya, isteri Encik Haikhal tidak mengalami kitaran menses yang sempurna. Perkara sebegini telah menyebabkan dia tidak boleh mengandung kerana rahimnya lemah. Kalau hamil pun, peratus untuk melahirkan anak itu amat tipis. Melainkan isteri encik menjalani satu rawatan ini. Namun, kosnya memang mahal.”

Kata-kata doktor itu telah membuatkan Hasanah bagaikan terjunam ke lembah dalam. Fikirannya terawang-awang. Dirinya bagaikan tidak di situ. Kesakitan yang dirasai bagaikan ada tombak yang menikam dada. Air matanya diseka. Haikhal melihat isterinya.

Suasana sepi di dalam kereta. Haikhal dan Hasanah masing-masing melayan fikiran sendiri. Haikhal menoleh ke arah isterinya.

“Jadi, awak pasti dengan janji awak dulu?”

“Hah?!” lamunan Hasanah terhenti.

“Awak lupa janji awak dulu?”

Berat untuk Hasanah berbicara. Dia cuba menyusun kata-kata agar hatinya sendiri tidak disakiti.

“Manusia yang memungkiri janji adalah munafik. Lagipun, itu untuk kepentingan abang. Abang perlu ada zuriat di samping abang. Saya rela bang. Tapi pilihlah calon yang benar-benar layak, bukan atas dasar nafsu.”

“ Tapi, kenapa  awak relakan saya berkahwin lain? Saya pun hairan.”

“Kalau abang dah ada zuriat, saya pun tumpang gembira. Abang fikirlah baik-baik.”

Beberapa hari kemudian, ibu mertua Siti Hasanah datang ke rumahnya. Membawa satu khabar yang amat menyentap perasaan kaum Hawa. Berita yang telah lama diketahui namun belum bersedia menghadapinya. Suaminya akan dikahwinkan dengan seorang wanita pilihan ibu mertuanya sendiri.

“Mak harap Nah datanglah ye? Mak faham, kalau Nah tak datang pun.”

Siti Hasanah tersenyum tawar. Tetap berusaha mengikhlaskan tindakannya.

“InsyaAllah, mak.”

Beberapa bulan kemudian.....

Setelah hampir setahun berkahwin, Nor Haikhal sudah semakin jarang-jarang pulang ke rumah. Masanya lebih banyak dihabiskan bersama isteri mudanya. Sudah enam bulan dia tidak menjalankan amanahnya sebagai suami dengan adil. Sekadar memasukkan wang melalui bank sahaja. Giliran bermalan tidak dijalankan mengikut sistem poligami yang sebenar.

Suatu petang dia keluar menemani isteri mudanya membeli belah. Sewaktu melintas sebatang jalan, dia hampir-hampir melanggar seekor kucing di atas jalan tersebut. Malang tidak berbau. Semasa cuba menyelamatkan nyawa seekor kucing, dia terlanggar seorang wanita yang berada di bahu jalan.  Orang ramai mengerumuni kenderaannya. Haikhal lantas menuju ke arah wanita tadi.

“Ya Allah... Hasanah??!!” Haikhal terkesima seketika. Dia tidak menyangka dia telah melanggar istrinya sendiri. Hasanah separuh sedar. Tubuh isteri pertamanya dirangkul kemas ke dada.

“Maafkan abang..” air mata Haikhal tidak dapat ditahan lagi. Munirah, isteri mudanya mengusap-usap bahu Haikhal. Syukurlah, nyawa Hasanah masih panjang. Dia segera dikejarkan ke hospital. Setibanya di hospital, dia terus dimasukkan ke wad kecemasan. Sewaktu keluarga terdekat mangsa dipanggil, Haikhal bingkas menuju ke arah doktor.

“Encik suaminya?” Haikhal mengangguk-angguk.

“Encik, bayi yang dikandungkan selamat.”

“Bayi?” Haikhal mengangkat wajahnya.

“Ya, bayi. Isteri encik mengandung 7 bulan. Alhamdulillah, kami sempat  menjalankan pembedahan. Bayi itu terpaksa ditahan di wad kerana masih belum cukup bulan. Saya harap encik dapat bersabar. Sedekahkan al-Fatihah buat isteri encik. Isteri  Encik tak sempat diselamatkan. Dia kehilangan darah yang banyak.”

“Apa???” mata Haikhal membulat. Seakan-akan bermimpi. Sekelip mata sahaja segala-galanya berlaku.

“Encik, kita kena redha dengan qada’ dan qadarNya. Bila Allah kata ‘Kun’, maka jadilah ia.” Doktor menepuk-nepuk bahu Haikhal.

“Te..terima kasih doktor.”

Haikhal tidak dapat menahan sebaknya. Bukan sahaja kerana isterinya meninggal, tetapi juga mewariskan zuriat? Allahuakbar... Engkau Maha Berkuasa. Kini dia mengerti betapa hebatnya keyakinan yang diletakkan isterinya terhadap Allah. Akhirnya Allah menghadiahkan zuriat buatnya. Namun, sebuah nyawa terpaksa menjadi galang ganti. Nyawa orang yang disayangi.

“Aku bersalah Ya Allah... maafkan aku. Hasanah, maafkan abang.”



“Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Al-Baqarah;ayat 216

                                                                                                                                                           ~the;end~

1 comment:

kisahsaya said...

sadisnya..
Allahuakbar..